Gaji cecah puluhan ribu ringgit

Gaji cecah puluhan ribu ringgit

Gaji lumayan yang ditawarkan hingga mencecah puluhan ribu ringgit sebulan menarik minat pekerja tempatan untuk berlumba-lumba bekerja di luar negara.

Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sumber Manusia Malaysia (Pusma), Zarina Ismail berkata, gaji puluhan ribu ringgit itu ditawarkan bagi pekerja kolar putih atau tenaga profesional dan berkemahiran di luar negara.

Katanya, bagi pekerja kolar biru atau pekerja bawahan, gaji yang dinikmati juga lebih tinggi berlipat kali ganda berbanding gaji minimum RM1,200 di Malaysia.

“Contohnya gaji seorang tukang cuci di Singapura sekarang pun RM3,007 iaitu gaji minimum di negara itu sekarang manakala gaji pengawal keselamatan pula RM3,380.

“Kalau pekerja kolar putih, berkali ganda lebih mahal kerana mereka dikategorikan sebagai ekspatriat seperti jurutera, juruterbang dan doktor,” jelasnya.

Dalam sidang Dewan Rakyat pada Isnin, Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim berkata, telah menjadi kelaziman bahawa tarikan gaji yang tinggi di luar negara terutama negara-negara maju merupakan salah satu tarikan utama rakyat Malaysia sanggup bekerja di luar negara seperti Australia dan Korea Selatan.

Memperincikan perkara itu, Zarina berkata, beliau pernah menghantar seorang jururawat bekerja di Riyadh, Arab Saudi dan jururawat itu dapat membawa pulang wang tunai sebanyak RM60,000 dalam tempoh dua tahun bekerja di negara berkenaan.

“Terbaharu, saya turut menguruskan seorang pensyarah kanan bergelar profesor di sebuah universiti yang mahu bekerja di luar negara dan beliau sendiri memaklumkan antara faktor untuk berhijrah adalah disebabkan gaji,” ujarnya.

Menurutnya, persekitaran kerja yang kondusif juga menjadi faktor mengapa ramai pekerja tempatan berhijrah ke luar negara.

Mengambil contoh pekerja sektor kolar biru seperti kerja di ladang, katanya, kemudahan mesin dan teknologi yang digunakan mendorong pekerja tempatan untuk bekerja di sana.

“Kalau kita bandingkan ladang di negara luar dan di negara ini, kita akan nampak perbezaannya kerana kemudahan mesin yang digunakan menjadikan kerja-kerja ladang menjadi ringan.

“Selain itu, di negara luar juga kita lihat jarang majikan buat kerahan tenaga sebaliknya gaji dibayar dengan baik dan kebajikan pekerja juga dijaga,” katanya.

Ditanya mengenai jumlah perkerja tempatan yang berkerja di luar negara ketika ini, beliau memberitahu, Pusma tidak mempunyai statistik berkenaan.

Bagaimanapun, Zarina menegaskan, pekerja tempatan berminat untuk bekerja di luar negara bukan sebab memilih kerja tetapi disebabkan keperluan hidup yang mendesak.

Katanya, dengan gaji minimum RM1,200 di negara ini sekiranya pekerja tinggal di bandar mereka tergolong di dalam kelompok miskin bandar dan keseluruhan gaji itu tidak mampu menampung hidup sepenuhnya.

“RM1,200 ini tidak mampu beli atau bayar semua keperluan. Kalau nak ada kereta, nak sewa rumah, memang tak cukup.

“Oleh itu, kerajaan sepatutnya kaji semula kadar gaji minimum ini kerana dengan kenaikan kos sara hidup sekarang ia wajar dinaikkan kepada RM1,500 kerana kita juga bukan negara mundur sebaliknya negara membangun,” katanya.

Zarina menambah, kalau kerajaan tidak mengkaji kadar gaji lama kelamaan semakin ramai rakyat berhijrah ke luar negara menyebabkan negara akan kehilangan lebih ramai tenaga pakar.

Ujarnya, ia adalah kerugian yang akan ditanggung Malaysia untuk tempoh jangka panjang.

Justeru itu, katanya, kerajaan juga seharusnya memberi insentif khas kepada golongan pekerja tempatan kolar putih yang bekerja di luar negara untuk pulang menyumbang tenaga di tanah air dan melatih pekerja pelapis di bidang masing-masing. Sinar

Gaji cecah puluhan ribu ringgit


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU</a


Siakap Kayangan: Pelanggan bidas semula jawapan restoren ‘Menipu kuat’

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker