Kuarantin di rumah punca kes BID meningkat

Kuarantin di rumah punca kes BID meningkat

Kuarantin secara kendiri di rumah menjadi salah satu punca penyebaran Covid-19 dan meningkatkan kes kematian sebelum tiba ke hospital atau Bought In Dead (BID).

Pakar Kesihatan Komuniti Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, kuarantin di rumah boleh menyebabkan pesakit Covid-19 yang pada mulanya berada tahap satu atau dua beralih kepada tahap tiga dan empat.

Katanya, perkara tersebut boleh terjadi kerana tiada gejala ditunjukkan dan kurang pemantauan oleh petugas kesihatan dan ahli keluarga.

“Lebih-lebih lagi jika pesakit tersebut tinggal berseorangan dan dalam kalangan warga emas.

“Kes kematian melibatkan BID ini kebanyakannya bukan di bawah pemerhatian Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Kadang kala mereka tidak sedar bahawa mereka sudah positif dan berada di tahap membimbangkan.

“Sudah tiba masanya untuk pesakit kategori tiga dimasukkan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) melihat kepada jumlah pesakit yang ditempatkan di sana sudah mula berkurangan,” katanya.

Semalam, KKM melaporkan seramai 202,646 rakyat masih menjalani kuarantin di rumah meliputi 83.5 peratus daripada kes keseluruhan Covid-19 setakat kelmarin.

Kuarantin di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) pula 25,413 kes iaitu merangkumi 10.5 peratus daripada kes jangkitan keseluruhan manakala kuarantin di hospital sebanyak 13,435 kes iaitu sebanyak 5.5 peratus.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, semalam, kes kematian harian masih melepasi angka 300 dengan sebanyak 323 kes dilaporkan, menjadikan jumlah kematian Covid-19 sebanyak 19,486 kes.

Sharifa Ezat berkata, kerajaan perlu menggalakkan lagi pemberian vaksin untuk mengatasi perkara ini, termasuk di negeri-negeri yang belum mencapai kadar vaksin 50 peratus dan kawasan luar bandar yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang berisiko tinggi.

Katanya, inisiatif ‘outreach programme’ perlu ditingkatkan selain mengerahkan pihak bertanggungjawab ke kawasan pendalaman dan luar bandar dengan kerjasama dengan NGO, malah kerajaan perlu galakkan ujian calitan kepada rakyat untuk mengesan jangkitan.

“Setelah didapati positif, pesakit dirujuk kepada PKRC. Sekarang PKRC sudah tidak penuh seperti dulu, maka kategori tiga patut masuk pusat kuarantin dan elakkan kuarantin di rumah kerana boleh masuk ke kategori 4 dan 5 jika berada di rumah.

Sementara itu, pakar Kesihatan Pekerjaan, Kecemasan dan Kesihatan Am, Dr. Hanafiah Bashirun berkata, antara faktor terjadinya BID kes Covid-19 adalah apabila kebenaran kuarantin di rumah diberikan kepada pesakit kategori 1 dan 2 tanpa pemantauan pihak yang arif dari segi klinikal.

Masalah turut berlaku apabila alat bacaan nadi Oksimeter tertanggal semasa pesakit tidur sehinggakan bacaan nadi paras merbahaya tidak dapat dikesan dan menyebabkan pesakit meninggal dunia tanpa disedari ahli keluarga.

“Seharusnya pesakit perlu lekatkan alat tersebut di jari menggunakan penampal dan memilih alat mempunyai penggera. Bacaan turun dari paras normal akan menyebabkan ‘happy hipoksia’ dengan gejala sesak nafas.

“Situasi akan menjadi berbahaya apabila tiada gejala tercungap dan sesak nafas dan tiba-tiba sahaja pesakit meninggal dunia.

“Solusi kepada BID Covid-19 tanpa gejala ini adalah ujian calitan, maka galakkan penduduk di kawasan luar bandar memiliki kit ujian kendiri, terutamanya yang mempunyai kegawatan ekonomi, malah kerajaan boleh melakukan pemberian vaksin satu dos kepada golongan luar bandar untuk memudahkan pergerakan mereka dengan sekali sahaja divaksin,” ujarnya. Utusan

Kuarantin di rumah punca kes BID meningkat


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Koperal cedera parah dilanggar, diseret suspek

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker