Lebih mudah duduk di blok kerajaan – ADUN Bemban

MELAKA: Dua pemimpin Perikatan Nasional (PN) yang memenangi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang dan Bemban dilihat tidak bersedia untuk duduk di kerusi pembangkang bersama lima lagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Harapan (PH).

Ini susulan kenyataan salah seorang pemimpin tersebut kepada Utusan Malaysia yang menegaskan, pembentukan kerajaan negeri perlu mengambil kira komposisi kerajaan di peringkat Pusat yang mencerminkan keharmonian kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan PN.

ADUN Bemban, Dr. Mohd. Yadzil Yaakub berkata, perkara itu wajar dipertimbangkan demi kestabilan politik dan selari dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang menzahirkan sokongan atau kerjasama antara kedua-dua belah pihak.

Justeru, katanya, perkara sama sepatutnya diterapkan di peringkat kerajaan negeri.

“Walaupun kita bertan­ding berasingan, kena ingat juga di peringkat awal Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ada usaha untuk bergabung. Tetapi, ia tidak berjaya kerana ada unsur-unsur lain yang menghalangnya seperti pembahagian kerusi.

“Buat masa ini, belum diputuskan lagi sama ada saya di blok pembangkang atau kerajaan, jadi, tidak boleh ulas lebih lanjut. Jika lihat jumlah kerusi, dia (BN) memang tidak perlukan kita (PN) lagi.

“Kalau dia nak selari de­ngan kerajaan Pusat, maka saya di blok kerajaan. Baru nampak keharmonian,” katanya ketika dihubungi.

Mengulas lanjut, Mohd. Yadzil yang juga Naib Pengerusi PN Melaka berkata, kajian me­nunjukkan berlakunya perubahan undi yang besar kepada PN, meskipun BN menang besar dalam PRN Melaka.

“Banyak sokongan kepada BN telah ditarik balik. Mereka membentuk kerajaan pun dise­babkan jumlah kerusi dan bukan dari segi undian. Jika lihat faktor ini, mereka perlu berfikiran jauh untuk memastikan kestabilan dan kemenangan yang lebih besar pada pilihan raya umum akan datang.

“Saya sendiri telah buktikan bahawa gabungan Melayu di Bemban dapat menghasilkan kemenangan dan merampas kerusi tradisi MCA. Sepatutnya mereka memandang juga kepada kemampuan PN,” ujarnya.

Sementara itu, Mohd. Yadzil mengakui, berada di blok kerajaan adalah lebih mudah untuk beliau menjalankan tugas sebagai wakil rakyat.

Bagaimanapun tegasnya, beliau tidak akan memohon atau merayu dan tidak sesekali melompat parti kerana rakyat telah memberi mandat kepada PN di Bemban. -UTUSAN

Lebih mudah duduk di blok kerajaan – ADUN Bemban


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Parti komponen PH tiada nilai, bergantung pada DAP

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker