Ali Puteh beri amaran keras

Ali Puteh beri amaran keras

Awas ya! Saya baca komen dan cari pelaku”

TIMBUL rasa kasihan akan nasib yang menimpa pelawak Ali Puteh sejak dia mengambil alih segala urusan pembahagian harta peninggalan arwah abangnya, Allahyarham Abam Bocey. Diam tak diam sudah dua tahun dihadapinya.

Bukan apa, sejak itu jugalah ramai dapat menyaksikan dirinya seringkali dilemparkan dengan pandangan hina masyarakat dan warganet yang tergamak memberi pelbagai jolokan tidak baik padanya termasuk menggelar Ali sebagai si pemakan harta anak yatim dan makan harta arwah abang.

Siapa sahaja yang rela ditohmah dengan tuduhan seperti itu dan sebagai manusia biasa, sanggupkah hati menerima segala pandangan salah itu sedangkan perkara itu tidak benar?

Selain itu, perbalahannya dengan kakak ipar, balu kepada arwah Abam juga menyaksikan dirinya terpalit dengan kontroversi yang tiada berkesudahan sebelum ini sehingga ia membuatkan ramai orang percaya Ali adalah ‘watak antagonis’ dalam penceritaan ini.

Berpeluang berbicara dengan Ali, lelaki berusia 32 tahun ini meluahkan rasa di hati berhubung isu termasuk mengenai kejadian baru-baru ini yang menyaksikan sekali lagi dirinya difitnah menggunakan duit arwah abam untuk kepentingan diri.

Tentang tuduhan guna wang arwah untuk kepentingan sendiri dalam media sosial, boleh ulas mengenai hal itu?

Sebagaimana yang orang tahu, tak sangka ramai fikir begitu walhal saya tak pernah pun buat seperti yang dituduh. Baru-baru ini, bila saya muat naik gambar di kebun durian, orang kata saya seronok guna duit arwah abang, di mana logiknya itu? Mereka yang cakap itu ada bukti tak? Saya pelik dengan netizen sekarang, terlalu mudah menulis ikut rasa dalam media sosial dan gemar mencari masalah.

Mana mereka tahu saya guna duit arwah? Saya tak tipu, memang saya cari individu yang lemparkan fitnah itu. Saya berjaya dapat nombor telefonnya dan apabila dihubungi , tiba-tiba dia kata nombor telefon itu untuk urusan bisnes dan milik saudaranya. Bila saya tekankan untuk berjumpa, seolah berdalih. Saya tak minta banyak, cuma nak minta orang yang lempar fitnah sebegini sertakan bukti, kalau betul apa yang mereka tuduh itulah. Disebabkan saya tahu diri tak bersalah, maka tiada masalah bersemuka dengan orang macam ini.

Apabila membabitkan nama Ali, pasti tiada isu lain. Pusing-pusing semuanya berkaitan harta dan isu wang. Apakah orang hanya nampak Ali cuma tentang itu saja?

Bukan sahaja orang sekeliling, saya sendiri pun rasa pelik. Kalau sebut nama saya sahaja macam tak ada isu lain, balik-balik pasal hal ini walhal urusan pembahagian harta sudah selesai di mahkamah. Urusan saman oleh balu arwah dan saya sahaja hanya akan dimaklumkan secara rasmi pada November ini. Tetapi, berani untuk saya katakan, berhubung hal itu, Insya-Allah, kebenaran akan terungkai nanti. Pada waktu itu, semua akan tahu cerita sebenar.

Saya tahu, balu arwah juga tahu apa sebenarnya berlaku sepanjang proses perbicaraan di mahkamah. Tapi tak perlu saya ceritakan apa kerana nanti orang akan tahu juga kebenarannya. Dia nak saman saya RM900,00. Tetapi satu saja soalan saya, RM100,000 saman yang saya failkan itu nanti, risau juga kalau dia tak dapat bayar.

Pernah tak rasa putus asa dengan semua kontroversi ini?

Siapa yang mahu dirinya sering terpalit dengan kontroversi. Lagi-lagi kalau ia membabitkan hal keluarga dan cerita arwah abang saya yang sampai ke hari ini orang masih bercakap. Kalau nak tahu, sejak arwah Abam meninggal, sampai ke hari ini saya masih menerima mesej atau komen berbaur negatif dalam media sosial yang menghina, mencaci dan menuduh saya begitu dan begini. Setiap hari! Sampaikan anak saya yang baru lahir sebelum ini pun orang caci.

Sebab itulah saya dah tak kongsikan lagi gambar anak, isteri dan keluarga dalam media sosial. Nanti akan ada sahaja orang caci. Isteri saya yang kini sedang mengandung enam bulan pun saya tak kongsikan hal itu. Tak nak orang doa yang buruk-buruk pada anak kami lagi. Saya pula cari makan dalam dunia seni, tak apa saya akan hadapi. Asal jangan sentuh keluarga saya.

Jauh di sudut hati, Ali pernah tak rasa, andai diberi pilihan, Ali sendiri tak mahu pun urus atau pegang amanah besar ini?

Itulah apa yang saya rasakan sebenarnya. Kalaulah saya tahu akan jadi macam ini sampai begitu ramai memandang hina dan memfitnah saya dan keluarga makan harta arwah abang dan harta anak yatim, saya tak akan menawarkan diri untuk uruskan hal ini. Tapi Allah SWT lebih tahu. Macam saya katakan, biarlah kebenaran terungkai dengan sendirinya.

Jarang melihat pelawak suka marah-marah atau kuat melenting, tetapi Ali pula dituduh sebegitu. Bagaimana Ali melihat situasi ini?

Betul. Saya tak nafikan. Memang pelawak ini suka menghiburkan orang. Tapi adakah 24 jam dia cuma menghiburkan orang? Bagaimana pula dengan perasaannya sendiri jika dirinya diperkotak-katikkan dan keluarganya disentuh dengan hinaan dan kutukan?

Tak akanlah saya nak berdiam diri sahaja? Sebagai pelawak itu adalah kerja saya apabila di pentas. Selepas habis kerja, saya tak boleh jadi diri sendiri? Tak boleh ada rasa marah apabila orang sentuh kita apa lagi dengan tuduhan tak berasas? Saya pun manusia biasa, ada hati dan perasaan. Satu yang nak tekankan, saya memang tak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang kononnya lantang menulis dan menuduh saya di sebalik papan kekunci. Ini bukan kerja budak-budak. Ada sahaja orang dewasa yang buat begitu dan buktinya telah beberapa kali saya berdepan dengan situasi ini sebelum ini.

Bila ajak bersemuka, minta bukti. Bila saya nak saman, eh, tiba-tiba macam-macam alasan dan cerita sedih keluar. Akaun media sosial kena sabotajlah, digodamlah, dia orang susahlah, stres akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), mengarut! Semasa mereka menulis dan menyebarkannya, tak pula fikir semua itu? Kalau artis lain bolehlah mereka buat macam itu sebab ada yang jenis tak baca komen dan tak kisah. Maaf, saya artis yang baca komen dan akan cari setiap orang yang cuba mencipta masalah dengan saya. Jadi jangan cuba-cuba tabur fitnah tak berasas. Utusan

Ali Puteh beri amaran keras


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Kalau Khairy Jamaluddin tidak keberatanlah – Sarimah Ibrahim

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker