Tommy Thomas disaman Najib kali kedua

Sebaran :

Tommy Thomas disaman Najib kali kedua

Datuk Seri Najib Razak mengemukakan saman terhadap bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas dan penerbit buku My Story: Justice In The Wilderness kerana mendakwa memfitnahnya apabila mengaitkan beliau dengan pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Ia adalah saman kedua difailkan Najib selepas bekas perdana menteri itu mengambil tindakan undang-undang sama terhadap Tommy pada 22 Oktober lalu atas dakwaan melanggar kuasa dalam jawatan awam apabila mendakwanya dengan tuduhan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Selain Tommy, saman itu turut menamakan GB Gerakbudaya Enterprise Sdn Bhd sebagai defendan kedua.



Dalam saman terbaru hari ini, Najib berkata, pada 3 Januari lalu, Tommy menulis dan menyebabkan buku berkenaan diterbitkan yang mana defendan membuat kenyataan fitnah yang serius terhadapnya dalam bab ke-42 buku itu dengan tajuk “Altantuya.”

Melalui saman difailkan firma guaman Tetuan Shafee & Co di Mahkamah Tinggi Shah Alam, beliau berkata, dirinya dipaparkan dengan meluas dalam bab 42 dan bab lain buku berkenaan yang mana pembaca akan mengetahui kenyataan fitnah terbabit merujuk kepadanya.

“Kenyataan fitnah itu diterbitkan dan diulang penerbitannya di pelbagai laman sesawang, blog dan media.

“Walaupun tuduhan itu sangat berat, kedua-dua defendan tidak melakukan sebarang tindakan untuk mengesahkan fakta dengan saya atau memberi peluang saya memberikan komen terhadap kenyataan fitnah itu.



“Perenggan itu antara lain membawa maksud saya terbabit dalam pembunuhan berkenaan sedangkan Mahkamah Persekutuan sudah mensabitkan dan menjatuhkan hukuman terhadap dua bekas anggota Unit Tindakan Khas (UTK), Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar,” katanya.

Najib berkata, ketika menulis buku itu, Tommy dengan sengaja menanamkan benih keraguan dalam minda pembaca bahawa beliau bertanggungjawab dan berkonspirasi dengan mereka yang didapati bersalah dalam kes terbabit.

Beliau berkata, dengan tindakan itu, Tommy menyalahgunakan kedudukannya sebagai Peguam Negara dengan mencari dan mengada-adakan bukti terhadapnya .

Katanya, keseluruhan motif Tommy adalah untuk membawa tuduhan membunuh secara tidak sah terhadapnya kerana sudah pasti apabila dituduh kelak, beliau tidak akan ditawarkan sebarang jaminan.



“Keseluruhan rancangan jahat beliau adalah untuk memastikan saya dipenjarakan dan tidak dapat bertanding pada pilihan raya akan datang.

“Dengan cara itu, ia akan memberikan tamparan besar terhadap UMNO dan Barisan Nasional (BN). Ia juga bertujuan menjatuhkan populariti saya yang sejak kebelakangan ini banyak meresahkan pihak yang menentang UMNO/BN.

“Berikutan penerbitan buku itu, saya dimalukan dan menyebabkan reputasi saya tercalar,” katanya.

Susulan itu, Najib memohon perintah supaya defendan memadamkan kenyataan fitnah dalam buku itu dan perintah injunksi menghalang defendan atau ejen mereka daripada mengeluarkan kenyataan sama.

Beliau turut menuntut permohonan maaf daripada kedua-dua defendan, aku janji untuk tidak menerbitkan kenyataan sama, ganti rugi am, teruk dan teladan serta relif lain difikirkan sesuai oleh mahkamah. BH

Tommy Thomas disaman Najib kali kedua


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU

Timbalan Menteri tersipu malu bila ditanya hendak bernikah ke?


Sebaran :

Leave a Reply