Ada ruang pertahankan MN, jika Pas bersedia – Zahid

Sebaran :

Ada ruang pertahankan MN, jika Pas bersedia – Zahid

UMNO menyifatkan masih ada ruang untuk mempertahankan Muafakat Nasional (MN) jika Pas bersedia.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, bagaimanapun dalam keadaan sekarang, UMNO perlu berdepan dengan realiti semasa meskipun ramai mengharapkan kerjasama itu terus dipertahankan.

Beliau menegaskan, ‘The Real Muafakat Nasional’ adalah suatu kerjasama yang wajib bersandarkan kepada penyatuan ummah yang jujur dan ikhlas.

“Adakah UMNO tidak berusaha menyelamatkan ‘The Real Muafakat Nasional’ yang dimeterai antara UMNO dan Pas pada 2019?

“Jawapannya UMNO sentiasa berusaha. Namun tiada guna bertepuk sebelah tangan. Justeru biarlah demokrasi yang menentukan sehingga tiba Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

“Ini bukan manifestasi ketamakan, sebaliknya biarlah ia free for all (bebas untuk semua). Tetapi UMNO tidaklah rigid (tetap), masih ada ruang untuk mempertahankan The Real Muafakat Nasional jika Pas bersedia,” katanya dalam Facebook beliau hari ini.

Terdahulu, Ahmad Zahid merungkai pelbagai persoalan yang timbul terhadap kewujudan MN antara UMNO dan Pas sejak kedua-dua parti memeterai piagam pada 2019.

Beliau kemudian menjelaskan Perhimpunan Agung UMNO 2020 telah membuat ketetapan bahawa tiada kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada PRU-15.

Ujarnya, keputusan itu adalah ketetapan diamanahkan oleh akar umbi parti keramat agama, bangsa dan negara kepada Presiden UMNO untuk dilaksanakan.

“Akar umbi UMNO mempunyai sebab yang wajar berhubung ketetapan itu kerana semua sedia maklum apakah agenda terselindung penubuhan Bersatu sejak September 2016.

“Manakala pimpinan PAS pula mengisytiharkan kesetiaan kepada Bersatu dan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas menyertai Perikatan Nasional (PN).

“Sedangkan mereka juga tahu dengan jelas apakah agenda terselindung penubuhan Bersatu seperti yang mereka tahu tentang agenda penubuhan Parti Amanah Negara,” jelasnya.

Selain itu, Ahmad Zahid menegaskan UMNO tidak lagi boleh berdepan dengan ketidaktentuan MN di dalam persiapannya menghadapi PRU-15 sekali gus menganggu serta menyekat kelancaran strategi dan gerak kerja parti.

“UMNO perlu segera berdepan dengan hakikat seperti kebanyakkan rakyat dapat melihat hakikat sebenar tentang MN ketika ini,” ujar beliau.

Seterusnya Ahmad Zahid berkata, ramai pihak termasuk dalam kalangan pengundi atas pagar berpandangan UMNO telah dikhianati dan tidak mengapa jika ia benar-benar berlaku.

“Oleh itu UMNO kekal bertanding di bawah panji Barisan Nasional (BN) bersama parti komponen dan rakannya yang masih setia kepada perjuangan gabungan ini.

“Dengan semangat berpuluh tahun BN, kita wajar gemilangkan kembali semangat itu sebagai wadah perjuangan paling bererti untuk rakyat dan negara menjelang PRU-15.

“Saya yakin BN akan meraih sokongan deras rakyat selepas apa yang rakyat alami, rasai dan saksikan selepas PRU-14 berakhir pada 9 Mei 2018,” ujar beliau.

Dalam pada itu, beliau berkata, sudah jelas PN yang dibarisi Bersatu dan Pas telah pun mengumumkan mencapai kata sepakat untuk menyelesaikan pembahagian kerusi akan ditandingi di peringkat Parlimen dan DUN pada PRU-15.

“Justeru sudah terang lagi bersuluh, jadi UMNO perlu ‘move on’ dan melangkah ke hadapan dengan segera.

“UMNO tidak boleh terus berada dalam uncertainty (ketidaktentuan),” jelas beliau. Utusan

Ada ruang pertahankan MN, jika Pas bersedia – Zahid


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Tindakan Achey Bocey bantu warga asing dipuji (Video)


Sebaran :

Leave a Reply