Mereka panggil saya ‘Padayappa’ di Baling – Azeez

Mereka panggil saya ‘Padayappa’ di Baling – Azeez

Ahli Parlimen Baling Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, beliau berkomunikasi dalam Bahasa Tamil dengan kira-kira 5,600 pengundi berbangsa India, yang merujuknya sebagai “Padayappa”, hero filem Tamil yang memperjuangkan rakyat miskin dan tertindas.

Merujuk kepada pertikaian di Dewan Rakyat antara beliau dan RSN Rayer (PH-Jelutong) berhubung bahasa yang digunakan Azeez ketika cuba menenangkan seekor gajah baru-baru ini, beliau berkata, apa yang cuba disampaikannya adalah betapa mulianya Bahasa Tamil, malah gajah turut membalas dengan mengangguk.

“Anda boleh pergi ke Baling dan bercakap dengan pengundi India. Mereka malah memanggil saya Padayappa, merujuk kepada hero filem Tamil yang baik hati, dilakonkan oleh bintang terkemuka, Rajinikanth.

“Saya fasih bertutur dalam Bahasa Tamil, menunjukkan saya bukan sahaja menerima bahasa itu tetapi juga menyanjunginya,” katanya kepada FMT.

Filem yang diterbitkan pada 1991 itu, juga bertajuk Padayappa, mendapat sambutan hangat di India dan diaspora India, termasuk Malaysia, di mana masyarakat berbilang kaum dikatakan menikmati tema itu – adiwira yang memerangi ahli politik dan tuan tanah berkuasa yang menganiaya golongan miskin.

Pertikaian di Dewan Rakyat itu tercetus setelah Rayer mencelah ketika Azeez berbahas, mendakwa Ahli Parlimen Umno itu menghina Bahasa Tamil.

Sebelum itu, Azeez bertutur dalam Bahasa Tamil di Dewan Rakyat apabila bercerita pengalamannya membantu menenangkan seekor gajah, bernama “Awang Bukit Hijau”, supaya ia boleh dipindahkan ke Terengganu.

“Gajah ini sungguh istimewa. Pertama, gajah ini faham Bahasa Tamil, Siam dan Myanmar. Ini kemungkinan gajah masa zaman dulu,” katanya.

Speaker Dewan Rakyat Azhar Harun mengarahkan Rayer keluar dewan selama 10 minit kerana enggan duduk apabila diarahkan.

Azeez berkata, beliau kecewa dengan tindakan Rayer mencelah tanpa faham konteks penerangan beliau mengenai penggunaan bahasa berkenaan dengan gajah.

“Kelakar apabila orang Melayu cuba terangkan betapa mulianya Bahasa Tamil, sehinggakan gajah pun tunduk kepada arahan dalam bahasa itu. Kemudian (Rayer) mencelah tanpa faham apa yang saya cuba sampaikan,” katanya.

Beliau berkata, beliau mula belajar Bahasa Tamil sejak kecil ketika tinggal di kawasan kejiranan India yang besar di Kampung Medan di sini.

Tambahnya, beliau memanggil semua rakannya berbangsa India “anneh”, yang bermaksud “abang” dalam Bahasa Tamil.

Beliau berkata, video insiden dalam Parlimen itu sedang tular dan rakyat boleh lihat sendiri apa yang beliau katakan, serta bagaimana Ahli Parlimen pembangkang itu mencelah.

“(Orang ramai) boleh tengok dan buat kesimpulan sendiri,” katanya. FMT

Mereka panggil saya ‘Padayappa’ di Baling – Azeez


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU

Kekayaan Elon Musk kini RM1 trilion

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker