Apabila hati penjawat awam sudah terhiris

PERISTIWA anugerah penyapu daripada bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo memang tidak dapat dilupakan sampai bila-bila dalam sejarah perkhidmatan awam di negeri itu.

Ia berlaku pada Disember 2007 apabila Khir Toyo menyerahkan sebatang penyapu kepada Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan yang merupakan Pegawai Daerah Hulu Selangor dan Yang Dipertua Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) ketika itu, Tukiman Nail.

Kini Nor Hisham sudah menjadi Datuk Bandar Kuala Lumpur (DBKL). Jawatan yang dipegangnya itu bukan calang-calang kerana beliau menjaga pusat ekonomi yang menjadi nadi utama negara.



Khir Toyo melakukan perkara tersebut kerana MDHS mencapai kutipan cukai yang tidak memuaskan iaitu kurang daripada 40 peratus pada 2006.

Perbuatan Khir Toyo menjadi buah mulut banyak pihak dan telah memalukan perkhidmatan awam negeri ketika itu.

Ia turut mendapat reaksi Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) yang membidas tindakan tersebut.

Setahun selepas itu, Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12) dilaksanakan dan menyaksikan buat pertama kali dalam sejarah negeri Selangor jatuh ke tangan pembangkang. Barisan Nasional (BN) juga tumbang di Kedah, Pulau Pinang dan Perak.



Kisah anugerah penyapu itu dikatakan menjadi sebahagian kecil daripada punca kekalahan tersebut. Antara isu besar lain di negeri itu adalah penolakan masyarakat India yang tidak berpuas hati dengan layanan Khir Toyo terhadap mereka terutama dalam isu kuil.

Sementara itu, Nor Hisham pula terus berusaha keras dan bangkit bagi membuktikan bahawa penjawat awam mampu memberikan kualiti perkhidmatan terbaik. Sikap Nor Hisham itu menjadi inspirasi kepada seluruh kakitangan awam.

Natijahnya, beliau berjaya meningkatkan hasil kutipan cukai dalam masa dua tahun sehingga mendapat anugerah cemerlang RM100,000 daripada bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim pada tahun 2009.

Baru-baru ini, tular video di media sosial yang didakwa membabitkan Exco Pemberdayaan dan Pembangunan Sosio Ekonomi dan Kerajaan Prihatin Selangor, V Ganabatirau yang dilihat memaki hamun kakitangan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).



Beliau yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Kemuning itu dikatakan telah meminta maaf berhubung ketelanjurannya itu, namun nasi sudah menjadi bubur kerana banyak hati terluka dengan tindakan Ganabatirau.

Sepatutnya beliau dapat menahan perasaan dan menggunakan cara lebih berhemah untuk menegur penjawat awam.

Zaman ini adalah zaman media sosial dan video yang merakamkan perlakuan beliau itu sudah tersebar bukan sahaja di Malaysia, malah ke seluruh pelosok dunia.

Sudah tentu, ia akan jadi modal politik dan sukar untuk dipadamkan sampai bila-bila, walaupun ada pihak mempertahankan tindakan beliau adalah demi untuk kebaikan penduduk di Kota Kemuning.



Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka juga semakin hampir dan dengan kesilapan yang dibuat oleh Ganabatirau, ia pasti akan memberi kesan besar kepada Pakatan Harapan (PH). Malah, PRU15 juga dijangka dilaksanakan tahun depan.

Mungkin PH sudah terlalu selesa di Selangor selepas tiga penggal mentadbir sehingga tidak lagi menjaga hati dan perasaan penjawat awam.

Semoga apa yang berlaku itu menjadi iktibar kepada semua pihak terutama pemimpin-pemimpin politik. Mereka menjawat jawatan yang tinggi dalam pentadbiran negeri dan negara disebabkan rakyat yang memilih pada pilihan raya. Mereka juga boleh dilucutkan jawatan tersebut oleh rakyat dengan cara yang sama.

Harus diingat terdapat 1.6 juta kakitangan awam di Malaysia dan mereka akan terus kekal sehingga sampai usia persaraan tetapi hayat ahli politik tidak lama. Mereka datang dan pergi lima tahun sekali.



Apabila hati penjawat awam sudah terhiris


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU,NET


Exco Selangor maki penjawat awam, MB kata akan beri nasihat [VIDEO]



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker