Peluang kedua bangkit selepas dikhianati rakan niaga

Peluang kedua bangkit selepas dikhianati rakan niaga

DUGAAN adalah satu ungkapan berat yang pasti dirasai sesiapa sahaja di dunia ini.

Ia datang dalam pelbaga bentuk sebagai ujian kepada kita.

Mungkin sekadar dugaan ringan, biasa, tidak kurang juga ujian berat yang menimpa.

Bagi Norma Amira Muhamad, seorang wanita muda berusia 27 tahun, hidupnya juga tidak lari daripada diuji pelbagai rintangan.

Diuji dengan pemergian kedua ibu bapa tercinta selang beberapa tahun, itu perkara dan tragedi yang tidak akan pernah dilupakannya.

“Ya, sewaktu usia saya sedang meningkat naik, Tuhan ambil kedua-dua ibu bapa saya. Sewaktu itu saya bagaikan hilang arah dan tiada hala tuju untuk hidup.

“Saya pula anak bongsu daripada enam beradik, kebanyakan adik beradik yang lebih tua ada tanggungjawab dan jalan hidup masing-masing,” katanya membuka bicara bersama Aura.

Jelas anak jati kelahiran Parit, Perak itu lagi, kesedihan dan kehilangan yang berlaku menjadikan dirinya perlu lebih kuat menjalani kehidupan mendatang.

Menyambung cerita, Norma memberitahu, tiada cara lain mampu dilaksanakan melainkan melakukan apa sahaja kerja demi kelangsungan hidup mendatang.

“Menyentuh bab pendidikan, alhamdulillah saya dapat tamat dan ada Sijil Pelajaran Malaysia. Saya tiada niat dan perancangan untuk menyambung pelajaran.

“Jadi lepas sahaja tamat sekolah, saya mula bekerja dengan menjadi ejen, menjual produk orang lain dan melakukan apa sahaja jenis kerja asalkan dari sumber yang halal.

“Kalau ikutkan boleh sahaja saya cari kerja yang lebih sesuai, tapi minat yang mendalam dalam bidang perniagaan membuatkan saya terus kekal memilih jalan itu dan tidak kisah waima bermula dari bawah,” ujarnya.

Tambah Norma yang mesra disapa sebagai Sameera, penat lelah dan usaha tanpa jemu dalam menimba ilmu perniagaan, dia dan rakannya berjaya membuka sebuah perniagaan secara offline dengan menjual lip matte.

Tapi benar apa yang orang katakan, kadangkala kejayaan, kebahagiaan dan kegembiraan itu cuma datang sekejap sahaja.

Begitu juga yang dihadapi dan dilalui Norma apabila perniagaan yang dijalankan beberapa tahun lalu ‘terkubur’ selepas kepercayaan tinggi yang diletakkan dikhianati begitu sahaja.

“Ya, itulah apa yang terpaksa saya lalui. Bayangkan betapa susah dan banyaknya liku-liku terpaksa saya hadapi untuk pastikan perusahaan yang dijalankan diterima orang.

“Tapi disebabkan kepercayaan yang begitu tinggi, saya sendiri tidak sangka menjadi mangsa dalam sandiwaranya. Saya terpaksa menanggung kerugian hampir RM300,000 ribu termasuk hutang-piutang dengan bank.

“Detik itu sekali lagi saya diuji dengan hebat dan membuatkan saya betul-betul murung dan pernah terfikir untuk hampir menoktahkan hidup sebagai jalan keluar,” luahnya.

Akui Norma, dia percaya setiap yang berlaku kepada dirinya ada hikmah tersirat yang Tuhan mahu beri selepas itu.

“Perlahan demi perlahan saya mula mengorak dan menyusun langkah. Saya mula bangkit dari kegagalan dan terus pandang ke hadapan tanpa ingin toleh ke masa silam lagi.

“Berkat usaha, Tuhan anugerahkan saya ‘pelangi’ selepas melalui sepak terajang sebelumnya. Alhamdulillah, kini perusahan berasaskan fesyen di bawah label Everlyn Legacy yang saya jalankan mula diterima dan dikenali.

“Saya betul-betul nekad untuk terus pandang ke hadapan dan fokus kepada ‘peluang kedua’ ini sejak pandemik melanda tahun lalu.

“Sedang ramai di antara kita dan banyak perniagaan terpaksa gulung tikar disebabkan pandemik, berlainan pula dengan rezeki yang Allah kurniakan kepada saya,” ujarnya.

Menutup bicara, Norma memberitahu, apa pun dugaan dan ujian yang datang melanda diri, terimalah perkara tersebut dengan hati terbuka kerana di penghujungnya pasti ada kemanisan yang sudah dijanjikan. K Online

Peluang kedua bangkit selepas dikhianati rakan niaga


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Koperal cedera parah dilanggar, diseret suspek

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker