Guru Cemerlang Kimia terima anugerah Global Teacher Award 2021

Sebaran :

Komathy menunjukkan pengiktirafan dan anugerah yang diterimanya sepanjang 14 tahun berkhidmat dalam profesion guru

IPOH – Guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ave Maria Convent Ipoh yang pernah menerima pengiktirafan sebagai Guru Cemerlang Kimia terpilih memenangi Global Teacher Award 2021.

V Komathy, 38, menerima pengiktirafan antarabangsa itu pada majlis yang dianjurkan secara maya melalui laman Facebook rasmi dan saluran YouTube AKS Education Awards sekitar jam 6.30 petang pada Ahad.

Lulusan Sarjana Pendidikan Kimia dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan kini sedang melanjutkan pelajaran dalam Pendidikan Kimia di universiti sama, Komathy disenarai pendek daripada 26,000 penyertaan dari negara-negara lain.

Sepanjang 14 tahun bergelar pendidik, beliau bukan sahaja menjadi guru akademik bagi subjek Kimia, tetapi turut aktif dalam bidang inovasi sehingga namanya dikenali di peringkat antarabangsa.



Antara produk inovasi terbaik dihasilkan ialah Chem-Ester Kit: Chem-Ester Kit 2.0 iaitu produk PdPC Kimia dan Biomass Activated Carbon (BAC) for Toxic Dyes Removal: Towards a Sustainable environment yang merupakan produk aplikasi ilmu Kimia dalam penyelesaian masalah.

Ketika ditemui Komathy berkata, pengiktirafan yang diterima itu menjadi penyuntik semangat dan motivasi kepada dirinya untuk membawa lebih banyak pembaharuan dalam pembelajaran kimia.

“Penghargaan ini begitu besar dan sebagai guru sudah tentu saya terharu serta berbangga kerana usaha kecil yang dilakukan selama ini mendapat perhatian pelbagai pihak.

“Saya harap pengiktirafan ini dapat dijadikan inspirasi kepada guru-guru lain untuk berusaha lebih gigih mendidik anak bangsa dengan cemerlang,” katanya.



Komathy menunjukkan antara inovasi yang dihasilkan dalam subjek Kimia sehingga namanya dikenali di peringkat antarabangsa.

Penerima Anugerah Wanita Inspirasi Global 2021 dan pingat emas bagi Pameran Inovasi Saintis Muda Malaysia 2021 (Mysie2021) (Sains Persekitaran) itu berkata, kreativiti dan inovasi dalam pembelajaran mampu meningkatkan minat pelajar terhadap subjek Sains.

Atas faktor itu, beliau sedaya upaya menambah baik kaedah mengajar menerusi penghasilan inovasi subjek Kimia bagi memudahkan pengajaran dan pembelajaran (P&P) dalam bilik darjah.

“Kimia memang subjek kurang digemari kerana penuh formula dan banyak melibatkan pengiraan, sebab itu perlu mendidik dengan cara menghiburkan untuk menarik minat pelajar dalam mata pelajaran ini supaya tidak mudah putus asa untuk belajar,” katanya.



Ibu kepada tiga cahaya mata yang telah menghasilkan beberapa penulisan ilmiah buku kimia untuk terbitan Nilam itu mahu melihat jurang pencapaian antara pelajar bandar dan luar bandar khususnya dalam subjek Sains dapat dikecilkan melalui peningkatan kemudahan mengajar.

Jelas beliau, dalam perkembangan dunia pendidikan sekarang, banyak menggunakan konsep pembelajaran dalam talian, jadi penggunaan alat bantu mengajar dapat membantu ke arah peneguhan dan pemahaman pelajar.

“Orang kata saya menjadi inspirasi kepada guru lain, tetapi sebenarnya inspirasi saya lahir daripada anak-anak murid saya sendiri.

“Melihat keadaan mereka yang dahagakan ilmu membuatkan saya mengorak langkah lebih jauh dalam kerjaya guru,” katanya.

Guru Cemerlang Kimia terima anugerah Global Teacher Award 2021


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Gagal mendapat simpati UMNO di Melaka, Bersatu ugut tarik sokongan di Pusat?

 


Sebaran :

Leave a Reply