MP Termuda dalam sejarah: Harap tiada yang pecah rekod saya

Prabakaran
Prabakaran
MP Termuda dalam sejarah: Harap tiada yang pecah rekod saya. Ahli Parlimen Batu, P Prabakaran iaitu ahli Parlimen paling muda dalam sejarah negara pada usia 22 tahun, menaruh harapan yang besar agar Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri dipenuhi oleh pemimpin yang muda suatu hari nanti.Ia susulan dengan keputusan tujuh buah negeri iaitu Sabah, Perlis, Terengganu, Sarawak, Kelantan, Perak dan terbaharu Pulau Pinang telah meluluskan usia kelayakan calon ADUN kepada 18 tahun.Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018 lalu, Prabakaran yang bertanding atas tiket Bebas muncul sebagai ahli Parlimen selepas menang dengan memperoleh 38,125 daripada 76,328 keseluruhan undi di P.115 Batu.

Persoalannya dengan tujuh negeri sudah meluluskan calon ADUN berumur 18 tahun, adakah kita akan menyaksikan rekod Prabakaran akan dipecahkan pada PRU15 nanti. Dan adakah parti-parti politik Malaysia mempunyai keberanian untuk meletakkan calon pucuk muda berusia 18 tahun?

Ini kerana perlu diingat, Prabakaran melakukannya sebagai calon Bebas sebelum menyertai PKR.

Ikuti temubual wartawan Sinar Premium, Nurul Riduan Nor Ashahabersama Prabakaran yang mahukan pembaharuan dalam politik negara sekiranya mahu penglibatan anak muda dalam arena politik negara.

SINAR PREMIUM: YB sebelum ini bertanding sebagai calon bebas di Parlimen Batu dan menang sebagai ahli Parlimen paling muda pada usia 22 tahun. Pada pandangan YB adakah PRU15 nanti akan memperlihatkan lebih ramai calon muda?

PRABAKARAN: Saya rasa akan nampak peningkatan daripada segi calon atau penglibatan anak muda dalam bidang politik atau perkara pembangunan negara terutamanya kalau kita lihat zaman sekarang terutamanya waktu Covid-19 dan waktu krisis politik ramai anak muda bangkit dan memberi pelbagai kenyataan berkaitan krisis politik ini.

Prabakaran muncul sebagai ahli Parlimen paling muda negara ketika berusia 22 tahun.
Prabakaran muncul sebagai ahli Parlimen paling muda negara ketika berusia 22 tahun.

Dan banyak anak muda merasakan politik di Malaysia ini adalah sama seperti dahulu iaitu politik kotor. Kita sebagai anak muda sebenarnya mahukan banyak perkara dalam sistem di Malaysia ini melalui perubahan.

Sebab itu kita nampak anak muda bangkit terutamanya zaman sekarang selepas PRU14, selepas banyak penglibatan anak muda, contohnya seperti saya, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzir dan banyak lagi ahli Parlimen atau wakil rakyat yang dalam kalangan orang muda.

Bila kita tunjuk orang muda ini, lebih baik kalau kita bezakan dengan seorang wakil rakyat yang lebih tua. Tentunya anak muda ini lebih aktif dan kita ada idea, ada teknologi bersama kita untuk buat perubahan di negara ini.

Jadi saya optimis penglibatan orang muda akan meningkat dan kita sebagai negara yang mengamalkan demokrasi, memang saya sangat setuju dengan mengadakan Undi 18 dan anak muda yang jika bertanding secara bebas dalam parti, memang saya akan sokong walaupun parti apa sekalipun. Ini adalah corak pemikiran anak muda.

Sekarang saya pegang rekod wakil rakyat paling muda dan saya harap mungkin ada yang boleh memecah rekod saya.

SINAR PREMIUM: Daripada segi cabaran bergelar seorang ahli Parlimen paling muda, apakah penerimaan yang YB dapat sebelum bertanding dalam PRU14?

Cabaran memang ada banyak daripada segi cara mereka bergaul. Contong pengalaman saya, pada awal semasa saya libat dalam politik, ramai tidak sokong.

Dalam keluarga memang tidak sokong. Sebab mereka merasakan perkara ini tidak penting untuk seorang anak muda. Keluarga atau orang yang saya kenal lebih mengharapkan saya jangan terlibat, fokus terhadap kehidupan, kerja dan belajar.

Tetapi mereka kena tahu anak muda adalah satu tulang belakang kepada negara ini. Kitalah generasi sekarang dan akan datang yang akan menjadi pimpinan pada masa hadapan. Kalau sekarang kita tidak libatkan diri, bila lagi?

Kalau kita tengok banyak ahli-ahli politik sudah lima, enam penggal jadi ahli Parlimen. Kita sudah tengok muka-muka yang sama. Kita perlu perubahan. Kalau perubahan, kita perlu ada muka-muka baharu.

Kalau kita cakap berkenaan cabaran, memang ada cabaran. Tetapi cara kita mengatasi cabaran itu adalah kebijaksanaan kita. Anak muda sekarang lebih matang daripada dahulu. Kita tidak boleh pandang rendah terhadap anak muda.

Kalau kita nak cakap berkenaan penglibatan, ada dua perkara. Sekarang apa yang anak muda nak? Adakah anak muda mahu terlibat dalam politik atau anak muda hanya ambil tahu berkenaan politik.

Ini dua perkara yang sering disebut oleh ramai pemimpin. Mereka hanya mahu melibatkan anak muda dalam demokrasi dan untuk mengundi.

Tetapi saya lebih fokus kepada membangunkan anak muda bersama anak muda. Itu lebih penting daripada saya. Sebab kalau kita tidak membangunkan anak muda, hanya meminta mereka untuk melibatkan diri dengan politik, saya rasa langkah itu tidak akan memberi kesan baik kepada negara.

Kita perlu memastikan anak muda bersama dengan pimpinan, membangunkan anak muda supaya kita ada nak muda yang berkualiti.

SINAR PREMIUM: Pada usia yang begitu muda, YB telah membuktikan bahawa orang muda mampu bergelar seorang wakil rakyat. Bagaimana YB rasakan ketika waktu pertama angkat sumpah di Dewan Rakyat?

Bagi saya, masa angkat sumpah dan sesi Parlimen pertama, walaupun saya muda, saya kurang pengalaman dalam Parlimen tetapi bukan saya sahaja orang baru. Ada lebih 40 orang yang baru dalam Parlimen.

Kita sebenarnya, di dalam Parlimen, belajar bersama-sama untuk berucap, untuk cari fakta. Kita selalu pada waktu rehat atau masa dalam Parlimen, kita selalu jumpa dan berbincang.

Sebenarnya perkara yang kita mahu ucapkan dalam Parlimen, saya telah melakukan ulang kaji. Contohnya saya di Parlimen Batu ada banyak isu perumahan. Di Kuala Lumpur banyak isu jalan raya.

Jadi kita sudah tahu apa yang kita nak cakap. Isu nasional melibatkan pengangguran. Tidak perlu ada satu perincian yang rumit. Kita hanya perlu bahas, bagi cadangan yang apa kita mahukan, membantu rakyat atau membantu negara.

SINAR PREMIUM: Sekarang ini ada sentimen yang mengatakan orang muda tidak mempunyai pengalaman dalam dunia politik dan kurang berpengalaman. Jadi bagaimana kita mahu ubah sentimen itu di mana sekarang ini orang muda adalah tulang belakang negara?

Kita perlu pembaharuan sistem ini sebenarnya. Kalau kita lihat muka-muka sama yang jadi ahli Parlimen. Jadi kita kena, contohnya kita bawa polisi, seorang ahli Parlimen itu tidak boleh lebih daripada dua atau tiga penggal.

Ataupun kalau nak jadi ahli Parlimen tidak boleh lebih daripada 50 tahun.

Sebab ini bukan perkara baharu. Negara lain sudah ada. Kalau negara ini susuh nak angkat perkara itu, mungkin kita perlu masa lagi. Kalau generasi sekarang tidak boleh, mungkin akan datang.

Tetapi kita perlu berani untuk rasakan perubahan. Kalau kita tidak berani, memang susah.

SINAR PREMIUM: Bagaimana hari pertama YB ketika di Dewan Rakyat? Adakah YB gentar?

Pertamanya saya memang gementar. Sebab ini dewan yang mulia. Bukan satu dewan yang biasa-biasa. Pengalaman saya pada awal-awal adalah ketika speaker dilantik, semua ahli Parlimen pembangkang masa itu berdiri, protes dan keluar dewan.

Masa itu saya tidak tahu apa berlaku. Saya ingatkan ini satu perkara yang biasa berlaku di Parlimen. Boleh keluar masuk seperti itu. Bila saya tanya dengan ahli Parlimen lain, baru mereka katakan pembangkang protes dan mereka keluar.

Waktu itu saya rasa terkejut. Lepas itu perkataan yang mereka guna, kadang-kadang ada perkataan yang tidak sopan. Kadang-kadang ada yang menjerit, bergaduh. Kadang-kadang ada yang memprovokasi.

Saya lihat perkara itu memang jelas. Kita kena pastikan generasi akan datang tidak akan mengulangi kesilapan sama. Sebab ada perkara-perkara yang kotor pun pernah keluar.

Walaupun ramai dalam kalangan ahli Parlimen, iaitu kawan-kawan saya, selalu minta saya gaduh dalam Parlimen, saya tidak pernah menuruti permintaan itu.

Saya lebih kepada mahu pastikan isu-isu di kawasan saya, isu-isu negara dibangkitkan dan saya akan pastikan ada jawapan. Macam persidangan sebelum ini, saya sangat kecewa. Saya telah berdiri dan jerit sebab saya tidak diberikan peluang utnuk bercakap.

Semasa Menteri Kesihatan (Datuk Seri Dr Adham Baba) ketika itu berucap, hanya 18 ahli Parlimen yang diberi peluang. Mana pergi 100 lebih? Saya sangat kecewa. Kita mahu bawa isu-isu masyarakat, bagi cadangan.

Dalam masa yang sama, anda perlu bijak untuk dapatkan apa yang anda mahu di dalam Parlimen. Saya hari-hari belajar benda baharu. Setiap hari saya perlu keluarkan buku perlembagaan dan banyak belajar dalam internet.

SINAR PREMIUM: Pernahkah YB berfikir dan mengimpikan bahawa Dewan Rakyat itu dipenuhi oleh wakil-wakil rakyat yang muda?

Saya penah fikir tetapi dalam masa yang sama orang yang senior boleh membantu atau menasihati pemimpin muda. Jangan orang tua itu fikir mahu pimpin selama-lamanya. Itu salah.

Bila Pakatan Harapan (PH) ambil alih, saya nampak perkara itu berlaku sebab ada banyak anak muda dalam barisan Kabinet. Ada Syed Saddiq, ada Yeo Bee Yin (ahli Parlimen Bakri), ada Fahmi. Semua ada.

Jadi saya rasa kita sudah hampir capai. Contohnya kalau kita nak cakap berkenaan pemerkasaan wanita, kita sudah ada dalam sejarah, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Timbalan Perdana Menteri wanita pertama. Saya nampak perubahan itu.

SINAR PREMIUM: Apakah perkara yang YB ingati sewaktu menjadi Ahli Parlimen Batu?

Perkara paling saya ingati adalah isu melibatkan protes di kawasan saya melibatkan penduduk setinggan.

Pemaju mahu merobohkan rumah tetapi pemaju tidak bagi ruang untuk penduduk berpindah dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) juga tidak mahu bagi rumah.

Jadi saya terpaksa jumpa Menteri Wilayah ketika itu, Khalid Abdul Samad. Guna pelbagai budi bicara untuk berurusan dengan DBKL untuk memberi rumah.

Walaupun situasi Covid-19, saya terpaksa carikan rumah. Sebelum DBKL sempat memberikan rumah, mereka terpaksa berhadapan dengan perobohan dan berbincang dengan pemaju jangan roboh sebab DBKL dalam proses memberikan rumah.

Hampir setahun, saya berjaya beri 90 peratus penduduk rumah, baki lagi 10 peratus adalah golongan bujang, penduduk yang ada rumah di kawasan sekitar.

Ini semua cabaran dan pengalaman yang saya hadapi. Waktu rumah dirobohkan, kami bergaduh mulut. Situasi itu memang sangat kritikal.

SINAR PREMIUM: Apa harapan YB terhadap golongan muda yang telah diiktiraf untuk mewarnai arena politik negara?

Sebenarnya anak muda ini merupakan satu perkara yang sensitif. Mereka ini kadang-kadang tidak sabar. Mereka nak satu perkara itu, nak laju.

Bagi saya, saya pernah jumpa dengan banyak orang. Saya juga anak muda. Tetapi saya selalu sabar dengan masalah itu. Saya ambil tindakan dengan menggunakan kesabaran saya. Sebab itu kita perlukan orang yang lebih tua untuk nasihati kita dan beri pandangan.

Prabakaran sentiasa memastikan penduduk di kawan Parlimen Baru tidak terkesan dengan penularan pandemik Covid-19.
Prabakaran sentiasa memastikan penduduk di kawan Parlimen Baru tidak terkesan dengan penularan pandemik Covid-19.

 

Anak muda perlu terima pandangan daripada pelbagai orang dan dapatkan perspektif supaya kita boleh jadi orang yang berguna. Kalau kita degil dan ego, amat sukar.

Anak muda perlu ada tolak ansur dan perlu terima apa-apa kritikan. Kadang-kadang orang kritik anak muda, dia jadi sensitif dan marah. Kita perlu ada nilai moral. Kita tidak boleh berputus asa. Kalau kita ada prinsip ini, kita akan menjadi pemimpin yang baik.

Kita juga perlu ada nilai sivik. Kita perlu tahu perlembagaan. Kita kena tahu peranan Yang di-Pertuan Agong, peranan badan kehakiman.

SINAR PREMIUM: Lebih tiga tahun YB bergelar ahli Parlimen. Apa yang YB dapat simpulkan dengan situasi politik negara kita?

Kalau saya mahu katakan, saya lihat politik ini kebanyakannya ada orang yang hanya mahukan peluang untuk jaga jawatan, jaga kuasa.

Kalau kita tengok kejatuhan PH kerana ada beberapa ahli Parlimen dengan sengaja jatuhkan PH sebab kita mahu buat pembaharuan. Ada pihak yang tidak boleh terima, lompat parti untuk jawatan dan kuasa mereka.

Mereka juga halang Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri.

Inilah apa yang saya dapat lihat sepanjang saya bergelar ahli Parlimen. Mereka mahukan kuasa dan mahu menjaga kerusi peribadi mereka. Bukan nak jaga rakyat. Secara terus terangnya saya boleh cakap mereka ini penipu.

Sebagai pengundi, mereka perlu tahu siapa yang layak jadi pemimpin. Mereka kena pilih orang yang sesuai bukan hanya pilih mereka sebab parti politik. Mereka perlu lebih terbuka untuk terima orang yang layak.

MP Termuda dalam sejarah: Harap tiada yang pecah rekod saya


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


TMJ tells Syed Saddiq to jump off KLCC without a parachute

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker