RMK12: Makin cekapkah sektor awam?

MENYEDARI hakikat peranan signifikan perkhidmatan awam dalam proses pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat, kerajaan menyasarkan pelaksanaan inisiatif transformasi perkhidmatan awam melalui Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) yang bermula tahun ini hingga 2025. Bagi merealisasikan hasrat tersebut, RMK12 akan memberi perhatian khusus untuk meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam dan memastikan pelaksanaan dasar yang berkesan.

Dalam konteks ini, penyusunan semula struktur dan fungsi kementerian serta agensi bagi meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam untuk memastikan pelaksanaan dasar yang berkesan menjadi salah satu fokus utama dalam RMK12. Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika membentangkan RMK12 menggariskan proses ini membolehkan agensi yang lebih mendatar diwujudkan, selain mengurangkan kerenah birokrasi.

Di samping itu, mekanisme pemilihan dan pengambilan pegawai pengurusan dan profesional dalam pelbagai skim akan diperkukuh bagi memperoleh bakat yang terbaik. Malah, kerajaan juga menzahirkan komitmen untuk mengkaji cadangan memperkenalkan akta perkhidmatan awam bagi membolehkan pelaksanaan pengasingan kuasa dan tanggungjawab yang jelas antara anggota pentadbiran dengan penjawat awam.



Secara prinsipnya, pelaksanaan RMK12 dilihat bakal mengubah wajah perkhidmatan awam melalui satu proses transformasi yang menyeluruh bagi memenuhi ekspektasi pelanggan pada masa hadapan. Misalnya, pada hari ini kita dapat lihat rakyat sudah boleh menerima dan mengadaptasi proses penyampaian pelbagai perkhidmatan kerajaan secara dalam talian yang sudah pun memasuki fasa kelaziman berpaksikan norma baharu. Maka kerajaan yang menyedari sambutan baik daripada rakyat ini menyasarkan perkhidmatan dalam talian dari peringkat awal ke akhir atau end-to-end meningkat kepada 80 peratus menjelang 2025.

Penyusunan semula struktur dan fungsi kementerian serta pengukuhan proses pemilihan dan pengambilan pegawai pula dilihat bakal memberikan impak sangat positif dalam proses penyampaian perkhidmatan yang cepat, cekap dan efisien. Hal ini kerana antara isu sering menghantui perkhidmatan awam di negara kita ialah karenah birokrasi, soal integriti pegawai serta pertindihan fungsi antara agensi sedia ada.

Justeru, RMK12 perlu menjadi platform terbaik untuk kita meneliti semula fungsi dan peranan setiap agensi yang ada supaya selari dengan matlamat dan objektif ditetapkan sekali gus memudahkan proses penyampaian perkhidmatan kepada rakyat. Misalnya, kita tidak mahu rakyat keliru atau terpaksa berurusan dengan beberapa agensi untuk melengkapkan sesuatu keperluan.

SILO
Dalam konteks ini, kerajaan wajar memberi perhatian kepada soal kualiti daripada kuantiti. Ironinya, kita tidak perlu banyak agensi yang melakukan tugas secara berasingan atau silo sebaliknya fungsi dipecahkan itu wajar disatukan di bawah satu bumbung agar memudahkan rakyat. Kaedah ini bukan saja menjimatkan perbelanjaan kerajaan, bahkan boleh mewujudkan perkhidmatan lebih pantas dan efisien sebagai pusat sehenti. Malah, banyak karenah birokrasi juga dapat dihapuskan melalui proses amalan pengurusan kejat seperti ini.



Dari segi pemilihan bakat yang terbaik pula, kita perlu sedar pada hari ini kerajaan mempunyai banyak pilihan. Hakikatnya, jumlah bakat yang ada dalam pasaran kerja pada ketika ini jauh lebih ramai berbanding jumlah peluang pekerjaan yang wujud. Justeru, kita boleh memilih bakat terbaik dalam kalangan graduan bagi memenuhi kuota peluang pekerjaan di sektor awam.

Apa yang penting di sini ialah mekanisme dan proses pemilihan yang betul, tepat dan lebih ketat. Walaupun pada hari ini proses pemilihan dan pelantikan penjawat awam sudah cukup baik, namun hakikatnya masih ramai yang mula membuat onar selepas dilantik. Misalnya, isu integriti membabitkan aspek salah laku rasuah dan penyelewengan terus menghantui perkhidmatan awam khususnya dalam kalangan penjawat awam muda. Ini dengan jelas menunjukkan ada sesuatu yang tidak kena dan memerlukan proses penambahbaikan lebih agresif dalam soal pemilihan dan pelantikan pegawai baharu.

Di samping itu, untuk menarik minat bakat terbaik, kerajaan juga wajar mengambil peluang ini untuk mengkaji semula semua skim perkhidmatan supaya menjadi lebih menarik. Hal ini sangat penting kerana antara isu membelenggu penjawat awam selama ini ialah soal gaji yang secara relatifnya masih rendah serta peluang kenaikan pangkat sangat terhad. Justeru, kerajaan perlu mewujudkan skim gaji lebih kompetitif di samping laluan kerjaya dan kenaikan pangkat yang fleksibel. Jika ini dapat dilakukan, kita bukan sahaja dapat menarik bakat bahru tetapi turut boleh terus mengekalkan bakat terbaik dalam sektor awam.

Selain itu, cadangan mewujudkan Akta Perkhidmatan Awam juga dilihat mampu meningkatkan motivasi penjawat awam untuk memberikan perkhidmatan telus dan bertanggungjawab kerana ia akan mewujudkan pengasingan kuasa yang jelas antara anggota pentadbiran dan penjawat awam. Jujurnya, kita perlu mengelak campur tangan melebihi bidang kuasa masing-masing dalam urusan pentadbiran kerajaan demi mewujudkan urus tadbir yang lebih bertanggungjawab, telus dan berintegriti tinggi.



Tuntasnya, RMK12 perlu dijadikan medan terbaik untuk mengubah wajah dan landskap perkhidmatan awam negara ini supaya terus kekal kompetitif dalam meneruskan momentum kecemerlangan demi memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat dan negara.

PENULIS ialah pentadbir universiti dan penganalisis isu semasa.


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU




UMNO bahagian perlu ada kekuatan politik tampil calon muda

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker