Banyak dipertaruhkan ketika Parlimen sidang semula dengan pimpinan baharu

Banyak dipertaruhkan ketika Parlimen sidang semula dengan pimpinan baharu

Parlimen bersidang semula hari ini selepas ditangguhkan lebih dari 270 hari, dengan pimpinan perdana menteri baharu di Dewan Rakyat, menjadikan pemimpin baharu kedua dalam tempoh dua tahun.

Ismail Sabri Yaakob mengambil alih kerajaan hanya tiga minggu lalu, dan bayangan pemerintahan Muhyiddin Yassin sebelum ini kekal jelas, termasuk krisis Covid-19, pergelutan ekonomi dan kebajikan rakyat yang tidak dikendalikan dengan baik, menyebabkan peningkatan kes bunuh diri.



Pada Julai, Muhyiddin mengadakan persidangan Dewan Rakyat selama lima hari, namun ia dilihat lebih kepada taklimat kepada Ahli Parlimen. Persidangan ditangguhkan hanya tiga hari kemudian susulan kenyataan yang mengejutkan mengenai pembatalan Ordinan Darurat.

Ia kemudian mencetuskan krisis politik lain dan menyaksikan peletakan jawatan Muhyiddin sebagai perdana menteri.

Parlimen akan dibuka secara rasmi pagi ini oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah. Ia secara rasmi merupakan pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-14.

Titah Sultan Abdullah – kebiasaannya merangkumi intipati dasar kerajaan – bakal menjadi istimewa kali ini selepas Istana Negara “diheret” untuk mengambil peranan dalam mengendalikan krisis politik negara.



Pada Januari, Yang di-Pertuan Agong berkenan mengisytiharkan Darurat yang diminta oleh kerajaan Muhyiddin, dengan mengatakan bahawa ia memerlukan lebih banyak “kuasa” untuk memerangi krisis Covid-19.

Tetapi enam bulan kemudian, ketika keadaan menjadi semakin buruk, Agong menyatakan bahawa Parlimen harus segera bersidang semula. Ini diikuti dengan kenyataan daripada Majlis Raja-raja Melayu yang mengatakan bahawa Darurat tidak boleh dilanjutkan selepas 1 Ogos.

Sementara itu, Yang di-Pertuan Agong turut menyatakan rasa dukacita kerana kerajaan Muhyiddin telah membatalkan enam Ordinan Darurat, tanpa persetujuan baginda.

Setelah mendapat tekanan daripada pengkritik dalam Umno dan pembangkang, Muhyiddin mengundurkan diri pada pertengahan Ogos, mengakhiri 17 bulan yang penuh dengan masalah ketika menjawat jawatan itu.



Pelantikan Ismail sebagai Perdana Menteri baharu hadir dengan peringatan: kenyataan Istana Negara berkata undi percaya harus dilakukan di Dewan Rakyat untuk mengesahkan majoriti yang diperolehi beliau.

Namun, kerajaan baharu ini kemudian mendakwa bahawa Agong telah berubah pikiran dan menteri undang-undang yang baharu, Wan Junaidi Tuanku Jaafar, mengatakan Agong telah bersetuju untuk tidak mengadakan undi percaya.

Titah Diraja pagi ini di Sidang Parlimen, akan mendedahkan sejauh mana dakwaan itu.

Dewan Rakyat akan bersidang dari 14 September hingga 12 Oktober, sementara Dewan Negara akan bersidang dari 4 hingga 26 Oktober.



Jemaah Menteri ‘kitar semula’ dan undi percaya

Ahli Parlimen Subang, Wong Chen berkata perdana menteri baru-baru ini membuat beberapa keputusan yang menimbulkan kontroversi seperti melantik semula Jemaah Menteri yang hampir sama dan tidak membawa undi percaya, yang tidak terdapat dalam kertas usul bagi persidangan Parlimen kali ini.

“Tidak ada reformasi atau janji perubahan yang bermakna. Ini adalah politik lama yang sama. Ini bukan perkembangan politik yang baik, kerana suasana di Parlimen kemungkinan akan suram,” katanya.

Pelantikan Muhyiddin



Ahli akademik Azmi Hassan berkata pelantikan Muhyiddin sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara akan dibangkitkan oleh pembangkang.

“Mereka mungkin melihat langkah ini sebagai kontradik setelah perdana menteri memberitahu pembangkang untuk bekerjasama dengan mereka. Pembangkang mungkin enggan bekerjasama dengan kerajaan selepas pelantikan Muhyiddin,” katanya.

Muhyiddin dilantik sebagai Pengerusi Majlis Pemulihan Negara pada 4 September.

Azmi berkata majlis itu sangat penting untuk menangani krisis Covid, yang gagal dikendalikan oleh mantan perdana menteri. Pembangkang mungkin tidak bersetuju bahawa Muhyiddin adalah orang yang tepat untuk memimpin majlis berkenaan.



Art Harun vs Azalina

Beberapa Ahli Parlimen memberitahu FMT bahawa mereka berhasrat mencalonkan Azalina Othman Said sebagai Speaker Dewan Rakyat yang baharu.

Azalina, bekas timbalan speaker, mengosongkan kerusinya pada 18 Ogos. Beliau adalah salah seorang daripada 15 Ahli Parlimen Umno yang menarik sokongan terhadap Muhyiddin, yang menyebabkan kejatuhan pemerintahannya.

Beliau juga meletakkan dirinya sebagai penyokong kuat reformasi Parlimen, meminta agar kerusi Timbalan Speaker itu diberikan kepada Ahli Parlimen pembangkang dan mengemukakan notis usul bagi membentangkan RUU Pemecatan Ahli Parlimen 2021 bagi tujuan memperkenalkan pilihan raya semula.

Belanjawan 2022

Jemaah Menteri Ismail Sabri akan membentangkan Belanjawan Persekutuan sementara negara sedang bertempur dengan Covid-19 dan ekonomi yang bergelut.

Ahli ekonomi Yeah Kim Leng berkata, belanjawan itu mungkin mesra rakyat kerana isi rumah dan PKS, yang berdepan perintah kawalan pergerakan yang berpanjangan, memerlukan sokongan kerajaan untuk meneruskan kelangsungan mereka pada tahun hadapan.

Tambah beliau, ia mungkin diperluaskan untuk membantu sebanyak mungkin sektor terjejas. FMT

Banyak dipertaruhkan ketika Parlimen sidang semula dengan pimpinan baharu


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Kalau Khairy Jamaluddin tidak keberatanlah – Sarimah Ibrahim

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker