Johor Terus Dominasi Industri Asas Tani Negara, Catat Jualan RM517 Juta
Johor Terus Dominasi Industri Asas Tani Negara, Catat Jualan RM517 Juta

KOTA ISKANDAR, 5 Okt – Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Johor Md Israk Abdullah bersyukur Industri Asas Tani (IAT) Johor terus menunjukkan prestasi yang membanggakan apabila nilai jualan usahawan IAT bimbingan Jabatan Pertanian Negeri Johor mencecah RM517 juta pada tahun 2025, melibatkan hampir 1,800 usahawan berdaftar di seluruh negeri.
Ujar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukup itu, pencapaian tersebut sekali gus meletakkan Johor di kedudukan nombor satu dalam negara dalam sektor IAT dengan sumbangan sebanyak 30 peratus.
“Lebih membanggakan, seramai 336 usahawan berjaya meningkat ke tahap yang lebih tinggi, berbanding 262 orang pada tahun 2024. Seramai 48 usahawan pula mencatat nilai jualan melebihi RM1 juta, meningkat daripada 40 orang pada tahun sebelumnya, manakala 299 usahawan IAT telah memperoleh pensijilan pelbagai kategori seperti GMP, HACCP, Halal, MeSTI dan Home-Based Food (KKM).
“Pencapaian ini selari dengan Agenda Maju Johor serta Pelan Transformasi Ekonomi Johor (JETP) yang memberi tumpuan kepada pengukuhan sektor pertanian dan agromakanan sebagai antara pemacu ekonomi negeri. Kita bukan sekadar mahu meningkatkan pengeluaran hasil pertanian, tetapi memastikan hasil tersebut diberikan nilai tambah melalui pemprosesan, pembungkusan dan penjenamaan, seterusnya mampu bersaing di pasaran domestik dan antarabangsa,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Seterusnya tambah beliau, kerajaan negeri di bawah pentadbiran Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi akan terus memberikan sokongan kepada pemerkasaan IAT.
DISYORKAN UNTUK ANDA :
- UiTM Titik Mula Gerakkan Agenda Malaysia Biru
- Perkhidmatan Parlimen: Memanfaatkan Kebebasan Parlimen Demi Rakyat
- Identiti, Warisan Melayu/Islam Perlu Ada Kesinambungan – Dusuki Ahmad
Agong Perkenan Tujuh Akta Diluluskan Pada Sidang Parlimen Lepas
“Bagi tahun 2026, sebanyak RM4.1 juta diperuntukkan melalui Jabatan Pertanian yang memberi manfaat secara langsung kepada 130 usahawan IAT, termasuk pembangunan dan naik taraf bengkel pemprosesan, mesin dan teknologi, pembungkusan serta pelabelan, penerapan teknologi IoT dan sebagainya,” katanya.
Katanya, Ekspo IAT Johor 2026 pula menjadi antara platform untuk membawa lebih 200 produk IAT tempatan kepada pengguna dan membuka jaringan pasaran baharu.
“Seramai 50 usahawan daripada 10 daerah dipilih daripada lebih 150 permohonan, dengan 66% daripadanya usahawan wanita dan 44% usahawan belia.
“Matlamat kita jelas, daripada hasil kepada produk, daripada produk kepada jenama, dan daripada jenama kepada nilai yang lebih tinggi. Kita mahu lebih ramai usahawan IAT Johor berkembang daripada perusahaan kecil dan sederhana kepada perniagaan yang berdaya saing, mampan serta mampu menembusi pasaran domestik dan antarabangsa,” katanya.
Justeru, beliau mengucapkan tahniah kepada Jabatan Pertanian Negeri Johor dan semua pihak yang menjayakan Ekspo IAT Johor 2026 dan berharap seluruh usahawan IAT Johor agar terus melangkah dan membawa produk Johor lebih jauh. – UMNO ONLINE
Johor Terus Dominasi Industri Asas Tani Negara, Catat Jualan RM517 Juta
DISYORKAN UNTUK ANDA :
- Hak Undang Yang Empat Tidak Boleh Dipertikaikan – Pengkaji Adat Perpatih
- Ilmu Membentuk Akhlak, Adab Dan Jati Diri Mahasiswa – Dr Zambry
LAWATI LAMAN FACEBOOK KAMI :
Layari Laman Facebook MYKMU.NET
You must be logged in to post a comment.