Bukan 2 kolam, 10 kolam pun boleh – Ketua Pemuda PAS

PETALING JAYA: “Bukan setakat dua kolam, 10 kolam pun kami boleh main demi perpaduan ummah dan memastikan Pakatan Harapan (PH) tidak berkuasa kembali.

Perkara itu disuarakan Ketua Dewan Pemuda Pas Malaysia (DPPM), Ahmad Fadhli Shaari, bagi menyangkal dakwaan kononnya parti berkenaan ‘main dua kolam’ menyokong UMNO serta Bersatu semata-mata untuk mempertahankan kedudukan dalam kerajaan.

Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata, tidak timbul soal Pas dibuai kedudukan dan jawatan sehingga gagal memilih sama ada mahukan gabungan Muafakat Nasional (MN) bersama UMNO, atau Perikatan Nasional (PN) dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Sebaliknya katanya, tindakan Pas mendampingi Bersatu dilakukan demi memastikan parti itu tidak merasa terasing sehingga membuka ruang ‘dipancing’ semula ke dalam PH, seterusnya memberi peluang pembangkang kembali berkuasa dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

“Kalau mahu persoalkan kami mahukan jawatan, ia tak timbul. Zaman Tan Sri Muhyiddin Yassin, Pas dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) sama-sama ada 18 kerusi Parlimen, GPS ada menteri kanan, Pas tiada menteri kanan pun. Adakah kami boikot? Tidak. Ini bukan soal jawatan, tapi soal penyatuan dan survival ummah.

“Pas sebenarnya tak selesa dengan situasi sekarang apabila terpaksa bersama dengan PN dan terpaksa menentang UMNO dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka. Tapi apa lagi pilihan yang kita ada? Adakah kita mahu mengetepikan Bersatu yang jelas telah berjasa sehingga menjatuhkan PH, dalam keadaan UMNO begitu cekal menolak Bersatu.

“Kalau kita buat langkah demikian, saya yakin Bersatu akan semakin jauh dan tidak mustahil Bersatu akan bersama PH kembali, berbanding dengan kalau Pas bersama dengan Bersatu pada hari ini dalam PN,” katanya baru-baru ini.

Dalam perkembangan berasingan, beliau menggesa UMNO agar tidak dibuai sentimen kemenangan besar dalam PRN Melaka sehingga memilih bertanding solo dalam PRU-15, kerana senario dalam PRN tersebut dijangka berbeza dengan PRU-15, mengambil kira kemungkinan berlaku pertambahan bilangan kumpulan atas pagar serta bukan Melayu yang keluar mengundi pada masa akan datang.

“Kalau UMNO kata bahawa mereka telah kembali kuat, BN telah kembali kuat, mereka perlu jujur dengan angka dan juga peratus pengundi dalam PRN Melaka. Kalau angka itu diterjemah di peringkat nasional, BN masih belum kuat untuk mentadbir negara.

“Kena lihat kepada bagaimana dalam situasi peratus pengundi semakin turun, 60 peratus saja yang mengundi, maka kenapa undi Pas bertambah mendadak? Dan kenapa undi UMNO turun dengan signifikan?

“Kalau pengundi ini sampai 70 peratus, UMNO tak selamat, dan misalnya kalau 75 peratus yang keluar mengundi, UMNO dalam keadaan bahaya. Siapa boleh bagi jaminan dalam PRU-15 akan datang, bilangan pengundi tak boleh capai 75 peratus,” katanya.

Beliau berkata, analisis bilik perang Pas mendapati, jika UMNO tetap mahu bertanding solo pada PRU-15 sehingga mengakibatkan undi Melayu-Islam berpecah, PH dijangka mampu membentuk kerajaan melalui undi solid bukan Melayu dan kumpulan atas pagar.

“Boleh jadi PH akan menang kalau ambil kira rakyat yang muak dengan senario hari ini. Kita juga ambil kira faktor kemungkinan pengundi Melayu ambil keputusan tidak keluar mengundi, maka akan biarkan supaya kerusi-kerusi ini diambil kembali PH. Kalau berlaku tiga penjuru dalam PRU-15 nanti, kita ada buat analisa, PH mungkin berkuasa kembali walaupun sekadar majoriti mudah,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Bukan 2 kolam, 10 kolam pun boleh – Ketua Pemuda PAS


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


PAS akan bincang dengan UMNO hadapi PRU-15

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker