Pemerintah Dubai guna spyware Israel godam telefon isteri

Pemerintah Dubai guna spyware Israel godam telefon isteri

Pemerintah Dubai menggunakan program pemantauan Israel untuk menggodam telefon isteri dan sekutu rapatnya, menurut mahkamah Britain.

Keputusan Mahkamah Tinggi British mendapati agen-agen Sheikh Mohammed bin Rashid al-Maktoum melakukan ‘pengawasan yang menyalahi undang-undang’ terhadap bekas isterinya, Puteri Haya, penolong peribadi, dua orang peguam dan dua ahli pasukan keselamatannya dengan menggunakan spyware Pegasus keluaran firma teknologi Israel, NSO Group selepas beliau melarikan diri ke London bersama-sama dua orang anaknya, lapor UPI.

Spyware Pegasus membenarkan operasi mendengar perbualan telefon dan menukarkannya kepada data termasuk log panggilan, e-mel, koordinat Sistem Kedudukan Global (GPS), teks mesej dan rakaman daripada kamera telefon dan mikrofon, menurut The Washington Post.

Para pegawai NSO berkata, Pegasus dilesenkan secara eksklusif kepada kerajaan untuk menjejaki pengganas serta penjenayah dan syarikat itu boleh membatalkan kontrak sekiranya siasatan mendapati peralatan pengawasan itu disalah guna.

NSO Group dalam satu kenyataan kepada The New York Times berkata, kumpulan itu komited terhadap hak asasi manusia dan bekerjasama dengan siasatan mahkamah walaupun ia tidak mengikraf bidang kuasanya.

“Bila masa terdapat salah guna timbul, NSO akan menyiasat, NSO memberi amaran, NSO menamatkan (kontrak),” kata syarikat itu.

Telefon Haya digodam sebanyak 11 kali semasa musim panas 2020 berikutan arahan ‘ungkapan atau bayangan’ Sheikh Mohammed ketika bekas isterinya bersedia untuk menghadapi perbicaraan berkaitan panjagaan diri dan anak untuk tempoh masa panjang, menurut keputusan mahkamah itu.

Dokumen mahkamah turut menunjukkan lebih 250 megabit data beliau ‘dimampat dan ditukar’ daripada telefon beliau, termasuk sejumlah besar gambar, video, rakaman audio, teks mesej atau e-mel.

Menurut keputusan itu, isteri bekas Perdana Menteri Britain, Cherie Blair dan seorang penasihat NSO telah diberitahu tentang penggodaman itu dan memaklumkan kepada peguam-peguam Haya.

Sheikh Mohammed juga cuba membeli ladang seluas 77 ekar (31 hektar) yang terletak berhampiran rumah Haya di London di mana ia mungkin ‘lokasi utama untuk pengawasan secara terus atau pengawasan elektronik’.

Pasukan perundangan Haya memberitahu mahkamah, beliau ‘hidup dalam ketakutan selain bimbang tentang keselamatan anak-anaknya’ sejak beliau meninggalkan Dubai pada April 2019.

“Rasa seperti saya diekori, tiada tempat yang selamat untuk saya pergi,” katanya.

Sheikh Mohammed yang menafikan dakwaan tersebut berkata, perkara itu yang menjurus kepada kebimbangan terhadap pengawasan ‘sepatutnya operasi keselamatan negara’ dan keputusan mahkamah ‘tidak memberi gambaran penuh’ kerana ia berasaskan bukti yang tidak didedahkan kepadanya atau penasihat-penasihat beliau.

Beliau menggesa adalah tidak wajar untuknya sebagai ketua kerajaan menyediakan bukti dalam prosiding yang membabitkan keluarganya di mahkamah asing tetapi Hakim Andre McFarlane menyatakan Sheikh Mohammed telah menyerahkan kenyataan saksi dan mengarahkan pasukan perundangan beliau tidak melibatkan diri dengan perbicaraan itu.

“Tiada di peringkat mana-mana, bapa ini menawarkan sebarang petunjuk tentang kekhuatiran kepada ibu (wanita) yang menjaga anak mereka berdasarkan telefon beliau telah digodam dan keselamatannya diceroboh.

“Malah beliau telah mengawasi satu pasukan forensik yang hebat untuk mencabar dapatan ini, dan menentang kes terhadap beliau (Haya),” tulis McFarlane. Agensi

Pemerintah Dubai guna spyware Israel godam telefon isteri


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Penang White Curry Noodles dipilih mee segera terbaik di Amerika

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker