Bolehkah PH menang PRN Melaka?

DUA minggu lalu, ruangan ini telah memberikan analisis ringkas kemampuan Barisan Nasional (BN) untuk memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Dengan gelanggang bakal dibuka pada Isnin, maka untuk berlaku adil, ruangan ini juga akan cuba mencongak peluang Pakatan Harapan (PH) dalam PRN tersebut.

Jika prestasi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dijadikan sandaran, PH memang berpotensi kembali memerintah.

Walaupun senario PRU14 sangat berbeza dengan keadaan semasa, jumlah 15 kerusi bagi membentuk majoriti bukanlah mustahil dicapai.

Kedudukan semasa (tidak termasuk empat kerusi Bebas yang keluar daripada pakatan kerajaan) memperlihatkan PH masih mempunyai 11 kerusi, hanya kurang empat kerusi.

Keputusan BN bergerak solo dijangka memudahkan laluan PH. Perebutan undi antara BN, PH dan Perikatan Nasional (PN) menerusi pertandingan tiga penjuru sekali lagi akan menguji serta mencorak keputusan pilihan raya seperti PRU14.

Walaupun Melaka antara kubu kuat BN terutama UMNO, mengharapkan undi orang Melayu semata-mata pada pilihan raya yang sangat terbuka dilihat belum selamat, dengan komponen bukan Melayu BN yang masih sukar menyaingi PH terutama DAP.

Ketika PRU14, BN terutama UMNO hanya menang 13 kerusi – enam daripadanya dimenangi dengan majoriti kurang 1,000 undi.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau mencatatkan majoriti kemenangan paling tipis dengan 130, diikuti Asahan (275), Rim (536), Lendu (627), Taboh Naning (740) dan Pantai Kundor (772). Kesemua komponen bukan Melayu BN (MCA, MIC dan Gerakan) tewas di 10 kerusi yang diperuntukkan bagi DUN Melaka.

Kawasan bukan Melayu jelas menjadi nadi kekuatan PH. Pada PRU14, PH bukan sahaja mengekalkan tujuh kerusi dimenangi ketika PRU13, malah berjaya merampas lapan DUN daripada BN.

PRN Melaka kayu ukur kekuatan parti politik menjelang PRU15

PENGARUH UMNO

Untuk rekod, DUN tersebut ialah empat kerusi UMNO (DUN Rembia, Durian Tunggal, Paya Rumput dan Telok Mas), tiga kerusi MCA (DUN Klebang, Bemban dan Machap Jaya) serta satu kerusi MIC (DUN Gadek). Jika kedudukan itu kekal, jelas PH berpeluang untuk menang.

Namun, memenangi undi orang Melayu masih menjadi cabaran terbesar PH. Kejayaan PH ketika PRU14, sebahagian besarnya disebabkan peralihan undi Melayu daripada UMNO terhadap Amanah dan Bersatu.

Kehilangan empat kerusi UMNO di DUN Rembia kepada PKR, Paya Rumput dan Telok Mas (Bersatu) serta Durian Tunggal (Amanah), selain kegagalan UMNO merampas DUN Bukit Katil (dimenangi Amanah 2018) yang asalnya dimenangi Pas dengan majoriti 48 undi pada PRU13, menyumbang kepada kemenangan PH ketika itu.

Bagaimanapun, pengaruh UMNO dalam memancing undi Melayu masih boleh disaingi PH menerusi tiga perkara. Pertama, pertandingan tiga penjuru yang memecahkan undi parti bertanding.

Dengan gabungan Bersatu dan Pas dalam PN, ada kebarangkalian undi PN akan membesar kali ini berbanding Pas ketika bertanding sendirian pada PRU14. Ketika PRU14, pertandingan tiga penjuru jelas memberi kelebihan kepada PH di Melaka.

Kedua, UMNO masih menghadapi defisit kepercayaan terutama dalam kalangan orang Melayu yang rata-rata melihat PRN kali ini berpunca daripada ‘perang dalaman’ UMNO Melaka. Kemelut kepimpinan dan isu konsesi pasir di Melaka jelas memperlihatkan UMNO masih belum berubah serta insaf, antara perkara menyebabkan UMNO ditendang ketika PRU14.

Ketiga, kekuatan PH melalui calon Cina dan India yang berketerampilan masih sukar disaingi MCA dan MIC dalam BN. Untuk menang secara solo, UMNO perlu menang 15 daripada 17 kerusi DUN yang ditandingi ketika PRU14.

Untuk rekod, ketika PRU13, UMNO menang 17 kerusi daripada 21 kerusi yang dimenangi BN, berbanding tujuh oleh Pakatan Rakyat (PR).

Faktor calon Ketua Menteri juga dilihat mampu menjerat BN. Setakat ini walaupun BN masih belum menyatakan siapa Ketua Menteri sekiranya menang PRN, sosok-sosok yang disebut mewakili BN itu dilihat kurang berwibawa dan tidak dipercayai.

Kalau PH mampu menyaingi BN dalam hal ini, PH ada kelebihan.

* Mujibu Abd Muis ialah Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi Universiti Teknologi MARA (UiTM)

Bolehkah PH menang PRN Melaka?


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


PRN Melaka: BN gerak solo, tanding 28 kerusi

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker