PRN Melaka: Pertimbang semula SOP larangan berkempen

Sebaran :

SEREMBAN: Prosedur operasi standard (SOP) Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang tidak memberikan kebenaran terhadap sebarang aktiviti berkaitan pilihan raya diadakan perlu dipertimbangkan semula.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, sekatan terhadap aktiviti, perhimpunan atau majlis sosial berkaitan pilihan raya dalam PRN Melaka disifatkan beliau sebagai sesuatu yang tidak baik dalam amalan demokrasi.

“Saya tidak nampak itu medium terbaik dalam demokrasi, kita Fasa 4, kita sudah benarkan orang merentas negeri, kita benarkan orang anjurkan kenduri, ceramah di masjid dan surau, ada aktiviti di rumah ibadat lain tetapi apabila berkempen itu tidak boleh, saya rasa itu sesuatu yang sukar diterima.

“Sukar untuk kita buat penceritaan tentang pedemokrasian ini, dan kita (pembangkang) juga tidak dapat ruang di televisyen, radio, ini perkara yang harus dipertimbangkan sebelum hari penamaan calon. Saya harap Kementerian Kesihatan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dapat sediakan SOP lebih baik demi demokrasi di Melaka,” katanya.



Aminuddin yang juga merupakan Menteri Besar Negeri Sembilan berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Negeri di sini hari ini.

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri, PKR Negeri Sembilan itu juga menambah, rakyat Melaka perlu diberi peluang untuk melihat dan menilai siapakah pemimpin yang harus mereka pilih dengan betul.

“Sekarang kita sudah ada SOP, kalau dibuat perjumpaan pun kita kena jarakkan dan ia sentiasa dirakam gambar, setiap program politik akan ada anggota keselamatan yang memantau daripada segi pematuhan dan sebagainya jadi saya tidak nampak kenapa perkara itu sukar dilaksanakan di Melaka.

“Apabila ceramah juga, kita boleh wajibkan mereka yang ada kerusi sahaja boleh duduk dan hadkan bilangan, tiada masalah, itu yang sepatutnya boleh dilakukan. Selalunya juga ceramah bukan dibuat dalam keadaan tertutup tetapi, saya rasa itu lebih baik, kalau tidak patuh pada waktu itulah keluarkan kompaun mengikut akta,” katanya.



Sementara itu, Aminuddin berkata, kerajaan negeri meminta pertimbangan supaya dos penggalak vaksin Covid-19 diberikan kepada semua barisan ahli Exco kerajaan negeri dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negeri ini.

Jelas beliau, perkara itu berikutan golongan tersebut perlu berurusan dengan rakyat sekali gus dapat meningkatkan perlindungan diri daripada wabak berkenaan.

PRN Melaka: Pertimbang semula SOP larangan berkempen


Baca Artikel Menarik :



Layari Laman Facebook MYKMU.NET


9 daripada 10 tidak mahu UMNO bersama BERSATU


Sebaran :

Leave a Reply