Kebenaran bakal terbongkar



SHAH ALAM – Isu hangat yang menjadi tumpuan rakyat bakal diketahui berikutan kerajaan menubuhkan tiga jawatankuasa khas bagi menyiasat kes membabitkan kematian anggota bomba, Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim, dakwaan terhadap bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas dan kes Pedra Branca/ Pulau Batu Puteh.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam satu kenyataan pada Sabtu berkata, keputusan tersebut dibuat selepas mengadakan mesyuarat kabinet pada Jumaat.

Penubuhan jawatankuasa pertama adalah untuk memastikan siasatan menyeluruh, telus dan pembelaan sewajarnya terhadap kes kematian Allahyarham Muhammad Adib yang akan dipengerusikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Turut menganggotai adalah Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin; Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun.

Susulan berita yang dinanti-nantikan seluruh rakyat Malaysia itu, bapa kepada Muhammad Adib, Kassim Abdul Hamid, 65, berharap ia memberi sinar baharu kepada keluarganya setelah tiga tahun memperjuangkan keadilan kematian anak keduanya itu.




Dia sebelum ini hanya mendengar desas desus mengenai penubuhan jawatankuasa berkenaan, namun tidak pasti pelaksanaannya.

Pada 17 Disember 2018, Muhammad Adib meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN), sebulan selepas mengalami kecederaan ketika berada di lokasi kejadian susulan rusuhan di luar Kuil Seafield Sri Maha Mariamman di Subang Jaya pada 27 November 2018.

Dalam perkembangan sama, kabinet bersetuju untuk menubuhkan sebuah pasukan petugas khas siasatan bagi membuat kajian awal sebelum sebarang tindakan seterusnya diambil terhadap dakwaan Tommy Thomas di dalam bukunya ‘My Story: Justice in the Wilderness’.

Pasukan petugas tersebut akan dipengerusikan oleh bekas Ketua Hakim Negara yang akan dilantik dalam masa terdekat, manakala Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) dan Jabatan Peguam Negara (AGC) pula bertindak sebagai urusetia.

Pada Februari lalu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) memaklumkan pihaknya menerima 134 laporan terhadap Tommy Thomas berhubung penerbitan buku biografinya yang didakwa mengandungi fakta tidak benar, menghina dan berunsur fitnah.




Buku tersebut dipercayai turut mendedahkan beberapa perkara berkaitan isu penyalahgunaan kuasa dalam pelantikan hakim, campur tangan melampau pihak eksekutif dalam bidang pengadilan, pendakwaan terpilih dan bersifat politik.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim turut menggesa kerajaan menyemak semula 15 kes yang didakwa digugurkan ketika Tommy Thomas memegang jawatan Peguam Negara.

Penubuhan jawatankuasa yang ketiga pula ialah membuat kajian menyeluruh, meneliti dan mencadangkan opsyen-opsyen yang bersesuaian dengan mendapatkan pandangan daripada pakar undang-undang antarabangsa.

Usaha itu untuk menyemak semula undang-undang berkenaan permohonan semakan dan pentafsiran berkenaan kes Pedra Branca/Pulau Batu Puteh yang akan dipengerusikan oleh bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali.

Pada 2008, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) menamatkan pertikaian perebutan ke atas Pulau Batu Puteh antara Malaysia dan Singapura yang berlaku sejak 1979 selepas membuat keputusan menyerahkan kedaulatan kawasan tersebut kepada republik berkenaan.




ICJ bagaimanapun dalam ketetapannya itu memutuskan bahawa hak milik Tubir Selatan yang terletak kira-kira empat kilometer dari Pulau Batu Puteh ditentukan mengikut persempadanan perairan negara yang menguasainya.

Sehubungan itu, ketiga-tiga jawatankuasa yang dipersetujui Jemaah Menteri akan diberi tempoh selama enam bulan bagi memperoleh dapatan dan cadangan yang akan dibentangkan di dalam mesyuarat kabinet untuk tindakan susulan.

Kebenaran bakal terbongkar


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU





Adun Dap Melaka marah surat dihantar tanpa pengetahuannya

 



Leave a Reply

Your email address will not be published.