5.9j kanak-kanak 5-11 tahun divaksin tahun depan

PUTRAJAYA: Pemberian vaksin kepada kira-kira 5.9 juta kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun dijangka dimulakan awal tahun depan dan mereka akan menerima vaksin Pfizer BioNTech.

Bagaimanapun, bercakap kepada Utusan Malaysia, Timbalan Menteri Ke­sihatan, Datuk Dr. Noor Azmi Ghazali berkata, kementerian masih menunggu kelulusan Agensi Regulatori Farmasi Negara (NPRA) untuk penilaian dan kelulusan pendaftaran pelaksanaan vaksin buat kumpulan itu menggunakan Pfizer.

“Tarikh belum pasti, tetapi sekitar awal tahun depan,” kata beliau baru-baru ini.



Sebelum ini, Kementerian Kesihatan memaklumkan, hanya vaksin Pfizer yang tersedia bagi kegunaan kanak-kanak bawah usia 12 tahun dan kerajaan sedang menunggu `lampu hijau’ regulatori daripada Kesatuan Eropah dan Amerika Syarikat (AS).

Malaysia menganggarkan sebanyak 11.8 juta dos vaksin diperlukan untuk diberikan kepada 5.9 juta kanak-kanak terbabit.

Sementara itu, Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru), Mohd. Azizee Hasan menggesa sesi persekolahan bersemuka membabitkan sekolah rendah ditangguh bagi menjaga keselamatan mereka dan guru-guru.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, beliau berkata, tindakan berkenaan perlu kerana difahamkan ramai dalam kalangan pelajar dan guru terutama sekolah rendah dijangkiti Covid-19 selepas menjadi kontak rapat semasa sesi persekolahan bersemuka yang dimulakan sejak 1 November lalu.



Menurut beliau, majoriti murid sekolah rendah belum divaksin berbanding pelajar sekolah menengah yang sudah hampir 100 peratus divaksinasi.

Berikutan itu, katanya, ramai ibu bapa enggan menghantar anak-anak mereka ke sekolah kerana bimbang dijangkiti virus itu sehingga kelas dilaporkan banyak kosong.

Presiden Persatuan Ibu Bapa Guru Nasional (PIBGN), Prof. Madya Datuk Mohamad Ali Hasan pula menggesa Kementerian Kesihatan mempercepatkan proses vaksinasi kumpulan berusia 5 hingga 12 tahun bagi mengurangkan risiko jangkitan.

Beliau berkata, langkah itu perlu bagi memastikan pelajar yang sihat dan tidak dijangkiti dapat meneruskan sesi persekolahan secara bersemuka seperti sediakala.



“Kita tidak mahu mereka yang sudah divaksin dan sihat tidak dapat peluang mendapatkan pendidikan disebabkan ada yang tidak divaksin dan tertinggal ke belakang dalam menimba ilmu,” katanya.

Menurutnya, penutupan sekolah tidak menyelesaikan masalah penularan Covid-19 dan isu pendidikan negara.

“Adakah disebabkan mereka tidak divaksin, perlu didenda mereka yang divaksin? Bagi saya apa yang penting sekarang semua perlu patuh SOP dan menjaga kesihatan yang baik di rumah serta persekitaran di sekolah,” katanya.

Akhir bulan lalu, AS meluluskan pemberian vaksin Pfizer kepada kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun, sekali gus bakal menyaksikan 28 juta populasi golongan itu di negara berkenaan menerima imunisasi Covid-19.



Keputusan itu dibuat selepas sebuah panel perubatan peringkat tinggi menasihati kerajaan supaya meluluskan pemberian vaksin berkenaan atas alasan faedah diketahui adalah melebihi risiko kesan sampingan.

Selain AS, hanya sebilangan kecil lagi negara lain meliputi China, Chile, Cuba dan Emiriah Arab Bersatu (UAE), yang menginokulasi kanak-kanak dengan pelbagai vaksin.

Malaysia sudah memulakan Program Imunisasi Covid-19 (PICK) kepada golongan remaja berusia 12 hingga 17 tahun dengan 80.4 peratus atau 2.53 juta kumpulan itu sudah mendapat vaksinasi lengkap setakat kelmarin.

Hanya sekitar 13 peratus remaja belum divaksin atau meliputi 407,508 orang, sekali gus menjadikan keseluruhan populasi Malaysia lengkap vaksin meningkat kepada 76.1 peratus.



Dalam pada itu, Malaysia semalam melaporkan sebanyak 6,355 kes baharu Covid-19 dan menjadikan jumlah kumulatif meningkat kepada 2,575,888 kes. Semalam juga adalah hari ketiga berturut-turut negara merekodkan angka jangkitan baharu melebihi 6,000 kes. – UTUSAN


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Tidak mahu divaksin? Anda perlu bayar kos di ICU



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker