Khasiat bunga telang, bukan sembarangan bunga

Sebaran :

Khasiat bunga telang, bukan sembarangan bunga

BUNGA telang atau nama saintifiknya ‘Clitoria Ternatea’ sering digunakan dalam masakan nasi kerabu dan kuih-muih tradisional.

Kegunaannya bukan sekadar untuk mencantikkan dan menambah seri kepada makanan malah mempunyai banyak khasiat yang ramai tidak mengetahuinya.

Rahsia bunga telang menarik minat ramai penyelidik untuk membongkar keistimewaannya termasuk Pensyarah Kluster Perubatan Integratif, Institut Perubatan dan Pergigian Termaju, Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Madya ChM Dr Lim Vuanghao.



Dr Lim berkata, bunga telang adalah sejenis bunga berwarna biru berasal daripada keluarga ‘Fabaceae’.

Menurutnya, ia juga antara kajian herba dilakukannya selain belalai gajah dan misai kucing.

“Saya pilih bunga telang kerana masyarakat tempatan sudah lama menggunakannya dalam masakan nasi kerabu dan kuih muih tradisional.

“Ketika kecil, saya gemar makan pulut tekan iaitu kuih tradisional masyarakat peranakan yang dimakan bersama kaya.



“Pada masa itu, saya terfikir adakah warna biru pada pulut ini pewarna, tetapi ibu memberitahu ia (warna biru) adalah daripada bunga telang,” katanya.

Kata Dr Lim, semasa melanjutkan pengajian di USM, beliau ada membeli nasi kerabu dan mendapati nasi itu juga berwarna biru seperti pulut tekan yang dimakan sebelum ini.

“Peniaga makanan itu mengatakan warna biru pada nasi berkenaan adalah daripada bunga telang.

“Ini membuatkan saya tertanya-tanya apakah bahan kimia yang terdapat pada bunga itu dan secara tidak langsung mencetuskan minat untuk membuat kajian.



“Kajian dimulakan pada 2012, tetapi terhenti apabila ketua penyelidik meninggal dunia dan juga atas beberapa kekangan lain.

“Sekarang kajian ini diteruskan untuk mengetahui lebih banyak kebaikan bunga telang,” katanya.

Dr Lim berkata, kebanyakan kajian bunga telang dilakukan untuk industri makanan, bagaimanapun penggunaannya masih tidak meluas kerana masih di peringkat kajian.

“Pada masa sekarang, penggunaannya lebih banyak di peringkat kampung untuk makanan dan minuman (teh).

“Bagi hasil kajian ini, lebih banyak tertumpu kepada kandungan kimia apabila ia mempunyai sebatian kimia yang berpotensi untuk rawatan tertentu.

“Contoh, warna biru pada bunga telang disebabkan oleh sebatian kimia daripada kumpulan flavonoid yang dikenali sebagai antosianin,” katanya.

Dr Lim berkata, antosianin dan beberapa sebatian kimia yang lain dikenal pasti mengandungi antioksidan tinggi.

“Antaranya ‘tanin’, ‘saponin’, ‘polyphenols’ dan beberapa kumpulan sebatian kimia yang lain,” katanya.

Ditanya mengenai nutrisi pada bunga telang, Dr Lim berkata, kandungannya lebih kurang sama dengan kandungan bahan kimia bunga berkenaan.

“Antaranya ialah karbohidrat, sedikit protein, serat, kalsium, magnesium dan potasium.

“Daripada segi khasiat, jika di kampung, kebiasaannya ia digunakan secara tradisional untuk merawat sakit kepala, antitekanan dan diminum sebagai isotonik bagi menyejukkan badan serta bahan antiserangga.

“Tetapi secara saintifiknya, bunga telang boleh bertindak sebagai ejen antioksidan, antibengkak, antidemam panas, antikesakitan dan antibarah,” katanya.

Mengulas lanjut, Dr Lim berkata, antioksidan adalah satu daripada ejen yang kandungan kimianya dapat melawan radikal menyebabkan kesan penuaan.

“Selain itu, antioksidan juga dapat menentang dan mencegah barah.

“Khasiat kedua ialah antikencing manis yang mengawal paras gula dalam darah. Dalam satu kajian klinikal di Thailand, penyelidik memberi minum air bunga telang dan air gula kepada beberapa individu.

“Pemeriksaan paras gula dilakukan mendapati, bunga telang dapat menstabilkan kandungan gula dalam darah,” katanya.

Kata Dr Lim, bunga telang juga bertindak sebagai ejen antibengkak.

Kajian terhadap tikus mendapati, kesan bengkak pada haiwan berkenaan berkurangan setelah diberikan ekstrak bunga telang.

“Khasiat lain bunga telang adalah bersifat antimikrobial yang berupaya merencat dan membunuh beberapa mikro organisma penyakit berjangkit.

“Ada panduan untuk hidangan teh bunga telang yang bancuhan air perlu pada suhu dan pH yang bersesuaian agar khasiatnya dapat dikekalkan,” katanya.

Jelasnya, suhu terbaik untuk membuat teh bunga telang ialah antara 60 hingga 70 darjah Celsius kerana suhu yang terlalu tinggi boleh mengurangkan khasiatnya.

“Antosianin agak sensitif kepada suhu tinggi dan juga pH. Penggunaan bunga telang boleh dipelbagaikan seperti meletakkannya ke dalam minuman bijirin anak.

“Warnanya yang biru akan menarik dan meningkatkan selera kanak-kanak untuk meminumnya,” katanya.

Dr Lim berkata, bunga telang juga boleh digunakan dalam pembuatan coklat.

Coklat berwarna perang dan apabila ditambah sedikit bunga telang, ia akan menghasilkan kelainan pada rasanya.

“Dalam pembuatan dodol pula, kegunaan bunga telang adalah untuk menambahkan warnanya.

“Kandungan antioksidan dalam antosianin pada bunga telang boleh menjadikan dodol tahan lebih lama,” katanya.

Menurutnya, bunga telang turut digunakan sebagai pewarna dalam aiskrim.

Sekiranya mencampurkan sedikit perahan limau maka aiskrim atau minuman akan bertukar warna kepada merah.

“Warna biru bunga telang ini apabila ditambah dengan alkali akan menjadi warna hijau kekuningan.

“Kini terdapat inovasi minuman menggunakan bunga telang yang mempunyai tiga warna iaitu biru, merah dan hijau,” katanya.

Kata Dr Lim, kajian keselamatan makanan yang dilakukan oleh penyelidik lain pula mendapati, bunga telang boleh dijadikan sebagai penanda dalam pembungkusan pintar.

“Ia berpandukan nilai pH 7 adalah berwarna biru manakala berasid (warna merah) dan alkali (warna hijau).

“Contoh, meletakkan ekstrak bunga telang dalam bungkusan daging. Sebarang perubahan warna yang berlaku kepada ektrak itu dapat mengukur tahap kesegaran daging ini.

“Ini kerana apabila daging sudah rosak (ada asid dan bakteria) maka warna ekstrak bunga telang akan bertukar kepada ungu atau merah.

“Kita sedang bekerjasama dengan beberapa syarikat pengeluar makanan bagi memperluaskan penggunaan bunga telang,” katanya. HM

Khasiat bunga telang, bukan sembarangan bunga


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU

Gangguan seksual berleluasa dalam industri hiburan

Mawar Rashid dilabel materialistik


Sebaran :

Leave a Reply