Pelajar sekolah vernakular hadapi masalah kerana lemah BM – Haniff Khatri

Gambar Hiasan***

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu bahawa pelajar sekolah vernakular di Malaysia berdepan peluang pekerjaan yang terhad kerana didakwa lemah dalam penguasaan Bahasa Malaysia.

Peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla berhujah bahawa ini akan menyebabkan pelajar-pelajar ini dinafikan hak untuk hidup bermaruah, justeru sekolah vernakular di Malaysia mesti mewajibkan penggunaan Bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar.

Peguam itu mewakili tiga palintif iaitu Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Majlis Pembangunan Pendidikan Islam Malaysia (MAPPIM) dan Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena) yang memohon perintah mahkamah agar sekolah vernakular menghentikan penggunaan bahasa Cina dan Tamil sebagai bahasa pengantar.

Semasa prosiding di hadapan hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali hari ini, Haniff berhujah bahawa keadaan ini akan melanggar peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak untuk hidup dengan bermaruah dan hak- hak lain.

Perlembagaan Persekuan menyentuh mengenai kebebasan diri dalam Perkara 5, Kesamarataan (Perkara 8);  kebebasan bersuara, berhimpun dan berpersatuan (Perkara 10); kebebasan beragama (Perkara 11) dan hak dalam pendidikan (Perkara 12).

“Akibatnya, ia akan menyebabkan golongan belia Malaysia (yang bersekolah di sekolah vernakular yang menggunakan bahasa Cina dan Tamil sebagai bahasa pengantar dalam pelbagai mata pelajaran) tidak memiliki penguasaan yang baik dalam Bahasa Malaysia.

“Ini akan mengehadkan peluang pekerjaan mereka, terutamanya dalam perkhidmatan awam. Hak asasi mereka di bawah Perkara 5 akan terancam.

“Disebabkan penguasaan bahasa kebangsaan yang terhad ini, ia akan menafikan hak mereka untuk hidup dengan bermaruah (seperti Perkara 5),” kata Haniff.

Peguam itu kemudian merujuk kepada afidavit Prof Dr Teo Kok Seong berhubung dakwaan penguasaan Bahasa Malaysia pelajar sekolah vernakular yang lebih lemah.

Menurut afidavit itu, Teo berhujah bahawa masalah itu membimbangkan kerana pelajar-pelajar ini didakwa lemah dalam penguasaan Bahasa Malaysia menyebabkan mereka dikatakan menghadapi prejudis ketika mencari pekerjaan di sektor swasta dan awam, serta kesukaran melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Bagaimanapun, peguam Gopal Sri Ram, yang mewakili Majlis Bahasa Cina Malaysia, berhujah bahawa mahkamah sepatutnya menolak keseluruhan tindakan undang-undang itu kerana ketiga-tiga plaintif gagal menunjukkan secara spesifik kerugian yang mereka alami berikutan dasar kerajaan semasa mengenai sekolah vernakular.

Bekas hakim mahkamah persekutuan itu berhujah bahawa kertas kausa plaintif hanya menunjukkan mereka berhujah melanggar peruntukan perlembagaan sambil tidak menyatakan secara spesifik kesan yang dihadapi mereka.

“Mereka mesti menentukan bagaimana mereka semua terkesan selain daripada isu sentimentaliti.

Sri Ram menambah plaintif tidak menunjukkan mereka mempunyai locus standi (hak undang-undang untuk memfailkan tindakan undang-undang).

Sri Ram seterusnya berhujah bahawa isu sekolah vernakular adalah dasar legislatif (perundangan) dan tidak sesuai ditentukan oleh badan kehakiman.

Peguam itu berkata ini kerana di Malaysia wujud konsep pengasingan kuasa antara eksekutif, badan perundangan dan badan kehakiman, dan mahkamah tidak memiliki maklumat lengkap untuk menyelesaikan isu itu.

Dia menegaskan bahawa isu itu hanya wajar ditentukan oleh Parlimen berbanding dibawa ke mahkamah.

“Perkara ini hanya di bawah bidang eksekutif dan badan perundangan.

“Ia adalah perkara dasar bagi defendan pertama (kerajaan) kerana pendidikan terletak di bawah Perkara 13 Jadual Ke-9 Perlembagaan Persekutuan,” kata Sri Ram.

Perbicaraan di hadapan hakim Nazlan bersambung semula esok.


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Parti komponen PH tiada nilai, bergantung pada DAP

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker