Tiga beranak tidur bawah jambatan ‘diselamatkan’ polis

Tiga beranak tidur bawah jambatan ‘diselamatkan’ polis

GEORGE TOWN – “Dua bulan kami tinggal di bawah Jambatan Pulau Pinang susulan tiada kediaman dan tidak sangka kehadiran polis bagi menyiasat satu kes berhampiran lokasi memberi sinar baharu buat kami sekeluarga.”

Demikian luahan Mohd Effendee Md Yusoff, 42, yang kini ditempatkan di rumah teduhan Anjung Singgah, Lebuh Chulia di sini sementara mendapatkan penempatan baharu.

Menurut Mohd Effendee, kehidupan mereka sekeluarga berubah pada Julai tahun lalu apabila kediaman mereka di Jelutong di sini hangus sepenuhnya dalam satu kebakaran.

Jelasnya, selepas insiden itu dia dan dua anaknya, Muhammad Alif Maulana, 10 dan Muhammad Arif Maulana, 11, merantau ke Johor, Lembah Klang dan Ipoh, Perak sebelum pulang semula ke Pulau Pinang pada Julai lalu.

“Saya kerja buruh kontrak dalam tempoh merantau di beberapa negeri itu sebelum pulang ke sini (Pulau Pinang) untuk membina semula kehidupan kami.

“Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan menyebabkan saya tidak dapat bekerja di Pulau Pinang dan hanya menggunakan wang simpanan yang ada. Wang hasil kerja itu cukup untuk saya sewakan rumah membuat kami sewa hotel bajet untuk tinggal di malam hari.

“Bagaimanapun, selepas semua wang itu habis kami terpaksa hidup gelandangan dengan berteduh di bawah Jambatan Pulau Pinang arah pusat bandar,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette hari ini.

Tambah Mohd Effendee, selama dua bulan di bawah jambatan itu dia akan berjaga pada malam hari bagi memastikan dua orang anaknya tidak diganggu termasuk mengelak daripada kehadiran haiwan berbisa.

Katanya, pada siang hari pula dia akan menangkap belangkas serta menjala ikan untuk makanan mereka.

“Itulah rutin kami tiga beranak selama dua bulan sebelum sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut datang bagi menyiasat satu kes yang dilaporkan berlaku berhampiran kawasan mereka berteduh.

“Saya beri kerjasama penuh kepada pihak polis dan tidak sangka mereka (polis) bantu dapatkan tempat perlindungan sementara buat saya dan anak-anak.

“Buat masa ini, saya tinggal di Anjung Singgah dan saya sedang usaha dapatkan kerja memandangkan pendapatan sebagai nelayan hanya RM500 sebulan itu cukup untuk makan dan minum kami sahaja.

“Harapan saya mahu hantar anak-anak ke sekolah tahfiz sekurangnya mereka mampu meneruskan pembelajaran selain mempunyai tempat tinggal yang selesa,” kata Mohd Effendee.

Sementara itu, Pengarah Yayasan Kebajikan Negara Zon Utara II, Zulkifli Yaacob berkata, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah memberi bantuan RM300 secara one-off kepada keluarga berkenaan sebaik mereka diselamatkan.

Jelas beliau, pihaknya juga telah berbincang dengan pihak berkuasa tempatan untuk mendapatkan kediaman di Projek Perumahan Tempatan kepada keluarga terbabit.

“Proses bantuan secara bulanan daripada JKM juga telah diuruskan selain kita kini dalam usaha mendapatkan kelengkapan untuk Mohd Effendee turun ke laut daripada agensi kerajaan serta pihak badan bukan kerajaan

“Buat masa ini, kita membenarkan keluarga ini tinggal di anjung sementara mereka dapat penempatan baru yang kekal. Sesi kaunseling turut diberikan kepada ketua keluarga tersebut dalam memastikan anak-anaknya kembali semula ke sekolah,” katanya.

Orang ramai yang ingin menyalurkan bantuan kepada keluarga berkenaan boleh salurkan menerusi akaun Maybank 162076512316 Mohd Effendee Md Yusoff. MG

Tiga beranak tidur bawah jambatan ‘diselamatkan’ polis


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU

Minuman keras dibenarkan di bandar Arab Saudi?

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker