Bila Lembah Klang boleh merdeka daripada gangguan bekalan air?

Bila Lembah Klang boleh merdeka daripada gangguan bekalan air?. Umum mengetahui bahawa negara kini berdepan dengan tri-krisis melibatkan kesihatan, politik dan ekonomi. Paling membebankan ketika ini adalah krisis Covid-19 lantaran sudah lebih 1.74 juta individu telah dijangkiti.

Lebih memeritkan, impak Covid-19 menyebabkan negara berdepan dengan krisis ekonomi sehingga menjejaskan sumber pendapatan 32 juta rakyat Malaysia.

Itu adalah penderitaan yang dihadapi oleh semua rakyat tetapi ada satu lagi krisis tanpa henti yang hanya berlaku di Lembah Klang terutamanya di Selangor.

Krisis itu adalah melibatkan pencemaran air sehingga menyebabkan berlakunya gangguan air.

Penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP) dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat bagi mengekang penularan pandemik Covid-19 tidak menghalang pihak tidak bertanggungjawab daripada terus mencemarkan sumber air mentah di Selangor.

Sembilan kali gangguan

Tahun 2020 menyaksikan Selangor telah melalui sembilan kali pencemaran sumber air mentah dan lapan kali gangguan bekalan air yang menjejaskan sebahagian besar pengguna di negeri ini dan di Lembah Klang.

Kejadian pertama melibatkan pencemaran bau sehingga mengakibatkan gangguan bekalan ke atas jutaan pengguna berlaku pada 17 Mac di mana pencemaran itu berpunca daripada bengkel jentera berat di Sungai Gong, Rawang yang terbabit dalam penstoran sisa minyak.

Selepas 10 hari, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) menyatakan loji rawatan air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, LRA Sungai Selangor Fasa 2 dan LRA Sungai Selangor Fasa 3 terpaksa dihenti tugas akibat pencemaran sisa minyak di Sungai Selangor dalam insiden pencemaran kedua, disyaki berpunca daripada kilang bahan binaan di Bestari Jaya.

Tidak berakhir di situ, penduduk di Selangor dan Lembah Klang diuji sekali lagi dengan gangguan bekalan air pada 16 April setelah empat LRA utama berkenaan dihenti tugas ekoran aliran air daripada sebuah kolam ternakan ikan di Hulu Selangor, mencemarkan sumber air mentah di Sungai Selangor.

Kurang sebulan iaitu pada 27 Mei, LRA Sungai Selisik dihenti tugas ekoran tumpahan minyak diesel dalam insiden pencemaran kali keempat, menjejaskan 742 akaun pengguna Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) di lapan kawasan di Hulu Selangor.

Insiden itu berpunca daripada kemalangan sebuah lori tangki diesel dengan van di Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran Behrang menyebabkan tumpahan bahan bakar daripada kenderaan itu mengalir ke Sungai Siah di Perak, iaitu LRA Sungai Selisik terletak 2.7 kilometer di hilir sungai berkenaan.

Disangkakan panas sampai ke petang, penduduk di negeri ini dan Lembah Klang terpaksa berdepan dengan kesengsaraan apabila empat LRA utama dihenti tugas, ekoran insiden pencemaran bau seakan bahan pelarut dikesan Sungai Selangor pada 3 September menyebabkan penduduk di 1,292 kawasan di tujuh wilayah.

Pencemaran sungai di Selangor sering menyebabkan gangguan bekalan air.
Pencemaran sungai di Selangor sering menyebabkan gangguan bekalan air.

 

Insiden keenam pencemaran air mentah kembali terjadi pada 4 Oktober, setelah LUAS mengesan terdapat bau seperti bangkai di Sungai Pajam, Negeri Sembilan susulan pencemaran bau di Sungai Semenyih dan Sungai Langat menyebabkan henti tugas LRA Semenyih dan Bukit Tampoi.

Cari air di kampung

Pada 19 Oktober, bau seakan-akan pelarut di Sungai Gong dikesan berpunca daripada sebuah bengkel membaiki dan menjual jentera pembinaan sehingga menyebabkan henti tugas LRA Sungai Selangor Fasa 1, LRA Sungai Selangor Fasa 1, LRA Sungai Selangor Fasa 3 dan LRA Rantau Panjang.

Ini mengakibatkan gangguan bekalan air tidak berjadual kali keenam membabitkan 1.2 juta akaun pengguna di tujuh wilayah sekitar Lembah Klang.

Ramai yang pasti masih ingat kerana buan sedikit yang terpaksa mengambil cuti pulang ke kampung kerana air simpanan telah habis digunakan tambahan mempunyai anak-anak kecil di rumah.

Kurang sebulan kemudian iaitu pada 10 November, LUAS memaklumkan LRA Rantau Panjang dan LRA Sungai Selangor Fasa 1, LRA Sungai Selangor Fasa 2 serta LRA Sungai Selangor Fasa 3 terpaksa dihenti tugas lagi.

Ini susulan tindakan pengusaha premis di kawasan perindustrian di Taman Velox, Rawang melupuskan bahan buangan terjadual melalui tandas, sebelum mengalir ke Loji Rawatan Kumbahan Indah Water Konsortium (IWK) dan memasuki Sungai Selangor.

Pencemaran kali kelapan itu terjadi hanya dalam tempoh 24 jam selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor meluluskan Rang Undang-undang (RUU) LUAS (Pindaan) 2020 pada 9 November, untuk mengenakan tindakan lebih tegas terhadap pencemaran sumber air.

Antaranya hukuman denda sehingga RM1 juta dan penjara mandatori.

Kali sembilan iaitu pada 8 Disember, bekalan air di 1,274 kawasan di Lembah Klang terjejas lagi susulan LRA Sungai Selangor Fasa1, LRA Sungai Selangor Fasa 2 dan LRA Sungai Selangor Fasa 3 serta LRA Rantau Panjang dihenti tugas, apabila LUAS mengesan bau bangkai ikan pada sampel sumber air mentah yang diambil pada muka sauk LRA.

Pencemaran Sungai Gong pada 3 September menjadi titik tolak kerajaan negeri dengan kerjasama pihak berkuasa Persekutuan untuk melaksanakan penguatkuasaan alam sekitar, dengan beberapa tindakan undang-undang diambil ke atas pemilik premis bagi menunjukkan betapa seriusnya kesalahan mencemarkan alam sekitar.

Empat ahli lembaga pengarah dan seorang pengurus syarikat membaiki jentera berat didakwa di Mahkamah Sesyen Selayang pada 15 September, berhubung kes pembuangan bahan berbahaya ke dalam Sungai Gong, Rawang, susulan pencemaran yang mengakibatkan gangguan bekalan air kepada 1.2 juta akaun pengguna Air Selangor.

Pada 23 November di Mahkamah Sesyen Selayang, dua lelaki menjadi individu pertama berdepan hukuman penjara seumur hidup, apabila didakwa atas pertuduhan melakukan sabotaj kepada perkhidmatan air dan lima pertuduhan lain, berhubung pencemaran Sungai Selangor, antara 2 dan 10 November.

Bagaimanapun kejadian tahun lalu itu tidak berhenti di situ. Beberapa siri gangguan bekalan air tetap terjadi di Selangor dan Lembah Klang pada tahun 2021.

Hari ini iaitu ketika sambutan Hari Kemerdekaan ke-64, penduduk di negeri ini terpaksa berdepan lagi dengan masalah gangguan air.

Sebanyak 465 kawasan di lima wilayah di Lembah Klang dijangka mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual disebabkan pencemaran bau yang telah dikesan di Stesen Pam Air Mentah Jenderam Hilir pada jam 11.10 pagi tadi.

Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dalam satu kenyataan memaklumkan disebabkan itu Loji Rawatan Air Sungai Semenyih (LRA Sg Semenyih) telah dihenti tugas.

Persoalan yang bermain di fikiran adalah sampai bila Selangor akan berdepan dengan masalah yang sama?

Harapan yang menggunung hari ini, biarlah Selangor mencapai kemerdekaan daripada masalah pencemaran sehingga menyebabkan gangguan bekalan air. Cukup perit tiada air.

Bila Lembah Klang boleh merdeka daripada gangguan bekalan air?


Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392

Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);

KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214

Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

CPRC Kebangsaan KKM
Telefon : 03 8881 0200 / 03 8881 0600 / 03 8881 0700
Whatsapp : +60178429454
Email : [email protected]


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Pingat Emas dimenangi Ziyad dibatalkan

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker