Kes rusuhan tokong Cheras, 10 lagi direman

Kes rusuhan tokong Cheras, 10 lagi direman

Polis menahan 18 lagi individu yang terlibat dalam rusuhan di luar sebuah kuil di Cheras pada 28 September.

Ketua Polis Daerah Cheras, Muhammad Idzam Jaafar, berkata daripada jumlah itu 10 direman selama sehari bagi membantu siasatan.

“Pada 30 Sept 2021 lebih kurang 1.30 pagi, polis mengepung kawasan tokong untuk membuat tangkapan, namun pihak tokong telah menyerah diri serta menyerahkan satu surat permohonan maaf yang ditujukan kepada polis.

“Polis menahan seramai 12 lelaki dan enam wanita berusia 18 hingga 84 tahun. Susulan tangkapan ini, polis berjaya menangkap semua suspek yang terlibat dalam rusuhan ini.

“Seramai 10 suspek direman selama satu hari bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, kertas siasatan lengkap sudah dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya hari ini dengan cadangan pertuduhan mengikut Seksyen 148, 186 dan 353 Kanun Keseksaan.

“Selain itu, pertambahan pertuduhan bawah Peraturan 17 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pelan Pemulihan Negara) 2021 turut dicadangkan memandangkan semua suspek melanggar SOP perintah kawalan pergerakan iaitu berkumpul beramai-ramai di tempat awam,” katanya.

Pada 28 September empat individu direman dua hari mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dengan menggunakan senjata berbahaya dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

Manakala, pada 29 September polis menahan dua lagi lelaki berusia 38 dan 56 tahun, namun mereka sudah dibebaskan.

Idzam turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi susulan video yang tular berhubung kejadian itu.

Dalam kejadian itu, sekumpulan penganut yang membawa kayu dan besi, menyerang anggota polis serta merosakkan jentolak kerana beranggapan pihak berkuasa mahu merobohkan rumah ibadat berkenaan.

Bagaimanapun, polis meleraikan keadaan tegang itu selepas lebih tiga jam, dengan empat individu ditahan.

Polis turut menafikan terdapat tindakan untuk merobohkan mana-mana rumah ibadat dalam kejadian itu yang didakwa menjadi punca kekecohan yang melibatkan sekumpulan individu bersama pihak berkuasa. FMT

Kes rusuhan tokong Cheras, 10 lagi direman


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Saranan buat Syed Saddiq tentang ekuiti bumiputera

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker