PH sendiri tak boleh diharap usahakan RUU355 – Fadhli


Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari berkata Pakatan Harapan (PH) sendiri tidak boleh diharap untuk melaksanakan pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965, atau lebih dikenali sebagai RUU355.

Ahmad Fadhli berkata demikian mengulas kenyataan Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail semalam yang mempersoalkan mengapa tiada desakan daripada pemimpin PAS berhubung perkara itu.

“Pada saya, pertanyaan itu yang ditujukan kepada ahli parlimen PAS sangat ‘valid’ kerana ia sekali gus menunjukkan pengiktirafan beliau terhadap PAS sebagai parti yang bersungguh-sungguh bersuara ke arah pemerkasaan undang-undang syariah.

“Pertanyaan yang sama tidak kedengaran ketika Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan kerana semua orang tahu PH bukanlah pakatan politik yang boleh diharapkan untuk mengusahakan perkara ini.

“Bahkan ketika menjadi kerajaan pun, ia bukanlah agenda beliau dan partinya kerana semua orang tahu agenda utama beliau dan partinya hanyalah memastikan individu tertentu menjadi perdana menteri. Itu sahaja, tidak lebih dan tidak kurang,” katanya menerusi hantaran di akaun Facebook hari ini.

Semalam, Saifuddin dalam hantaran di akuan Facebooknya mempersoalkan mengapa tiada desakan daripada ahli parlimen PAS berhubung RUU355.

Jelas Saifuddin, meskipun sudah setahun menjadi kerajaan, masih tiada kertas kabinet dibentangkan berhubung pelaksanaan pindaan akta tersebut.

“Tiada desakan sekelumit pun di Parlimen oleh 18 ahli-ahli parlimen parti Islam termasuk Marang (Abdul Hadi Awang),” kata Saifuddin.

Mengulas lanjut, Ahmad Fadhli berkata dia agak pelik dengan kenyataan Saifuddin.

Katanya, dia sendiri telah bertanya kepada Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin di Dewan Rakyat mengenai usaha yang dijalankan kerajaan untuk memastikan RUU355 dapat dilaksanakan.

Tambahnya perkara itu boleh disemak melalui laman web parlimen bertarikh 26 Nov.

Menurutnya, soalan tersebut dijawab oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaary yang menggariskan pelan bertindak kerajaan ke arah memastikan usaha menaiktaraf kuasa mahkamah syariah dapat dilaksanakan.

Ini katanya termasuklah melakukan perundingan pihak berkuasa negeri yang merupakan pemegang taruh dalam hal ehwal agama di negeri masing-masing.

“Ia juga boleh dirujuk dengan mudah di laman sesawang parlimen. Saya faham kenapa beliau terlepas pandangan berhubung soalan saya dan jawapan kerajaan ini, kerana pada tarikh tersebut ialah 26 November 2020 iaitu hari pengundian Belanjawan 2021 yang menyaksikan hanya 13 orang Ahli Parlimen pembangkang bangun untuk memohon undi belah bahagi.

“Barangkali pada sebelah pagi sebelum penggulungan Menteri Kewangan, pembangkang sedang bermesyuarat dengan hebatnya sehingga terlupa bahawa persidangan Dewan Rakyat bermula jam 10 pagi setiap hari dengan soal jawab lisan,” katanya. Mk

Apa khabar RUU355, sindir Saifuddin

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker