Malaysia diancam saintis gila?

JIKA anda berpeluang, tontonlah filem fiksyen sains bertajuk Replicas yang dibintangi artis Hollywood, Keanu Reeves.

Ia mengisahkan seorang ahli sains yang begitu taksub dengan teknologi sehingga sanggup menggunakan kaedah klon untuk menghidupkan kembali isteri dan tiga anaknya yang meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya.

Anehnya, filem keluaran 2018 yang dibintangi aktor hebat itu yang filem lakonannya seperti The Matrix pada 1999 menghasilkan pulangan besar sehingga AS$466.3 juta (RM1.97 bilion), kali ini menerima nasib berbeza.

Filem Replicas mencatatkan kerugian apabila hanya meraih kutipan AS$9.3 juta (RM39 juta) berbanding kos pembikinan sebanyak AS$30 juta (RM126 juta).

Satu lagi filem yang membawa tema hampir serupa akan ditayangkan hujung tahun ini melalui saluran berbayar, Apple TV+. Filem bertajuk Swan Song dibintangi aktor Amerika Syarikat (AS) beragama Islam, Mahershala Ali.

Ia mengisahkan seorang suami dan bapa yang disahkan menghidap penyakit tidak boleh diubati dan dijangka hayatnya pendek. Doktor memberinya pilihan untuk digantikan dengan klon supaya keluarganya tidak mengetahui bahawa dia telah meninggal dunia.

Saya tidak bercadang membincangkan plot filem dan sebab-sebab Replicas gagal mencatat kutipan tinggi dan adakah Swan Song akan mendapat sambutan.

Yang ingin disentuh adalah agenda normalisasi supaya masyarakat menerima teknologi pengklonan manusia sama seperti kempen supaya menganggap biasa perlakuan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Sejak saintis di Scotland menghasilkan klon mamalia pertama iaitu biri-biri betina, Dolly pada 1996 menggunakan teknik pemindahan nukleus sel somatik (SCNT), 23 spesies mamalia lain berjaya diklon termasuk lembu, kucing, anjing, kuda dan tikus.

Kejayaan ini mengetepikan pendapat bahawa sel mamalia dewasa tidak boleh digunakan untuk membentuk semula salinan genetik.

Bagaimanapun, Dolly hanya hidup selama tujuh tahun. Separuh dari usia yang sepatutnya kerana ahli sains tidak set semula jam biologi pada sel asal yang menyangka ia sudah berusia enam tahun ketika dilahirkan kerana diambil dari biri-biri induk berusia enam tahun.

Kalau rajin ‘mengorek’ dalam media sosial, banyak iklan syarikat-syarikat yang menawarkan perkhidmatan pengklonan haiwan peliharaan yang telah mati. Bagaimanapun, maklumat mengenai teknik pengklonan manusia sangat sukar diperoleh. Mungkin kerana ia dilakukan secara sembunyi.

Rata-rata ahli sains yang menyokongnya menyifatkan pengklonan manusia sama seperti bayi yang dilahirkan secara tabung uji sebagai alternatif bagi membantu pasangan mandul mendapatkan anak. Pihak yang membantah dituduh sebagai penentang kemajuan sains.

Pengklonan manusia merujuk kepada penggunaan asid deoksiribonukleik (DNA) manusia induk untuk menghasilkan individu lain yang sama genetik. Menghasilkan manusia yang mempunyai genetik sama tidak mustahil kerana ia terbukti melalui kes kembar seiras.

Klon yang dihasilkan tidak mempunyai persamaan sepenuhnya dari segi fizikal dan kelakuan dengan induk kerana DNA bukan satu-satunya penentu kepada ciri-ciri tersebut disebabkan terdapat pengaruh lain termasuk makanan dan faktor persekitaran. Sebab itu, cap jari kembar seiras tidak sama.

 

DEKLARASI

Pada 2005, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) meluluskan Deklarasi Pengklonan Manusia yang disokong 84 negara. Deklarasi itu menyeru negara-negara anggota melarang semua bentuk pengklonan manusia kerana ia tidak sesuai dengan maruah dan usaha melindungi nyawa manusia.

Terdapat 34 negara yang membantah deklarasi itu termasuk China manakala 37 berkecuali. Jadi, tidak mustahil kegiatan pengklonan manusia masih boleh dijalankan di negara-negara terbabit.

Forum Ekonomi Dunia (WEF) yang menghimpunkan sekumpulan pemikir dan golongan kaya pula meramalkan pada tahun ini, aktiviti pengklonan manusia akan dibenarkan oleh undang-undang di sesetengah negara.

Sebenarnya, dalam sejarah dunia akan sentiasa ada ahli sains gila yang melanggar etika semata-mata untuk membuat kajian. Itulah yang dilakukan pembunuh digelar Jack the Ripper di daerah Whitechapel, London pada 1888.

Sekurang-kurangnya lima wanita dibunuh oleh doktor yang taksub mengkaji anatomi dan sel tubuh manusia setelah dia mengalami kesukaran mendapatkan mayat manusia untuk melakukan kajian.

Dalam pada itu, sebab merebaknya virus Covid-19 juga didakwa berpunca daripada tindakan saintis gila yang melakukan kajian. Dua tempat iaitu Institut Virologi Wuhan, China dan Institut Kajian Penyakit Berjangkit Tentera AS (USAMRIID) di Fort Detrick, Maryland dikaitkan sebagai kemungkinan tempat asal virus berkenaan.

Seperti kes Covid-19, kita tidak dapat mengesahkan benar atau tidak dakwaan wujud kegiatan pengklonan manusia sehingga ia sudah terlambat. Kita mesti mengambil pengajaran daripada kegagalan membuat persediaan awal bagi menghasilkan vaksin yang sehingga kini masih lagi di peringkat kajian oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) di bawah Pelan Hala Tuju Pembangunan Vaksin Negara (PPVN).

Akibatnya, kerajaan terpaksa memperuntukkan RM5 bilion kepada Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang kebanyakan dibayar kepada pengeluar vaksin luar negara.

Sudah sampai masanya kita melakukan persediaan awal bagi menghadapi kesan buruk teknologi klon manusia yang dikatakan sekarang jauh lebih maju berbanding pengklonan Dolly, 25 tahun lalu.

Kemungkinan telah wujud klon manusia yang didakwa hanya dapat berfikir seperti mesin tetapi tidak mempunyai jiwa berkeliaran dalam kalangan kita sekarang yang perlu dipantau. Walaupun kedengaran seperti cerita rekaan sains, tetapi ia tidak mustahil.

 

Malaysia diancam saintis gila?

 


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Guna Android Box Tonton Siaran Swasta Tapi Tak Bayar, Ini Respon Mufti

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker