Kembali perkasakan penyatuan ummah

SELEPAS Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Pas agak terkontang-kanting walaupun meraih 18 kerusi Parlimen.

UMNO yang memiliki 54 kerusi menghulur tangan membawa Pas memulakan langkah baharu berdepan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya kecil (PRK) Sungai Kandis (4 Ogos 2018) dan Seri Setia (8 September 2018).

Tewas UMNO dan Pas di kedua-dua kerusi itu. Baru merangkak dan akhirnya bertatih, berjalan, seterusnya bersama UMNO, telah berjaya membuktikan kesepakatan dua parti Melayu terbesar itu sehingga memenangi tujuh daripada 11 PRK (tidak bertanding di Sandakan).



Bukan itu sahaja, hubungan kerjasama Pas-UMNO digeruni semasa PH memerintah. Kedua-dua parti sepakat antaranya menentang percubaan meratifikasi ICERD (Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum), UEC (Sijil Peperiksaan Bersepadu) dan mengusahakan pindaan RUU 355. Kerajaan PH kemudian gagal bertahan setakat 22 bulan sahaja.

Kali terakhir Pas bersama MN ialah pada PRK Slim, 29 Ogos tahun lepas yang dimenangi UMNO, sebelum pemimpin-pemimpin induk Pas tarik handbrake terhadap UMNO dalam kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah 26 September 2020.

Selepas masuk kerajaan Perikatan Nasional (PN), Pas tidak lagi menoleh ke belakang. Dan sekali gus menjadikan Muafakat Nasional (MN) ibarat telaga ditinggalkan. Selepas itu, hubungan dengan UMNO sekadar ‘suam-suam kuku’.

Dalam kolum PM Tepi kali ini, wartawan Utusan MalaysiaZULKIFLI JALIL menarik perhatian Timbalan Presiden UMNO, DATUK SERI MOHAMAD HASAN akan harapannya kepada masa depan MN.



Dalam pertemuan di Kuala Lumpur Jumaat lalu, Pengarah Jentera PRN Melaka dari Barisan Nasional (BN) itu tetap yakin kepada kewibawaan UMNO untuk terus menjadi penyandar kepada agenda orang Melayu.

UTUSAN: Pas masih belum buat ketetapan jelas kedudukannya dalam MN. Apa kata Datuk Seri?

MOHAMAD: Kita telah buat resolusi dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 iaitu tidak akan ada kerjasama dengan DAP, PKR dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) semasa PRU-15.

Tetapi banyak orang tak baca habis sebab resolusi di usul nombor 5 PAU UMNO itu akan terus memperkasakan kedudukan MN sebaik mungkin.



Mereka ‘baca sebelah’ sahaja. Terpulanglah kepada Pas sama ada hendak pilih bersama dengan BN atau PN. Dalam keadaan ini kita tak boleh satu kaki sini, satu kaki sana. Pas buat pilihanlah. Kalau Pas bersama dengan MN, kita sentiasa terbuka memang dari dahulu lagi.

Tindakan Pas sebelum ini terutama semasa PRN Sabah, September 2020 melukakan UMNO?

UMNO sebuah parti yang sudah lama sejak 1946. Luka, cedera biasalah dalam peperangan dan pertempuran. Tetapi yang penting kita masih jujur.

MN cukup berjaya pada pasca PRU-14 terutama tahun 2019 dan 2020, tetapi kenapa tiba-tiba ‘terhenti’? Siapa yang keluar? Siapa yang berpecah?



Ada yang mahu penyatuan ummah melibatkan sama Bersatu?

Penyatuan Melayu bukan melibatkan parti semata-mata kerana kita bercakap pasal ummah. Banyak orang Melayu tak berparti.

Untuk tujuan ini, MN akan UMNO perkasakan. Kita tidak akan sia-siakan MN. Agendanya akan diteruskan, waima UMNO terpaksa berseorangan.

Ramai orang Melayu mengakui MN muncul ketika pentadbiran PH ‘mengetepikan’ orang Melayu. Benarkah dakwaan ini?



Inilah wajah ‘mereka’. Selama ini bila kita cakap, orang tidak percaya. Tapi selepas diberi kuasa 22 bulan, ‘mereka’ benar-benar menterjemahkan wajah sebenarnya. Ada hikmahnya, kalau tidak orang takkan percaya.

Barangkali PRN Melaka 20 November ini satu platform yang tepat untuk mengukuhkan kembali MN?

UMNO tidak pernah ada agenda untuk tinggalkan MN. Kita tak pernah tutup pintu. Cuma rakan kita sahaja terpaksa membahagi dua sejak kita tandatangani piagam MN (pada 14 September 2019).

PRESIDEN UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi (duduk kiri) dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menandatangani Piagam MN di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 14 September 2019. – UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI

UMNO PENYANDAR AGENDA ORANG MELAYU



Masihkah UMNO menjadi sandaran orang Melayu?

Saya tidak kata UMNO akan menjadi sandaran orang Melayu kerana masa sudah berubah. Kalau tahun-tahun 60-an, 70-an bolehlah (dikatakan begitu). Tetapi sekarang UMNO perlu sebagai penyandar kepada agenda orang Melayu.

Menjadi penyandar dan tempat sandaran, dua perkataan berbeza. Kita cuba jadi penyandar kepada Melayu.

Untuk tujuan ini UMNO perlu meneliti dasar-dasarnya dan agendanya supaya selari dengan keadaan semasa. Orang Melayu tahun 2021 ini tak sama dengan masyarakat Melayu tahun 60-an. Ketika itu orang Melayu perlukan bantuan. Tapi sekarang kehidupan orang Melayu sudah berubah.

Mereka banyak berdikari. Kejayaan UMNO mentadbir negara selama 62 tahun telah berjaya menjadikan ramai orang Melayu kelas menengah M40 (berpendapatan sederhana). Golongan ini tak lagi perlukan tongkat, dahan tempat bergantung dan mereka berdikari.

Jadi, UMNO kena sesuaikan diri. Dasar-dasar, gerak kerja dan pemikiran UMNO mesti selari. Tetapi dalam masa sama kita ada masyarakat B40 (berpendapatan terendah) luar bandar yang memerlukan dahan untuk bergantung. Dasar untuk golongan ini masih ada.

Maka UMNO kena pelbagaikan pendekatan dan dasar untuk Melayu. Demikian juga untuk golongan T20 (berpendapatan tinggi).

Kalau ini boleh dilakukan, saya yakin orang Melayu ingat jasa UMNO. Orang Melayu sentiasa mengenang jasa, tetapi kita UMNO mesti pastikan persekitarannya beroperasi.

Peluang kepada orang muda dalam UMNO?

Banyak orang bercakap UMNO perlu bagi ruang kepada orang muda, padahal kita parti yang sentiasa bagi ruang.

Ramai pemimpin muda datang daripada UMNO. Tiada isu hal ini. Banyak timbalan menteri hari ini dari kalangan orang muda, menteri pun muda.

Adakah Undi18 kalangan pengundi 18,19 dan 20 tahun satu ancaman kepada parti-parti politik?

Kalau lihat ia satu ancaman atau kekangan, jadilah ia ancaman dan kekangan. Jika ia dilihat pula peluang meremajakan parti, ambillah peluang itu.

Anak muda lebih pada golongan idealistik dan mengikut idola-idola. Mereka akan ikut idola. Macam kiambang, akar tak sampai ke bumi. Ada ke kiri, ke kanan. Maknanya mesti ada idola itu. Kalau itu cara menambat hati anak muda, maka UMNO mesti ada idola.

Hasilkan beberapa orang idola untuk jadi ikutan anak muda. Bila bersama, mereka dapat lihat UMNO secara dekat dan boleh memahami realiti makna satu perjuangan.

Walaupun PRN Melaka belum lagi menjadi destinasi Undi18, gelanggang itu akan tetap menjadi perhatian dan contoh mereka, bukankah begitu?

Apa yang kita boleh buat adalah janji. Tawaran-tawaran ini (manifesto) mesti berpijak di bumi nyata, bukannya menawarkan bulan dan bintang kepada pengundi.

Apakah masa depan Malaysia? Orang ramai mahu lihat apa yang orang UMNO dan BN boleh buat untuk kesejahteraan mereka. Rakyat hendak lihat kehidupan semula selepas Covid-19 melanda.

Melaka runtuh ekonominya kerana 70 peratus bergantung kepada sektor pelancongan. Ini sehinggakan penarik beca pun hilang mata pencarian. Ini perlu dijadikan teras parti untuk bekerja sungguh-sungguh.

Antara kegagalan PH?

Janji 14 Manifesto PH iaitu pelantikan Pesuruhjaya-Pesuruhjaya SPRM perlu disahkan secara demokratik oleh Jawatankuasa Terpilih Parlimen.

Kita lihat janji 15 manifesto itu iaitu Peguam Negara akan dilantik dari kalangan ahli Parlimen yang berkelayakan dan beliau akan menjadi seorang menteri yang boleh meneruskan peranan sebagai penasihat undang-undang bagi kerajaan.

Jabatan Pendakwa Raya pula akan dipegang oleh individu lain yang bebas dan bertindak tanpa mengira kepentingan politik kepartian. Ini semua tidak dilaksanakan (dalam 22 bulan pemerintahan PH). Jangan buat janji sampai tak boleh ditunaikan.

Apa kesan dari pemerintahan 22 bulan PH tempoh hari?

Kesannya, daripada negara yang ekonominya berkembang enam peratus, antara yang terbaik di Asia, menjadi Malaysia yang hari ini kita terkial-kial. Itulah kesannya. Rakyat ingat lepas mengundi, dia (boleh) ‘cuci tangan’. Tak tahu lepas rakyat mengundi, akibatnya akan balik pada rakyat.

Jadi, berhati-hatilah sebelum kita mengundi. Ini bukan (program) Akademi Fantasia. Lepas mengundi, terus balik rumah. Undi yang kita bagi jika tidak berfikir, akan menyebabkan kita sengsara. Jangan ikut emosi atau suka-suka.

DIANGGARKAN hampir 100,000 hadir pada himpunan #DaulatHimpunan812 bagi menolak ICERD di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada 8 Disember 2018.

Khabarnya ada 19 kerusi majoriti Melayu di Melaka?

Bukan 19 tetapi 23 kemuanya yang mana kerusi-kerusi ini masih ada majoriti pengundi Melayunya melebihi 50 peratus.

Adakah ini bermaksud peluang cerah kalau UMNO dan Pas bekerjasama menerusi MN?

Dengan 23 kerusi ini harap bersambutlah oleh Pas. Ahli UMNO di seluruh negara ada tiga juta dan Pas sejuta. Tetapi orang Melayu yang tak berparti ini ada berbelas juta. Salahlah kalau kita katakan bahawa dengan UMNO disertai Pas, Melayu akan menang.

Tak begitu. Kalau setakat UMNO dengan Pas, belum tentu kita boleh menang. Tapi kita berikan panduan platformnya ialah untuk kita satupadukan.

Rumusannya?

Masyarakat Melayu dan bumiputera sudah berlapis-lapis. Tak macam dahulu zaman B40 nya 90 peratus. Satu dasar kita buat, pergi ke semua orang Melayu yang terdiri daripada golongan B40, M40 dan T20.

Jadi, UMNO mesti ada pelbagai dasar untuk dapat kita menjadi penyandar kepada golongan-golongan ini.

Mereka berjaya kerana dasar-dasar kerajaan. Berjaya bukan ‘menjadinya’ begitu sahaja.

Ramai kata aku ahli perniagaan hingga mampu jadi jutawan, sedangkan mereka berjaya kerana dasar kerajaan itu. Kalau berniaga di negara yang huru-hara boleh berjayakah mereka? Dasar kerajaanlah yang orang kata menjadikan persekitararan operasinya yang baik.

Jadi, UMNO mesti mempunyai dasar yang sesuai. Yang sentiasa memberi galakan keuntungan kepada golongan-golongan ini.

Mereka perlukan UMNO untuk menjadi penyandar kepada dasar mesra perniagaan, dasar ekonomi dan dasar fiskal kita. Golongan M40 banyak daripada kelas menengah, yang bekerja profesional. Dasar yang UMNO buat itu jadi penyandar kepada golongan ini. Mereka masih perlu dibantu.

Kembali perkasakan penyatuan ummah


Baca Artikel Menarik:

Layari Laman Facebook MYKMU.NET


Ada berita gembira kerjasama UMNO, Pas, Bersatu – Tuan Ibrahim

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker