Sampaikah sedekah bacaan Al Fatihah kepada si mati?

Sampaikah sedekah bacaan Al Fatihah kepada si mati?

“Si fulan telah meninggal dunia, kita sedekahkan al-Fatihah kepadanya semoga rohnya dicucuri rahmat, serta ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman”

Ini ungkapan yang seringkali didengar tatkala sampai berita tentang kematian seseorang. Anggapannya, pahala dari bacaan al-Fatihah akan menjadi sedekah dan doa yang dapat disumbangkan kepada si mati. Semoga ia memperoleh syafaat dan mendapat keringanan tatkala berada di alam barzakh.

Amalan ini sudah menjadi budaya yang subur dalam masyarakat kita hari ini. Akan tetapi wujud segelintir pertikaian berhubung amalan tersebut, sama ada ia bertunjangkan dari amalan Baginda s.a.w. atau para sahabat. Begitu juga persoalan sampai atau tidak pahala sedekah tersebut untuk manfaat si mati.

Apalagi dalam syariat Islam yang jelas, amalan yang dituntut tatkala mendengar perkhabaran kematian ialah lafaz Istirja’ (Inna Lillahi wa Inna Ilaihi Roji’un) yang bermaksud “Sesungguhnya kami kepunyaan Allah, dan kepada Allah jugalah kami kembali” surah al-Baqarah: 156.

Merungkai simpulan terhadap persoalan ini,Mohamad Halmi Jaafar, Pengarah dan Pakar Motivasi G-hard Motivation and Training memulakan bicaranya.

Tegasnya, Al-Quran merupakan kalamullah yang diwahyukan kepada Nabi Muhammad s.a.w. untuk panduan umat manusia. Kita diperintah agar membaca serta mentadabbur isi kandungannya supaya dapat diamalkan.

Setiap yang dibaca akan diberikan ganjaran pahala sebagaimana sabda Baginda s.a.w. “Sesiapa yang membaca satu huruf al-Quran baginya satu kebaikan. Satu kebaikan itu pula bersamaan sepuluh kali pahala. Aku tidak mengatakan Alif Lam dan Mim itu satu huruf tetapi Alif itu satu huruf, Lam itu satu huruf dan Mim itu satu huruf” (HR at-Tirmizi)

Dari hadis ini jelas bahawa apa yang dibaca daripada al-Quran dapat memberi ganjaran pahala serta syafaat kepada pembacanya bersandarkan dari hadis Baginda s.a.w.

“Bacalah al-Quran sesungguhnya ia datang pada hari kiamat sebagai pemberi syafaat kepada pembacanya” (HR Muslim)

Perselisihan Pendapat

Pun begitu, terdapat perselisihan pendapat mengenai bacaan yang dibaca dan dihadiahkan kepada orang lain terutama yang telah meninggal dunia. Ia telah diperbincangkan oleh para ulama sebagaimana yang dinukilkan dalam kitab al-Fiqh al-Islam wa Adillatuhu karangan Dr. Wahbah Zuhaili.

Para ulama memutuskan secara ijmak bahawa si mati akan mendapat manfaat daripada doa dan istighfar yang dibacakan untuknya seperti bacaan yang bermaksud “Ya Allah ampunilah dosanya. Ya Allah berilah rahmat Mu kepadanya.”

Sehubungan itu, al-Imam Jalaluddin as-Suyuti dalam kitab Syarh as-Sudur bi Syarh Hal al-Mawta wa al-Qubur menyebutkan dalam sebuah hadis dari Ibnu Umar r.a. Rasulullah s.a.w. pernah bersabda,

“Jika salah seorang dari kalian meninggal dunia, janganlah kalian menahannya. Bersegeralah membawanya ke kubur dan hendaklah ada yang membaca di sisi kepalanya surah al-Fatihah.”

Begitu juga Imam an-Nawawi dalam kitabnya al-Azkar, daripada Imam as-Syafie dan para sahabatnya turut menyatakan “sesungguhnya disunatkan membaca apa jua ayat al-Quran di sisi mayat.”

Ujar mereka lagi, “Jika mereka mampu mengkhatamkan al-Quran keseluruhannya di sisi mayat itu lagi bagus”

Bahkan Imam an-Nawawi turut menyatakan lagi,

“Disunatkan membaca surah al-Fatihah untuk orang yang sedang sakit bersandarkan hadis sahih yang menceritakan seorang sahabat membaca al-Fatihah kepada seorang yang dipatuk ular lalu sembuh dengan bacaan itu. Baginda s.a.w. bersabda, “Bagaimana kamu tahu ianya (surah al-Fatihah) sebagai rukyah?” HR Bukhari & Muslim

Sekalipun terdapat pendapat yang masyhur dalam mazhab Syafie, mengatakan si mati tidak akan mendapat sebarang pahala daripada amalan orang lain, seperti membaca al-Quran untuknya. Mereka berhujah atas dalil dari firman Allah surah an-Najm: 39, “Tiadalah manusia itu melainkan apa yang dia usahakan.”

Walau bagaimanapun golongan ulama yang terkemudian yang juga daripada mazhab Syafie telah mengharuskan bacaan al-Quran dan menghadiahkan pahala bacaan kepada si mati.

Sedekahkan al-Fatihah

Perkara inilah yang menjadi amalan masyarakat ramai hingga kini. Mereka berpendapat ini adalah suatu amalan yang baik bersandarkan kepada hadis Rasulullah s.a.w. yang dinyatakan oleh Imam Ahmad Bin Hanbal di dalam Musnadnya dalam bab al-Sirah. Hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Masoud katanya:

“Bahawasanya Allah melihat hati di kalangan hamba Nya, Dia mendapati hati Muhammad s.a.w. adalah sebaik-baik hati hamba Nya, lalu dipilihnya untuk Nya dan dilantik menjadi utusan Nya.

Kemudian Allah melihat hati di kalangan hamba Nya , selepas hati nabi Muhammad, Dia mendapati hati para Sahabatnya (Muhammad) adalah sebaik-baik hati hamba Nya, lalu dilantik Nya mereka menjadi menteri Nabi Nya yang berjuang mempertahankan agama nya. Maka apa yang dilihat oleh orang Islam baik, maka ianya di sisi Allah adalah baik, dan apa yang mereka lihat buruk maka ia di sisi Allah adalah buruk.”

Jelas di sini bahawa golongan mutaakhirin daripada mazhab Syafie adalah sependapat dengan tiga mazhab lain yang menyatakan pahala bacaan al-Quran sampai kepada si mati.

Malah seorang ulama terkemuka yang juga bekas mufti Mesir, Al-Syaikh Hasanin Muhammad Makhluf, di dalam karyanya Fatawa Syar’iyah wa Buhus Islamiyah, menyebutkan mazhab Hanafi bersetuju pahala bacaan al-Quran bukan sahaja akan sampai kepada orang yang masih hidup bahkan juga kepada roh orang yang sudah meninggal.

Pandangan ini senada dengan Al-Hafiz Ibnu Hajar al-‘Asqalani dalam kitabnya, al Arba’in al-Matabayinah bi al-Sama’. Beliau cenderung kepada pendapat yang mengatakan sampai pahala membaca al-Quran kepada si mati.

Katanya, “Adakah sampai pahala bacaan al-Quran kepada si mati, sama ada ia dibaca di kubur si mati atau berjauhan dari kuburnya? Sesungguhnya saya utamakan pendapat mazhab Hanbali untuk menjawab persoalan ini.

Sesungguhnya seorang pembaca al-Quran yang berniat bahawa pahalanya adalah khusus untuk si mati, pasti bacaannya akan memberi manfaat kepada si mati dan pahala bacaannya akan sampai kepada si mati. Maka di sini tidak ada bezanya antara al-Quran dibaca di kubur atau berjauhan dari kubur, di mana pahala bacaan al-Quran akan sampai kepada si mati dalam dua keadaan ini.”

Berdasarkan kepada dalil-dalil dan pandangan para ulama yang disebutkan di atas, telah jelas hukumnya harus membaca al-Quran dengan niat menghadiahkan atau sedekahkan pahala bacaan terutama surah al-Fatihah kepada si mati. Ia merupakan satu amalan mulia yang ada sandarannya.

Bagi Halmi, sesiapa yang melakukan amalan kebaikan maka dia akan beroleh ganjaran pahala, dan dibolehkan menghadiahkannya kepada sesiapa jua waima yang masih hidup atau sudah meninggal dunia selagi ia seorang muslim. Wallahu a’lam Utv

Sampaikah sedekah bacaan Al Fatihah kepada si mati?


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Tindakan Achey Bocey bantu warga asing dipuji (Video)

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker