Gagal mendapat simpati UMNO di Melaka, Bersatu ugut tarik sokongan di Pusat?

PETALING JAYA: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) meminta UMNO mengkaji keputusannya bertanding sendirian pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kerana tindakan itu boleh menjejaskan hubungan kedua-dua parti di peringkat ke­rajaan Pusat.

Sumber dalaman Bersatu berkata sekiranya krisis UMNO dan Bersatu di Melaka berterusan, parti itu sedia mengkaji soko­ngan terhadap kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam masa terdekat.

isu keputusan Umno bertanding solo antara perkara dibincangkan dalam mesyuar­at Bersatu di ibu pejabat parti berkenaan, dekat sini malam kelmarin.

Jika keadaan itu berlaku, kerajaan pimpinan Ismail Sabri akan tumbang kerana daripada 114 ahli Parlimen yang menyokong, sebanyak 37 daripadanya merupakan ahli Parlimen Bersatu.

Kata sumber itu, situasi itu akan mendorong Pilihan Raya Umum (PRU) lebih awal meskipun perjanjian persefahaman (MoU) antara kerajaan dan pembangkang yang dimeterai sebelum ini meletakkan syarat PRU tidak boleh diadakan sebelum Julai 2022.

“Kalau krisis dekat Melaka ni berterusan, UMNO masih nak bertanding solo, kita semua akan tarik sokongan daripada mereka.

“Kesannya, mungkin bubar lebih awal kali ni? Fikir sendirilah,” katanya.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi semasa bercakap kepada pemberita sebelum ini menegaskan, parti itu membuat keputusan tidak bekerjasama dengan Bersatu dalam PRN Melaka dan ia juga pendirian yang dibuat pada Perhimpunan Agung UMNO 2020 termasuk menetapkan keputusan parti tidak akan mengadakan kerjasama dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan DAP pada PRU-15.

Bagaimanapun, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid dilaporkan berkata, perkara itu akan diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.

Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) sepatutnya diadakan pada 2023 dengan mengambil kira cukup tempoh lima tahun satu penggal.

UMNO sebelum ini menarik sokongan terhadap bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang turut hilang majoriti sokongan ahli Parlimen menyebabkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinannya tumbang.

Tindakan UMNO yang turut disokong parti lain menyebabkan Muhyiddin tidak mempunyai pilihan meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri selepas cadangannya untuk membentuk kerjasama bipartisan turut tidak mendapat sokongan parti-parti politik.

Pemerhati politik turut meramalkan peluang UMNO untuk menang selesa dalam PRN Melaka adalah sukar sekiranya parti itu terus berpendirian untuk bertanding secara solo dan mengetepikan kerjasama politik dengan Bersatu dan Pas dalam PN.

Sebaliknya, mereka berpendapat pertemuan tiga penjuru hanya akan menguntungkan Pakatan Harapan (PH).

Gagal mendapat simpati UMNO di Melaka, Bersatu ugut tarik sokongan di Pusat


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


UMNO Perlu Seiring Dan Tidak Ada Pilihan Lain Jayakan Kerajaan Hari Ini

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker