Pemandu lori sondol 6 kenderaan positif dadah

Pemandu lori sondol 6 kenderaan positif dadah

Sebuah lori hilang kawalan meluru laju sebelum merempuh lima buah kenderaan yang sedang berhenti di lampu isyarat di Jalan Ipoh, Sentul hari ini.

Dalam kejadian pukul 2.40 petang tadi, tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan namun seorang pemandu kereta dilaporkan cedera.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, siasatan awal mendapati kenderaan lori yang dipandu seorang lelaki telah hilang kawalan akibat dipandu laju.

“Lori itu datang dari arah Jalan Duta menghala ke Sentul dan apabila sampai di lampu isyarat Jalan Ipoh, lori berkenaan telah gagal dikawal dan merempuh lima buah kenderaan lain yang berhenti di lampu isyarat.

“Kelima -lima kenderaan terlibat adalah kenderaan jenis Myvi berwarna Kuning, Proton X70, Honda HRV, Peugeot 208 FL dan Myvi berwarna putih,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Sarifudin, pemeriksaan lanjut polis di lokasi mendapati pemandu kenderaan Myvi berwarna kuning berusia 45 tahun telah mengalami cedera ringan di muka.

Mangsa kemudian diberi rawatan di zon hijau Hospital Besar Kuala Lumpur manakala pemandu kenderaan lain tidak mengalami sebarang kecederaan dan kesemua mangsa telah mendapatkan rawatan pesakit luar dan dibenarkan pulang.

“Pemandu lori berusia 25 tahun itu juga tidak mengalami sebarang kecederaan telah ditahan dan dibuat ujian alkohol dan hasil ujian awal mendapati pemandu tidak dalam pengaruh alkohol.

“Pemandu lori itu kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Dang Wangi untuk ujian saringan air kencing sebelum dikesan positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamin dan siasatan diteruskan di bawah Sek 44 ( 1A ) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan atau pun maklumat boleh menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun H.S Lee di talian 03-2071 9999 atau Hotline JSPT Kuala Lumpur di talian 03-20260267/69 atau mana- mana balai polis berhampiran.

Dalam pada itu penularan gambar-gambar serta video yang ditularkan netizen dalam media sosial mendapati seorang pemandu lelaki kenderaan Myvi Kuning yang mengalami kecederaan ringan di muka cuba keluar dari kenderaannya yang remuk.

Orang ramai serta pemandu lain yang berada di kawasan kejadian juga dilihat membantu pemandu itu keluar dari kenderaannya. MG

Pemandu lori sondol 6 kenderaan positif dadah


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Lagu Caprice membuatkan Yahudi lari bertempiaran

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker