Dek Wan diharap bersinar hari ini

Dek Wan diharap bersinar hari ini

Perjuangan atlet olahraga, Mohamad Ridzuan Mohamad Puzi dalam mempertahankan pingat emas dimenanginya di Rio 2016 bakal menjadi tumpuan pada hari ke-10 temasya Sukan Paralimpik Tokyo, hari ini.

Ridzuan atau dikenali dengan panggilan mesranya ‘Dek Wan’, dijadual berdepan halangan pertamanya dalam kempen kedua di pentas Paralimpik, menerusi saringan kedua acara 100m T36 (kecacatan fizikal) kira-kira pukul 8.33 malam (7.33 malam waktu Malaysia) di Stadium Olimpik.



Walaupun dianggap prospek pingat Malaysia pada temasya berprestij kali ini, pelari berusia 33 tahun yang mengalami cerebral palsy itu tidak boleh memandang mudah cabaran atlet lain yang pastinya akan memberikan tentangan sengit untuk bergelar raja pecut bagi kategori itu.

James Turner dari Australia dan Yang Yifei dari China merupakan pencabar terdekat Ridzuan, apabila kedua-dua pelumba itu pernah menewaskannya di kejohanan dunia di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 2019.

Selain muncul juara, James turut memecahkan rekod dunia dengan catatan baharu 11.72 saat (s) dalam kejohanan di UAE itu manakala Yang Yifei di tempat kedua dengan 11.79s dan Ridzuan ketiga, dengan 11.97s.

Ridzuan dijangka berlari bersama Yang pada saringan kedua manakala James pula akan beraksi pada saringan pertama.



Peringkat akhir dijadual berlangsung pada Sabtu, kira-kira 10.38 pagi (9.38 pagi waktu Malaysia).

Ridzuan mencipta sejarah apabila menyumbang pingat emas pertama negara dalam Sukan Paralimpik, menerusi acara 100m T36 lelaki di Rio 2016 dan mencatat masa 12.07 saat, sekali gus memadam rekod Paralimpik terdahulu milik Roman Pavlyk dari Ukraine iaitu 12.25s, di Beijing 2008.

Dalam pada itu, seorang lagi harapan pingat negara, S. Suresh juga akan turun melepaskan panahannya dalam acara recurve lelaki terbuka di Lapangan Memanah Yumenoshima Park, esok.

Juara memanah dunia 2019 itu dijangka membuat perhitungan pada pusingan penyingkiran 1/16 dengan pemanah dari Jawatankuasa Paralimpik Rusia Bato Tsydendorzhiev.



Sementara itu, aksi hari kesepuluh kontinjen negara menyaksikan jaguh perseorangan lelaki SU5 (kecacatan fizikal), Cheah Liek Hou melangkah ke separuh akhir selepas mencatat kemenangan kedua berturut-turut dengan mengatasi pemain Taiwan, Jen Yu Fang, 21-13, 21-9, dalam aksi kumpulan B pada hari kedua badminton di Yoyogi National Stadium.

Rakan sepasukannya, Didin Taresoh yang beraksi dalam dua perlawanan semalam bagi perseorangan lelaki SH6 (kecacatan fizikal) pula terpaksa menarik diri akibat kecederaan lutut pada set kedua dalam perlawanan kedua kumpulan B menentang Vitor Gonzales Tavares dari Brazil.

Selepas tewas set pertama, 13-21, Didin mengalami kecederaan pada set kedua sehingga mengakibatkannya melupakan baki saingan dalam penampilan pertamanya di pentas Paralimpik ketika Vitor mendahului 18-13.

Terdahulu, pemain kerdil dari Sabah itu tewas kepada pemain India Krishna Nagar, 22-20, 21-10 dalam perlawanan pertamanya semalam.



Hujan yang membasahi Fuji International Speedway, kira-kira 109 kilometer (km) dari sini, pula jelas memberi tamparan kepada pelumba berbasikal lebuh raya, Mohamad Yusof Hafizi Shaharuddin yang beraksi dalam acara lebuh raya lelaki C1-3 (kecacatan fizikal).

Pelumba berusia 23 tahun itu menamatkan perlumbaan sejauh 79.2km itu di tangga ke-33 daripada 39 pelumba keseluruhan, seterusnya mengakhiri saingan tanpa sebarang pingat di Jepun. FMT

Dek Wan diharap bersinar hari ini


Baca Artikel Menarik :



Layari Laman Facebook MYKMU


Syarikat modal RM1 dapat hak bangunkan hutan simpan Kuala Langat



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker