PRN Melaka kayu ukur kekuatan parti politik menjelang PRU15

Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka adalah medan terbaik untuk mengukur kekuatan parti politik yang bertanding, kata penganalisis politik, Shahbudin Embun.

Beliau berkata, keputusan PRN ini adalah sebagai persiapan untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) daripada segi strategi dan kerjasama politik sebenar.

Melihat senario semasa, katanya, keputusan terakhir PAS yang mahu menggunakan lambang Perikatan Nasional (PN) dalam PRN Melaka bermakna tidak akan ada kerjasama parti itu bersama UMNO dalam Muafakat Nasional (MN).



“Keputusan PAS itu telah pun ditentukan oleh Majlis Syura Ulama yang bersidang baru-baru ini.

“PAS dilihat lebih selesa bersama Bersatu berbanding UMNO walaupun terpaksa tidak menggunakan lambang bulan yang menjadi tradisi puluhan tahun,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Tidak berasa hairan dengan keputusan itu, beliau menambah, ini kerana pencapaian PAS di Melaka pada PRU14 pun tak begitu memberangsangkan.

“PAS tidak menang walau satu kerusi pun. Mereka hilang wang pertaruhan di semua tempat yang ditandingi kecuali tiga kawasan,” katanya.



Sementara itu, di pihak Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pula, katanya lagi, jika dilihat daripada rekod pencapaian pada PRU14, ia hanya memenangi dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sewaktu dalam Pakatan Harapan (PH) yang menggunakan lambang PKR. 

Ketika itu, katanya, Bersatu mendapat sokongan majoriti daripada pengundi kaum Cina dan India. 

“Bagaimanapun, PRN kali ini undi tersebut agak sukar untuk diperolehi disebabkan Gerakan sebagai parti komponen dalam PN tidak mempunyai pengaruh dalam masyarakat Cina dan India,” katanya.

Manakala, di pihak UMNO-Barisan Nasional (BN), mereka kalah tipis pada PRU14 dengan memenangi 13 kerusi DUN dari 28 yang dipertandingkan. 



Shahbudin berkata, banyak faktor yang menyebabkan UMNO kalah tipis di Melaka yang menjadi kubu kuat mereka sebelum ini. 

Antaranya adalah janji bulan dan bintang dalam manifesto yang tidak dapat menarik pengundi muda serta atas pagar. 

“Percaturan kali ini jauh berbeza dari PRU yang lepas. Apakah keputusan PRN kali ini lebih baik bagi UMNO-BN jika dibandingkan dari PRU14, ianya masih menjadi tanda tanya,” katanya.

Tidak dapat dinafikan bahawa UMNO-BN hanya dijangka menang selesa jika ada kerjasama PAS dalam MN, kata Pengerusi Biro Politik Majlis Perundingan Melayu (MPM) itu.



“Begitu juga PAS dijangka dapat buat pertama kali bertapak dalam DUN Melaka sekiranya bekerjasama dengan UMNO-BN. Namun PAS memilih jalan berliku. 

“Apakah pertimbangan strategi yang diambil kira kali ini masih tidak dapat dipastikan.

“Walaupun UMNO tidak bersama PAS, namun ianya janganlah sampai jadi permusuhan kerana kedua-dua parti ini mewakili majoriti pengundi Melayu Islam di negara kita. 

“Bertandinglah secara berhemah kerana dalam politik apa-apa pun boleh berlaku di masa yang akan datang demi ukhwah Islamiyyah,” katanya.



PRN Melaka kayu ukur kekuatan parti politik menjelang PRU15


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


PRN Sarawak dalam masa 60 hari bermula hari ini



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker