Tiada istilah UMNO lama atau baharu, bezanya perjuangan



Sebaran :

UMNO adalah UMNO. UMNO tidak pernah salah kerana UMNO hanya wadah politik, tetapi yang salah adalah manusia yang memimpin UMNO, rakus, tamak, sanggup hancurkan parti demi kepentingan diri…

Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah pada Jumaat lalu mengetuai mesyuarat dengan sekumpulan veteran UMNO bagi membincangkan usaha mewujudkan semula ‘UMNO lama’.

Ku Li yang merupakan bekas Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO itu, menzahirkan rasa bimbang ketidaktentuan politik serta kemampuan kerajaan yang diterajui UMNO ketika ini mengembalikan kestabilan dalam negara.

Justeru,Ku Li mahukan satu kajian perlu dijalankan, apakah dapatan (diwujudkan semula UMNO lama) itu betul.



Ditanya sama ada satu parti baharu akan ditubuhkan bagi menghidupkan semula UMNO lama, Ku Li berkata, tiada keperluan berbuat demikian. Apakah akan disusuli dengan penubuhan sebuah lagi parti politik yang akan memecah-belahkan Melayu?

Semua masih ingat, pada 4 Februari 1988, UMNO diisytiharkan sebagai sebuah pertubuhan haram oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Pengharaman itu berpunca tindakan sekumpulan ahli UMNO dikenali Kumpulan 11 yang memihak kepada Ku Li mengheret parti itu ke mahkamah. Ia bertujuan mencabar keputusan pemilihan parti yang berlangsung pada 24 April 1987. Akibatnya, membawa kepada UMNO diharamkan. UMNO dalam bentuk ‘baharu’ pun ditubuhkan.

Parti UMNO sebenarnya tidak pernah salah, kerana ia hanya sebuah pertubuhan parti. UMNO adalah UMNO, tetap UMNO, sama ada lama atau baharu, perlembagaannya masih sama. Yang salah adalah manusia yang dipertanggungjawabkan untuk memimpin UMNO. Pemimpin inilah yang mencorakkan UMNO



Sebab itu, tidak ada istilah UMNO lama atau baharu tetapi soal perjuangan pemimpin UMNO dahulu dan sekarang.

UMNO dahulu sudah dikenali sebagai penyelamatkan bangsa Melayu. UMNO begitu tegas dan berani menentang British, sejajar dengan kata-kata Hang Tuah, tak Melayu hilang di dunia.

Perjuangan UMNO dahulu adalah kerana agama, bangsa dan negara. Tidak ada kepentingan diri atau niat untuk berlumba-lumba jadi Menteri. Jauh sekali untuk mendapat habuan besar.

Pemimpin UMNO dahulu dihormati, sangat dialu-alukan dan disokong oleh hampir setiap lapisan orang Melayu. Mereka adalah pejuang dan wira anak bangsa. Sebab itu, tidak banyak parti ditubuhkan kerana rakyat percaya kepada Melayu UMNO.



Perjuangan UMNO dahulu berjaya menyatu-padukan orang Melayu, tanpa mengira latar belakang, pangkat dan darjat, sama ada mereka datang daripada sekolah aliran Melayu, Inggeris atau agama. Orang Melayu berjaya disatukan meskipun datang daripada negeri yang berbeza, raja berbeza dan apa jua yang membezakan mereka.

Hebat Melayu dahulu. Dalam kata lain, sanggup korbankan diri untuk parti demi agama, bangsa dan negara. Perjuangan mereka suci, tiada kepentingan diri. Jarang dengar terpalit dengan salah guna kuasa, korupsi dan rasuah.

Perjuangan UMNO sangat telus. Berani kerana benar. Mempertahankan jati diri bangsa, Bahasa Melayu sehingga nama Persekutuan Tanah Melayu menjadi mainan bibir, bukannya Federation of Malaya. Nama Federation of Malaya ialah terjemahan kepada Bahasa Inggeris dan dianggap oleh orang Melayu sebagai bukan nama rasmi.

Beritulah kentalnya pemimpin UMNO dahulu dengan jati dirinya. Apa jua yang melanda parti, tetap teguh bersama. Segala masalah diselesaikan secara musyawarah. Tidak ada istilah lompat parti.



Pemimpin UMNO dahulu, kalau rakyat nak jumpa, senang sahaja. Mereka keluar dengan kain pelekat dengan baju pagoda sahaja, ada yang sanggup berbasikal menyelami hati naluri rakyat marhaen.

Dahulu UMNO tegas, tidak ada kompromi dengan musuh terutama ultra kiasu yang memperjuangkan Malaysian Malaysia. Sebarang bentuk perjuangan yang mahukan samarata samarasa akan ditentang habis-habisan kerana itu adalah hak dalam sebuah negara asal-usul Melayu.

Ultra kiasu yang memperjuangkan idealisme komunis dan sekolah perkauman terus dicabut kewarganegaraannya. Tegas dan berani berhadapan dengan Dong Zong dan Jiao Zong serta NGO rasis lain.

Hebatkan! pemimpin dan perjuangan UMNO dahulu. Sekarang sudah berbeza.



Sekarang semuanya, sudah menjadi terbalik, beza UMNO dahulu dan sekarang. “Semua jadi boleh” asalkan dapat berada di puncak kuasa. UMNO semakin cair. Perebutan kuasa menjadi percaturan sehingga melemahkan bangsa dan agama yang dianutinya.

Pemimpin sekarang mahu berada di tampuk kuasa sampai mati meskipun usia dan tenaga tidak membenarkan lagi.

Mereka akan cantas siapa sahaja yang cuba menggantikan tempatnya daripada jawatan ketua kampung, penghulu, ketua cawangan, bahagian sehingga peringkat yang lebih tinggi dalam kerajaan. Meskipun yang mencabarnya itu jauh berwibawa dan berkelayakan.

Dalam kata lain, sebarang cubaan untuk mengganggu-gugat kuasa mereka akan dicantas secepatnya. Pendek kata, sekarang UMNO dipersepsikan hanya berjuang untuk diri sendiri semata-mata, dan tidak lagi untuk agama, bangsa dan negara.

Saya tidak kata semua, tetapi persepsi adalah sebegitu. Biasanya, dalam politik persepsi itulah realiti politik sebenar. UMNO sepatutnya belajar daripada PRU14, yang menjadikan parti keramat tidak dapat lagi menjadi pemerintah. Meskipun, sekarang kembali berkuasa, itu bukan jaminan, masih terumbang-ambing. Bila-bila boleh tumbang jika lompatan berlaku.

Tidak dinafikan UMNO masih boleh terus berkuasa, jika menyeberang kepada parti pembangkang, kerana apabila majoriti tidak banyak, semua boleh menjadi ‘king maker’ atau norma baharu politik. Persoalannya, di manakah prinsip perjuangan UMNO dahulu?

Hairan sama sekali, ingatlah PRU14, adalah merupakan amaran terakhir kepada UMNO daripada rakyat mendepani PRU15. Malangnya, iktibar ‘masih belum’ dipelajari dengan kelemut terbaharu di Melaka, sehingga tidak mustahil kepada kepada Pilihan Raya Negeri (PRN).

Ingat! Kemenangan UMNO dalam PRU 13 disebabkan rakyat tidak ada pilihan. Mereka amat takut jika pemimpin Melayu ultra kiasu menang bersama dengan ultra kiasu DAP, maka akan hancurlah harapan orang Melayu. Maka, mereka masih memilih UMNO. Peluang masih diberikan kepada UMNO.

PRU14 menjadi sebaliknya. Rakyat bangkit mengajar UMNO. UMNO hilang kuasa, PH memerintah selama 22 bulan. Sekarang, UMNO berkuasa kembali. Persoalannya, apakah UMNO yakin akan terus berkuasa jika PRU15 nanti?

Seperti kata Tun Mahathir, dahulu lain, sekarang lain. Sejarah dan kecapaian dahulu tidak akan meraih sokongan selama-lamanya. Dahulu dahulu, sekarang sekarang. Hanya berharap kepada kata-kata hikmat Hang Tuah, “Tak akan Melayu hilang di dunia” tidak mencukupi. Mungkin Melayu tidak akan hilang di dunia, tetapi apakah jenis Melayu yang tidak hilang ini.

Apakah mereka terdiri dari pencuci kasut, pemandu kereta, kuli yang terbongkok-bongkok menyembah bangsa lain yang menjadi Tuan mereka. Dan apakah nasib UMNO? Ia akan jadi cerita dongeng dalam buku kanak-kanak zaman akan datang.

Untuk menyelesaikan masalah UMNO bukan dengan menubuhkan UMNO lama, kerana UMNO tetap UMNO. Tidak ada yang lama, tidak ada yang baharu.

Kembalikan roh perjuangan pimpinan UMNO dahulu. Ahli-ahli UMNO mesti tampil berani menegur, menyedar dan mengubah pucuk pimpinan mereka. Korban diri untuk parti, bukannya korbankan parti untuk diri.

Kepada YTM Ku Li, patik mohon, jangan ditubuhkan lagi parti Melayu yang baharu, dalam apa jua bentuk lama atau baharu. Melayu akan terus berpecah lagi. Musuh bertepuk tangan akibat perpecahan ini.

Paling penting, hidupkan semangat perjuangan UMNO dahulu. Yakinlah, jika ahli-ahli (pemimpin) UMNO gagal kembali kepada dasar perjuangan pemimpin UMNO dahulu, pasti rakyat akan melakukannya, kerana rakyat sudah semakin meluat sandiwara ini.

Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah

Tiada istilah UMNO lama atau baharu, bezanya perjuangan


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Audio sailang Hadi, Takiyuddin enggan ulas


Sebaran :


Leave a Reply