Pilihan Ismail terhad, mungkin terpaksa lantik orang sama

Pilihan Ismail terhad, mungkin terpaksa lantik orang sama, kata penganalisis

Penganalisis berkata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mungkin terpaksa melantik individu sama daripada Jemaah Menteri Muhyiddin Yassin, memandangkan pilihan beliau dalam kalangan wakil rakyat sedia ada terhad.

Mujibu Abd Muis dari Universiti Teknologi Mara berkata rakyat mahu melihat Jemaah Menteri yang dibentuk berdasarkan prestasi dan merit, namun beliau meramalkan status quo, yang mana susunannya mengikut komposisi kerusi parti komponen pemerintah.



Ismail dijangka mengumumkan Jemaah Menteri baharu pada 11 pagi ini.

“Jadi mungkin di sini persepsi rakyat terbahagi disebabkan ‘resource pool’ Ismail dilihat terhad dan terpaksa mungkin melantik individu yang sama daripada Jemaah Menteri Muhyiddin Yassin,” katanya kepada FMT.

Demikian itu, Mujibu menambah ada permintaan untuk meningkatkan kapasiti tenaga profesional dalam Jemaah Menteri.

“Bagi memastikan ada pembaharuan dan sinergi dalam pembuatan keputusan dan pelaksanaan dasar,” tambahnya.



Kartini Aboo Talib dari Universiti Kebangsaan Malaysia meramalkan Jemaah Menteri Ismail akan menampilkan hanya beberapa muka baharu.

Katanya, merungkai dan menstruktur semula Jemaah Menteri ketika negara sedang mengurus wabak Covid-19 mungkin tindakan kurang cermat, bagi sebuah kerajaan yang perlu bertahan untuk tempoh kurang dua tahun sebelum PRU15.

“Jemaah Menteri baharu boleh terus mengukuh dengan yang sedia ada,” katanya kepada FMT.

“Mungkin perlu wujudkan jawatankuasa tugas khas dengan penglibatan bersama Ahli Parlimen pembangkang bagi memastikan strategi menangani Covid-19 dapat dilaksanakan dengan melibatkan pusat, negeri, daerah, dan mukim. Keanggotaan jawatankuasa ini boleh menggunakan formula lima partisan, tiga bipartisan, dua non partisan, selain melibatkan pakar.



“Formula kuasa ini akan mengurangkan ketidakstabilan dan memastikan keputusan boleh dibuat dalam pengiraan undi majoriti mudah,” tambahnya.

Bilcher Bala daripada Universiti Malaysia Sabah mengingatkan walau apa pun barisan menteri yang ditampilkan Ismail nanti, persepsi negatif terhadap beliau sudah terbentuk sebelum dilantik Yang di-Pertuan Agong lagi.

Beliau berkata hanya dasar yang berkesan akan dapat mengubah persepsi itu.

“Rakyat perlu beri perhatian sambil membuat penilaian dan akhirnya memberi keputusan pada PRU nanti,” katanya. FMT



Pilihan Ismail terhad, mungkin terpaksa lantik orang sama


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Firdaus Wong, Zamri Vinoth difailkan pendakwaan



Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker