Ismail Sabri umum November dikenali sebagai Bulan Keluarga Malaysia

KUALA LUMPUR: Bulan Keluarga Kebangsaan yang disambut pada bulan November setiap tahun kini dikenali sebagai Bulan Keluarga Malaysia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, penjenamaan itu dilakukan selaras dengan pelaksanaan Dasar Keluarga Negara yang bermatlamat membangunkan keluarga yang sejahtera, sihat dan teguh serta berdaya tahan untuk memastikan kestabilan sosial demi kesejahteraan negara.

Bagaimanapun, katanya, ia berbeza dengan konsep Keluarga Malaysia yang menumpukan kepada usaha menyatupadukan rakyat dalam sebuah keluarga besar bagi menghadapi cabaran krisis berkembar iaitu ekonomi dan Covid-19.



“Ia juga bersifat actionable kerana setiap kementerian akan memperkenalkan sekurang-kurangnya satu program dan inisiatif yang bermatlamat membantu mengurangkan kesan ekonomi yang ditanggung rakyat.

“Seiring dengan semangat dan aspirasi Keluarga Malaysia, saya mengisytiharkan mulai tahun ini, Bulan Keluarga Kebangsaan akan dikenali sebagai Bulan Keluarga Malaysia,” katanya ketika melancarkan bulan Keluarga Malaysia di Taman Botani Perdana, hari ini.

Turut hadir Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun.

Pada masa sama, katanya, sambutan pada bulan November akan menjadi platform untuk menyemarakkan keutuhan serta keterangkuman dalam Keluarga Malaysia, sekali gus menjamin kemakmuran dan perpaduan sebuah keluarga yang besar.



“Selain penyertaan kementerian-kementerian dan kerajaan negeri sebagai penggerak utama program, kerajaan amat berharap sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti turut mengambil bahagian agar program kesejahteraan keluarga dilaksanakan sebaik dan sebanyak mungkin mengikut kapasiti masing-masing.

“Penganjuran program juga boleh dilakukan pada peringkat nasional secara gandingan kerjasama dengan agensi kerajaan sebagai satu acara nasional negara bagi mempertingkatkan kesejahteraan Keluarga Malaysia,” katanya.

Tambahnya, bulan Keluarga Malaysia juga didukung oleh Bajet 2022, apabila kerajaan memperuntukkan hampir RM2.7 bilion kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk melaksanakan inisiatif-inisiatif mendokong kesejahteraan rakyat khususnya orang kurang upaya (OKU), wanita, warga emas, kanak-kanak dan keluarga.

“Antara inisiatif yang akan dilaksanakan di bawah kementerian ini pada tahun hadapan ialah program di bawah Yayasan Keluarga Malaysia. Sebanyak RM25 juta diperuntukkan untuk membantu anak-anak yang kehilangan ibu bapa akibat Covid-19.



“Beberapa program telah dirangka untuk memastikan nasib anak-anak ini terus dibela. Selain daripada bantuan kewangan, anak-anak ini juga akan dibantu daripada segi emosi mereka dalam mendepani cabaran yang dihadapi ketika membesar tanpa ibu dan ayah.

“Pendekatan setiap anak memerlukan keluarga perlu dipupuk dalam setiap rakyat di negara ini.

“Yayasan ini juga akan diperluaskan bagi membantu anak-anak Keluarga Malaysia lain yang turut memerlukan sokongan seumpamanya,” katanya.

Justeru, Ismail Sabri memberi jaminan untuk terus komited dalam memberikan yang terbaik kepada rakyat.



“Konsep Keluarga Malaysia yang dibawa kerajaan hari ini akan terus dijadikan sebagai falsafah pentadbiran negara. Teruskan usaha bagi memastikan institusi keluarga di Malaysia terus terpelihara dan sejahtera,” katanya. -UTUSAN ONLINE

Ismail Sabri umum November dikenali sebagai Bulan Keluarga Malaysia


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET




Ketepi perbezaan, fokus jayakan bajet Keluarga Malaysia

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker