UMNO bahagian perlu ada kekuatan politik tampil calon muda

SEREMBAN: Kepemimpinan UMNO di peringkat bahagian perlu bersedia untuk menampilkan calon-calon baharu dan muda untuk diketengahkan sebagai calon mewakili parti itu dalam menghadapi pilihan raya akan datang.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menjelaskan, secara peribadi beliau mempunyai kesungguhan supaya UMNO berubah dan tampil dengan lebih ramai pemimpin muda, namun bagi menghadapi sesuatu pilihan raya, punca kuasa adalah terletak di peringkat bahagian.

“Kekuatan politik mesti ada di peringkat bahagian, pemimpin di atas tidak kenal dan tidak tahu siapa di bahagian yang kita kenal muka-muka biasa jadi bahagian mesti berupaya dan berkemampuan untuk mengetengahkan muka dan bakat baharu.



“Kalau tidak semua pun, dua tiga orang, kalau dalam bahagian itu ada empat Dewan Undangan Negeri (DUN), kemukakanlah, bukan sahaja muka baharu atau orang muda tetapi penyertaan wanita juga mesti ada. Ini akan dapat berikan gambaran bahawa UMNO memang membawa hasrat baharu untuk kita terjemahkan dalam pilihan raya,” katanya.

Mohamad berkata demikian dalam program bual bicara Terus Terang yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook UMNO Online malam semalam.

Tambah beliau, UMNO mesti berubah termasuk dengan mesti mengetengahkan bakat-bakat baharu dan orang muda supaya ia tidak dilihat orang lain sebagai sebuah parti lapuk.

“Kalau ditanya, saya memang ke arah itu, tetapi saya juga minta supaya ini ada juga disokong dan didukung oleh kepemimpinan di setiap peringkat bahagian ia bukan dibuat di peringkat pusat.



“Di peringkat bahagian dalam kita mahu memilih calon dalam pilihan raya mesti dibuat daripada mesyuarat jawatankuasa bahagian maka bincang elok-elok cari lah sesiapa yang boleh kita rasa boleh mewakili parti kita dan juga ada kesetiaan kepada parti,” katanya lagi.

Ujar Mohamad lagi, proses mendidik dan memberikan pendedahan kepada pemimpin-pemimpin pelapis dalam UMNO sentiasa berlaku namun diakui ia memerlukan keseimbangan dengan tetap melibatkan pemimpin berpengalaman.

“Kita tidak boleh untuk tukar semua, perlu ada keseimbangan kerana kena ada orang yang muda dan berpengalaman kerana ramuan ini sangat penting bagaimana UMNO akan terus menjalankan proses peremajaan parti.

“Proses pendedahan dan beri peluang kepada pelapis dan pemimpin muda untuk bersedia memikul tanggungjawab menggantikan pemimpin-pemimpin sedia ada, ini penting jika tidak kita akan ketandusan pemimpin, jika ini berlaku, malang buat kita.



“Jika kita ada, dalam satu pilihan raya 25 hingga 30 peratus muka baru, pilihan raya seterusnya lagi 30 peratus muka baru, untuk tiga pilihan raya kita ada sudah ada semua muka baharu, tetapi untuk tukar semua tidak boleh,” katanya lagi. -UTUSAN ONLINE

UMNO bahagian perlu ada kekuatan politik tampil calon muda


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU




Jatuhkan kerajaan Melaka: Idris Haron, Nor Azman bukan lagi ahli Umno

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker