Kekalkan SPM pada Mac setiap tahun

Sebaran :

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan dicadang mengekalkan tempoh pelaksanaan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bermula Mac bagi setiap tahun walaupun pandemik Covid-19 sudah berakhir.

Dengan melewatkan beberapa bulan, ia membolehkan semua calon SPM menduduki peperiksaan awam tersebut dengan selesa dan tidak berisiko berdepan masalah banjir di sesetengah kawasan atau negeri yang sering dilanda tengkujuh pada hujung tahun.

Saranan itu berdasarkan pengalaman peperiksaan SPM pada Februari dan Mac lalu di seluruh negara akibat pandemik Covid-19 dan terbukti berkesan dalam memastikan semua pelajar berpeluang menduduki peperiksaan pada waktu yang dijadualkan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Anuar Ahmad berkata, takwim persekolahan di peringkat sekolah menengah pula akan berubah dan bermula selepas peperiksaan awam tamat.



“Sebenarnya, cadangan membawa peperiksaan pada Januari dan Februari sudah lama kerana kita ada masalah dengan musim tengkujuh. Peperiksaan pada Oktober dan November dari dahulu lagi tidak sesuai sebab ramai pelajar dari Pantai Timur contohnya akan berdepan masalah ini sedangkan negeri lain pula dalam keadaan baik.

“Jadi, kita bawa peperiksaan awam tersebut pada Mac dan cuba kekalkan pelaksanaannya, pelajar menghabiskan persekolahan pada Disember dan boleh membuat persiapan akhir sebelum tiba peperiksaan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Akibat pandemik Covid-19, meminda tarikh peperiksaan SPM, Sijil Vokasional Malaysia (SVM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) bagi tahun 2020 kepada 22 Februari 2021 manakala Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) pula dianjak kepada 8 Mac tahun sama.

Jabatan Meteorologi menerusi kenyataan diterbitkan pada 28 Oktober lalu menyatakan, fenomena La-Nina berterusan pada Disember 2021 hingga Februari 2022 dengan kebarangkalian 87 peratus akan menyaksikan lebih banyak hujan berlaku dan menyebabkan banjir yang serius termasuk di seluruh negara.



Senada dengan Anuar, Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru), Mohd. Azizee Hasan berkata, cadangan itu adalah wajar kerana pelajar sekolah di peringkat rendah dan menengah lain tidak terjejas dengan perubahan tersebut.

“Tidak timbul isu di sini jika cadangan ini dipertimbang kerana guru-guru di sekolah juga dapat menghabiskan sukatan pelajaran yang dirancang manakala pelajar sekolah mempunyai persediaan yang cukup untuk menduduki peperiksaan nanti.

“Ini juga adalah kebiasaan baharu yang mesti diterima. Sebarang keputusan nanti, saya berharap kerajaan akan mengambil pandangan dari semua pemegang taruh sektor pendidikan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Kekalkan SPM pada Mac setiap tahun




Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Pas nak lawan UMNO atau PH, tanya Asyraf


Sebaran :

Leave a Reply