Pelantikan Sri Ram sebagai TPR kanan salah – Shafee

Pelantikan Sri Ram sebagai TPR kanan salah – Shafee

Mahkamah Rayuan di sini hari ini diberitahu, hanya penjawat awam dari badan kehakiman dan perundangan boleh dilantik sebagai timbalan pendakwa raya (TPR).

Peguam Muhammad Shafee Abdullah berkata, disebabkan itu bekas hakim Gopal Sri Ram tidak layak dilantik sebagai TPR untuk mengemukakan dakwaan terhadapnya dan bekas Perdana Menteri Najib Razak dalam kes berkaitan dengan 1MDB.



Shafee juga berkata hanya seorang TPR boleh diberi jawatan TPR kanan.

“Susulan itu, Sri Ram yang kini pengamal undang-undang tidak boleh dilantik sebagai TPR kanan di bawah Seksyen 376 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ),” hujahnya.

Shafee berkata, bekas Peguam Negara Tommy Thomas sepatutnya melantik Sri Ram secara kontrak seperti dilakukan sewaktu beliau sendiri (Shafee) dilantik pada 2013 oleh Peguam Negara ketika itu, Abdul Gani Patail, untuk mengetuai pendakwaan dalam rayuan terhadap pembebasan Anwar Ibrahim atas tuduhan liwat.

“Ketika saya dilantik, saya menandatangani kontrak dengan kerajaan dan dibayar RM1,000 untuk perkhidmatan itu,” katanya.



Shafee yang mewakili Najib berkata, Thomas sepatutnya melantik Sri Ram di bawah Seksyen 376 dibaca bersama Seksyen 379 KPJ.

Menurutnya, Sri Ram tidak boleh dikatakan berada di bawah penyeliaan dan kawalan peguam negara kerana beliau bukan penjawat awam mahupun dilantik secara kontrak.

Tahun lalu, Mahkamah Tinggi menolak permohonan semakan kehakiman dikemukakan Najib dan Shafee supaya Sri Ram menarik dirinya sebagai TPR kanan dalam kes terhadap mereka.

Hakim Mariana Yahya memutuskan tiada bukti bahawa Tommy Thomas, yang menjadi Peguam Negara ketika itu, telah tersalah mengarahkan dirinya di bawah undang-undang dalam pelantikan Sri Ram sebagai TPR kanan pada Ogos 2018.



Beliau turut memutuskan pelantikan Sri Ram sebagai TPR kanan mengikut Seksyen 376(3) adalah sah dan tidak menyalahi undang-undang.

Peguam Harvinderjit Singh yang mewakili Shafee berhujah, keupayaan Sri Ram sebagai hakim dan peguam tidak dipertikaikan, namun beliau tidak layak menjadi TPR kanan.

Menurutnya, pelantikan oleh Thomas itu dibuat dengan tidak jujur kerana beliau telah mengatakan ia bagi memenuhi sasaran kerajaan Pakatan Harapan (PH) susulan kemenangannya dalam Pilihan Raya Umum ke-14. Katanya, ini termasuk bagi membolehkan Sri Ram mengarahkan siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Sementara itu, Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan berhujah, bahasa digunakan dalam Seksyen 376 amat luas.



“Pelantikan Sri Ram adalah sah. TPR kanan tidak semestinya hanya dari kalangan perkhidmatan kehakiman dan perundangan,” katanya.

Hakim Yaacob Md Sam yang bersidang bersama Lee Heng Cheong dan Mohd Ruzima Ghazali kemudian mengarahkan Shamsul dan Shafee memfailkan hujahan lanjut sebelum 6 Okt berhubung kedudukan perundangan dalam Seksyen 376 sebelum dan selepas pindaan yang dilakukan pada 1998.

Shamsul turut memaklumkan mahkamah, aduan Najib dan Shafee bahawa Sri Ram bersikap berat sebelah serta mempunyai konflik kepentingan tidak patut dipertimbangkan kerana perkara itu telahpun diputuskan di peringkat Mahkamah Persekutuan pada 2019.

Mahkamah menangguhkan keputusannya sehingga 8 Okt. FMT



Pelantikan Sri Ram sebagai TPR kanan salah – Shafee


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Firdaus Wong dedah bukti perbualan lucah pendakwah terkenal



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker