Anak Tidak Wajib Memberi Nafkah Kepada Ibu Bapanya?

Anak Tidak Wajib Memberi Nafkah Kepada Ibu Bapanya?

Pernah suatu ketika, negara kita dikejutkan dengan kes mahkamah di mana seorang bapa di Terengganu menyaman anaknya, pengurus syarikat cari gali minyak, supaya membayar nafkah kepadanya dan isteri. Lebih mengejutkan, si bapa menang kes tersebut! Tertuduh yang dianggap ‘si Tanggang moden’ oleh mahkamah diperintah membayar sebanyak RM 18,866.50 kepada bapanya dan memohon maaf secara terbuka kepada kedua-dua orang tuanya.

Selain itu, terdapat juga kes tuntutan yang sama di Mahkamah Tinggi Syariah Negeri Sembilan yang memerintahkan defendan membayar kos perubatan isteri plaintif (isteri bapa defendan) sebanyak RM2,000 ringgit dalam masa tiga bulan dan RM200 setiap bulan kepada plaintif sebagai nafkah.

Hakikatnya banyak lagi kes yang dicatatkan oleh mahkamah syariah negara kita yang melibatkan bapa menyaman anaknya dan si anak diperintah membayar nafkah terhadap kedua orang tuanya. Kes seperti ini bukan lagi kes terpencil di Malaysia. Meskipun kes ini telah mendapat perhatian ramai, tetapi masih banyak lagi masalah yang berlaku akibat daripada pengabaian tanggung jawab anak-anak terhadap ibu bapa.

Mungkin antara kita masih ingat dan segar di ingatan, bagaimana kes seorang ibu yang lumpuh, ditinggalkan oleh anaknya di hotel bajet sekitar Kampung Baru, Kuala Lumpur. Itu baru satu kes, belum lagi termasuk kes yang seorang bapa dibuang di masjid oleh anak bongsunya. Lebih menyedihkan, wangnya turut dikebas oleh darah dagingnya sendiri. Allah! sedih mengenangkan kisah seperti ini wujud di kalangan masyarakat kita, yang rata-ratanya beragama Islam, dan berbangsa Melayu yang terkenal dengan budi bahasa.

Ibu bapa tidak pernah mengharapkan wang ringgit anak-anak. Cuma pada usia senja mereka mengharapkan secebis perhatian daripada anak untuk menumpang kasih sebelum dipanggil menghadap Ilahi.

Tetapi, atmosfera yang berlaku pada hari ini, seolah-olah ramainya anak-anak yang ‘lupa diri’ dan ‘asal usul’, iaitu golongan anak-anak yang mengabaikan kedua ibu bapa selepas mereka berjaya. Padanya, kejayaan yang dikecap adalah hasil usaha mereka sendiri, bukan berkat dan jasa kedua orang tuanya.

Bukankah Rasulullah s.a.w. pernah bersabda maksudnya, daripada ‘Abdullah bin Amr bin Al ‘Ash berkata, “Seorang lelaki datang menghadap Rasulullah s.a.w. lalu dia berkata, “Aku bai’at (berjanji setia) dengan anda akan ikut hijrah dan jihad, kerana aku mengingini pahala daripada Allah.”

Nabi s.a.w bertanya, “Apakah kedua orang tuamu masih hidup?” Jawabnya, “Bahkan keduanya masih hidup.” Nabi s.a.w. bertanya lagi, “Apakah kamu mengharap pahala daripada Allah?” Jawabnya, “Ya”. Sabda Nabi s.a.w., “Pulanglah kamu kepada kedua orang tuamu, lalu berbaktilah kepada keduanya dengan sebaik-baiknya.” – (HR Muslim).

Berdasarkan hadis di atas, jelas memperkatakan tentang tanggungjawab besar anak-anak terhadap ibu bapa. Namun begitu, harus juga diingat, berbakti seperti yang disuruh oleh Nabi s.a.w. itu bukan sahaja menjaga dan melindungi mereka, tetapi termasuk juga beberapa perkara lain seperti memberi nafkah.

Jika sebelum ini, kita hanya didedahkan dengan kewajipan bapa memberi nafkah kepada anak-anak, tetapi kini, wujud persoalan lain, adakah wajib anak-anak memberi nafkah kepada ibu bapa? Adakah perkara ini pernah dibincangkan oleh jumhur ulama dan apakah terkandung dalam undang-undang syariah negara kita?

Pensyarah Undang-undang Keluarga Islam, Kuliah Undang-undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Madya Dr. Azizah Mohd turut bersetuju masyarakat pada hari ini sangat cetek ilmu pengetahuan berkenaan hukum nafkah anak terhadap ibu bapa disebabkan selama ini mereka sering didedahkan tentang nafkah bapa terhadap anak-anak.

Malah, masyarakat hari ini juga tidak dapat membezakan, antara tanggung jawab dan memberi nafkah terhadap kedua orang tuanya. Disebabkan itulah, maka berlakunya pelbagai kes berkenaan pengabaian terhadap ibu bapa.

Dr. Azizah menerangkan, wajib ke atas setiap anak tidak kira lelaki mahupun perempuan, memberi nafkah kepada ibu bapanya yang tidak berkemampuan. Malah katanya, kewajipan ini bukan sahaja seperti yang ditetapkan oleh jumhur ulama, tetapi dalam undang-undang negara yang mewajibkan seseorang anak membayar nafkah kepada ibu bapanya sekalipun tiada akta yang khusus.

Seharusnya, ramai masyarakat sedar, Islam sebenarnya meletakkan hukum wajib kepada setiap anak-anak agar membayar nafkah kepada ibu bapanya yang tidak berkemampuan. Mengenai kadar nafkah yang harus diberikan, ulama tidak menetapkan kadar yang tertentu tetapi hendaklah berpatutan dan mencukupi untuk pembiayaan.

Ia termasuk keperluan asas seperti makanan, pakaian, tempat tinggal, ubat-ubatan dan perbelanjaan rawatan perubatan. Menurut para ulama, kewajipan nafkah kepada ibu bapa berdasarkan keperluan. Justeru, kadar nafkah ialah kadar yang memenuhi kadar keperluan mereka.

Dr. Azizah juga berkata, perkara ini ada kaitan yang kuat dengan firman Allah dalam surah al-Isra’: 23, “Dan Tuhan kamu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik kepada ibu bapamu…”

Ayat di atas menunjukkan perintah anak-anak supaya berbuat baik kepada kedua orang tuanya. Perkara baik tersebut termasuklah membiayai nafkah ketika mereka memerlukannya. Atas dasar inilah juga, jumhur ulama termasuk imam Syafie meletakkan hukum wajib anak-anak memberi nafkah kepada kedua orang tuanya yang tidak berkemampuan, tetapi turut disenaraikan beberapa syarat utama.

Syarat Wajib Nafkah

Meskipun ulama meletakkan hukum wajib kepada anak untuk membiayai nafkah ibu bapanya, namun hukum tersebut disertakan dengan tiga syarat utama, yakni jika anak-anak memenuhi syarat tersebut, maka wajiblah mereka membayar nafkah kepada kedua-dua orang tuanya. Paling penting ialah si anak tersebut dalam kalangan orang senang dan melebihi keperluan bagi perbelanjaan terhadap diri sendiri dan isterinya sehari semalam. Hal ini kerana orang fakir tidak diwajibkan memberi nafkah kepada orang lain yang fakir sepertinya.

Selain itu, nafkah tersebut juga wajib dibayar sekiranya ibu bapa tergolong dalam golongan orang yang tidak berkemampuan ataupun orang yang fakir. Bagi ibu bapa yang tidak bekerja dan tidak mampu menyara kehidupan serta membeli barang keperluan untuk dirinya sendiri, termasuk dalam golongan yang tidak berkemampuan itu tadi.

Berbeza jika ibu bapa berkemampuan, anak-anak tidak perlu memberi nafkah kepadanya kerana ia tidak berdosa kerana hukumnya bukan wajib. Tetapi, seeloknya dan seharusnya, anak-anak mengambil inisiatif memberi sedikit sumbangan sebagai tanda penghargaan dan hadiah. Apalah sangat wang ringgit yang dimiliki jika dibandingkan dengan jasa dan pengorbanan ibu bapa.

Berbalik pada syarat wajib pemberian nafkah anak kepada ibu bapa ialah apabila perbelanjaan ibu tidak mencukupi disebabkan ayah tidak mampu memberikan nafkah kepada isteri (ibu) ataupun si ayah telah meninggal dunia. Justeru, tugas memberi nafkah itu akan jatuh kepada anaknya. Namun, jika si ibu berkahwin lain, nafkah itu akan diambil alih oleh suami barunya.

Tambah Dr Azizah lagi, hasil daripada kesepakatan ulama dalam hal ini, kita seharusnya sedar bahawa tanggung jawab kita terhadap ibu bapa, bukan sekadar bertanya khabar, melawat, dan sebagainya, tetapi daripada sudut material juga diwajibkan, termasuk memberi keperluan asas seperti makanan, pakaian, tempat tinggal, ubat-ubatan dan perbelanjaan rawatan perubatan.

Hal ini jelas sebagaimana firman Allah dalam surah al-Ankabut: 8, “Dan kami wajibkan manusia (berbuat) kebaikan kepada dua orang ibu bapanya.”

Tuntasnya, jika sebelum ini, ramai yang mengatakan urusan atau tanggungjawab pemberian nafkah terhadap ibu bapa itu hanya keutamaan kepada anak lelaki, tetapi jumhur ulama bersepakat bahawa lebih utama kepada anak-anak yang berkemampuan, tidak kira anak lelaki atau perempuan. Bahkan, tidak kira juga anak sulung mahupun bongsu. Yang penting, ia tertakluk kepada sesiapa yang berkelapangan, sama ada mempunyai harta ataupun pekerjaan.

Rasulullah s.a.w. pernah bersabda seperti yang diriwayatkan daripada Jabir, “Mulakan dengan diri sendiri dan belanjakanlah atas diri sendiri, jika ada lebihan maka belanjakanlah atas ahli keluarga, jika ada lebihan sesuatu daripada ahli keluarga, maka belanjalah kepada kaum kerabat, sekiranya ada lebihan sesuatu daripada kaum kerabat, maka begini dan begini.”

Sekiranya ibu bapa hanya mempunyai seorang anak, maka kewajipan nafkah itu akan dipikul seorang sahaja. Sebaliknya, jika lebih daripada seorang, ulama berbeza pandangan mengenainya. Menurut mazhab Imam Syafie, kewajipan membayar nafkah kepada kedua orang tua adalah sama walaupun ada perbezaan yang ketara di antara anak-anak daripada segi kelapangan.

Sementara pandangan kedua berdasarkan kelapangan masing-masing sebagaimana yang telah disebut sebelum ini. Anak yang mempunyai banyak harta atau pekerjaannya bagus maka kewajipannya lebih tinggi daripada yang tidak mempunyai banyak harta.

Dan pandangan yang ketiga, kewajipan tersebut mengikut kadar kelayakan harta pusaka, iaitu anak lelaki dua bahagian dan anak perempuan satu bahagian. Dr. Azizah turut berpendapat, pandangan ketiga nampak lebih munasabah dan adil kerana yang banyak menerima harta pusaka mestilah juga merupakan yang banyak menyumbang nafkah kepada ibu bapa.

Namun begitu, itu bukan bermakna bagi anak yang kurang menerima harta pusaka, mengabaikan tanggungjawab terhadap kedua orang tuanya. Tetapi jika ingin juga memberi, apa salahnya. Malah lebih baik begitu, yakni memberi kepada ibu bapa nafkah, jika berkemampuan. Wallahu a’lam Utv

Anak Tidak Wajib Memberi Nafkah Kepada Ibu Bapanya?

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker