Konsep Keluarga Malaysia, 1Malaysia dan Islam Hadhari, Apa yang kita faham?

Oleh Nurul Aisyah

KONSEP itu boleh dicipta namun setakat mana keberkesanan pelaksanaannya dan sejauh mana relevan konsep tersebut dengan masyarakat kita. Ramai yang masih terpinga-pinga dengan nama-nama konsep dan pemahaman yang cuba dibawa oleh setiap Perdana Menteri yang memerintah. Malah ada yang mempertikaikan setakat mana keberkesanan konsep tersebut.

Tun Dr Mahathir Mohamad menggagaskan Wawasan 2020, Tun Abdullah Ahmad Badawi memperkenalkan konsep Islam Hadhari, Datuk Seri Najib Razak menggunakan 1Malaysia, Pakatan Harapan (PH) tampil dengan Malaysia Baharu dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pula dengan konsep Keluarga Malaysia.



Setiap satunya harus mempunyai naratif jelas. Apakah maksud dan cakupan, sasaran serta pelan tindakan yang disusun dalam mencapai semua itu.

Datuk Seri Ismail Sabri memilih konsep Keluarga Malaysia. Beliau memperkenalkan konsep ini dalam ucapan sulung sejurus dilantik sebagai Perdana Menteri kesembilan.

Adakah Keluarga Malaysia mempunyai konsep yang jelas? Apakah matlamat dan pelan tindakan serta pendekatan ingin digunakan? Semua elemen ini mesti ada. Mampukah Keluarga Malaysia mengariskan konsep, matlamat , pelan tindakan serta pendekatan dengan jelas? Dalam perkara ini, Keluarga Malaysia belum mengariskan dengan jelas perkara-perkara tersebut.

Datuk Seri Najib memperkenalkan konsep 1Malaysia. Ia adalah satu gagasan bagi memupuk perpaduan dikalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum, berteraskan beberapa nilai-nilai penting yang seharusnya menjadi amalan setiap rakyat Malaysia.



“1Malaysia adalah satu gagasan bagi memupuk perpaduan di kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum, berteraskan beberapa nilai-nilai penting yang seharusnya menjadi amalan setiap rakyat Malaysia.” – Datuk SeriNajib Tun Razak

Sebelum ini, 1Malaysia pernah di salah anggap sebagai proses membawa kesamarataan mutlak yang akan menghilangkan semua keistimewaan Bumiputera serta iltizam kerajaan dalam meneruskan agenda atau dasar pemerkasaan berfokus kepada kelompok masyarakat tertinggal. Lantas ia mengundang ‘serangan’ dan pertikaian banyak pihak.

Sebenarnya 1Malaysia adalah PRINSIP KEADILAN UNTUK SEMUA KAUM. Ianya BUKAN KESAMARATAAN yang menghilangkan semua keistimewaan Bumiputera yang dijamin dalam Perlembagaan Malaysia. Nasib semua kaum akan terbela dan tiada mana-mana pihak akan dipinggirkan.

Buat masa ini, Keluarga Malaysia dianggap sekadar slogan kosong oleh kerajaan dalam mendekati masyarakat. Sebagaimana ketika pengenalan Malaysia Baharu oleh Pakatan Harapan. Masyarakat tidak melihat apakah ‘pembaharuan’ itu dan bagaimanakah Malaysia yang baharu harus dikemudi dan dibangunkan. Semua aspek penting ini ditinggalkan tanpa sebarang pengisian meyakinkan.



Tanpa konsep jelas, kerajaan Ismail sabri sendiri tidak akan dapat menerangkan apakah matlamat dan sasaran Keluarga Malaysia ini sudah dicapai atau belum, sedang berkembang atau sebaliknya. Rakyat melihat slogan Keluarga Malaysia ini sekadar retorik dan istilah semata-mata. Oleh itu, sasaran dan matlamat Keluarga Malaysia mesti jelas.

Islam Hadhari atau “Islam yang bertamadun” pula merupakan teori kerajaan Tun Abdullah Ahmad Badawi Badawi berasaskan Islam daripada al-Quran. Ia bukanlah agama baru, bukan ajaran baru dan bukan mazhab baru. Ia ialah usaha untuk mengembalikan umat Islam kepada asas Islam menurut yang terkandung dalam al-Quran dan Hadis yang merupakan teras pembinaan Tamadun Islam.

Ia dikatakan sebagai satu konsep lama dan telah diperkenalkan semula ditengah-tengah keadaan globalisasi semasa dan kepentingan nasional Masyarakat Melayu dan kepimpinan serta juga
masyarakat Malaysia amnya. Islam Hadhari bertujuan untuk mentafsirkan ajaran-ajaran Islam yang sebenar, dan keperluan kepada lebih pendekatan Islam dalam kehidupan seharian mereka.

Abdullah Badawi mengibaratkan bangunan-bangunan yang cukup elok di Putrajaya itu sebagai
“hardware”, manakala “software” ialah manusia yang ada di dalam bangunan yang serba indah
dengan alat-alat kelengkapan dengan teknologi terkini dan sebagainya. Oleh sebab itu, “adalah
penting untuk kita meningkatkan lagi kemampuan dan kebolehan rakyat, di mana pekerja-pekerja
mesti ditingkat nilai mereka supaya dapat menjadi pekerja yang cemerlang, gemilang dan terbilang”.



“Maka dengan itulah kita perlu mengubah minda rakyat. Kita perlu ubah sikap kita, cara kita bekerja untuk membolehkan kita menghasilkan sesuatu yang lebih baik.” – Tun Abdullah Ahmad Badawi

Konsep Islam Hadhari ini dilihat gagal kerana perancangan rapi gagal dibuat. Menurut kajian yang dijalankan, kerajaan Abdullah Ahmad Badawi telah gagal menerangkan konsep Islam Hadhari, gagal meningkatkan moral pimpinan, gagal menurunkan kadar jenayah, tidak ikhlas dalam perlaksanaannya, gagal membuktikan ianya selari dengan ajaran Islam sebenar dan tidak berjaya meningkat ekonomi Bumiputra. Satu konsep yang sangat bagu namun gagal membuat perancangan yang baik akhirnya menggagalkan konsep Islam Hadhari yang baik.

Dalam perkara ini, Ismail Sabri perlu mengambil iktibar, beliau perlu mengambil ruang serta peluang ini untuk memberikan kepimpinan dan peletakan hala tuju negara yang jelas. Setakat hari ini, rakyat tidak nampak sebarang konsep yang memberangsangkan dalam Keluarga Malaysia. Ia mungkin gagal dan ditolak kerana ia tidak difahami, disalahertikan dan dilihat tidak lebih daripada sekadar retorik kosong.

Berlainan pula dengan konsep 1Malaysia yang mempunyai naratif jelas, maksud dan cakupan, sasaran serta pelan tindakan disusun dalam mencapai semua itu.



Intipati gagasan 1Malaysia ini idea satu bangsa tanpa mengira kepelbagaian etnik, sub-etnik dan kebudayaan. Semua pihak mestilah bersama-sama menjayakannya. Pelaksanaannya bukan dibuat semalaman tetapi secara transfomasi.

Aspek utama ialah sikap saling hormat menghormati dan bersikap menerima di antara satu sama lain. Masyarakat majmuk di Malaysia perlu disatukan melalui ‘1Malaysia’. Hubungan kaum dipereratkan bagi jangka masa panjang. Tiada perbezaan antara bandar, luar bandar dan kumpulan etnik sekiranya mereka mempunyai potensi berhak mendapat bantuan kerajaan berbanding anak-anak golongan berada yang sudah tentu mempunyai peluang pendidikan yang terbaik. Kerajaan menawarkan akses pemula dengan menyediakan datar permainan yang adil tetapi kita sebagai kerajaan tidak berkemampuan memastikan penghasilan yang sama. Prinsip utama yang mendasari 1Malaysia adalah kebersamaan dan kekitaan dalam satu keluarga besar.

Sudah tentu rakyat akan membandingkan konsep Islam Hadhari, 1Malaysia dan Keluarga Malaysia.      Konsep Ismail Sabri ini  memerlukan naratif lebih jelas dan konkrit yang sudah tentu mengambil kira perkara asas seperti dalam Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.  Banyak lagi yang perlu beliau huraikan dalam konsep tersebut.  Semuanya masih lagi kabur. “A Long Way To Go”



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker