Syirik beribadah semata-mata untuk masuk syurga?

Syirik beribadah semata-mata untuk masuk syurga?

Apabila sebut tentang ikhlas kita perlu mengetahui maknanya. Seperti yang disebut oleh ulama, ikhlas bermaksud mengkhususkan atau menyucikan tujuan mendekatkan diri kepada Allah dari apa-apa yang merosakkan iaitu syirik.

Maksud ikhlas dari syirik pula adalah melakukan ibadat bukan semata-mata kerana Allah. Sebahagian niatnya diberikan kepada Allah dan sebahagian lagi diberikan kepada makhluk lain itu pun sudah dikatakan syirik kecil.



Misalnya solat yang dilakukan kerana Allah tetapi dalam masa yang sama, ada perasaan untuk memperlihatkannya kepada orang lain. Ibadat seperti itu tidak diterima Allah kerana ada perasaan agar orang pandang dan disanjung.

Begitu juga halnya jika ibadat yang ada perasaan riak pun akan tertolak. Tertolak dalam erti kata lain ialah hanya sia-sia tidak memperoleh pahala namun solatnya tetap sah. Di situlah maksud ikhlas iaitu memurnikan dari semua sifat tadi iaitu riak dan syirik kecil. Begitu juga ibadat yang dilakukan untuk orang dengar supaya dihargai itu pun tidak boleh. Sebab itu Iman Ghazali mengungkapkan,

“Aku lebih suka ilmu ini disampaikan kepada orang tanpa disebut namaku.” Itulah yang dinamakan ikhlas.”

Menurut Pensyarah Kanan, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Fadlan Mohd. Othman, yang membezakan ikhlas dan tidak adalah niat apabila melakukan atau menyatakan sesuatu perkara. Ikhlas adalah sesuatu yang dituntut di dalam ibadat dan amalan seharian. Firman Allah surah al-Bayyinah: 5,



“Mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepada-Nya, lagi tetap teguh di atas tauhid; dan supaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat. Dan yang demikian itulah agama yang benar.”

Melakukan ibadat tanpa mengharapkan orang sanjung dan lihat, itulah ikhlas tandanya. Pun begitu amalan yang dilakukan dengan mengharapkan pahala dan balasan dari Allah itu tidak menjadi kesalahan. Sememangnya itu yang diharapkan oleh manusia.

Sejak zaman para sahabat lagi mengharapkan pahala, syurga dan takutkan neraka itu adalah perkara yang betul. Mencintai Allah dan mengharapkan syurganya bukan perkara yang syirik, ia sesuai dengan kehendak al-Quran.

Setiap amalan yang dilakukan adalah ikhlas kerana Allah. Ikhlas kerana Allah itu termasuklah kerana takutkan Allah, inginkan pahala-Nya, mendambakan syurga dan takutkan neraka. Selagi ibadat itu dilakukan ikhlas kerana mengharapkan Allah semata-mata maka ia tidak menyalahi malah itulah yang dikatakan cinta kepada Allah.



Menurutnya lagi, mencintai Allah adalah sifat orang beriman seperti firman Allah di dalam surah al-Baqarah: 165,

“(Walaupun demikian), ada juga di antara manusia yang mengambil selain dari Allah (untuk menjadi) sekutu-kutu (Allah), mereka mencintainya, (memuja dan mentaatinya) sebagaimana mereka mencintai Allah; sedang orang-orang yang beriman itu lebih cinta (taat) kepada Allah…”

Terdapat satu hadis yang menceritakan tentang sahabat ketika perang Uhud yang merebut syurga kerana syahid. Hadis tersebut dari Jabir r.a. katanya,

“Seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah s.a.w. “Di mana tempat ku, ya Rasulullah?” Jawab Nabi s.a.w., “Di syurga!” Orang itu segera membuang kurma yang dipegangnya, kemudian maju bertempur. Katanya, “Aku dapat mencium aroma syurga di Uhud,” kemudian pemuda itu berperang hingga syahid.”



Ketika lelaki itu berkata demikian Nabi tidak pula melarangnya. Itu bermakna Nabi membenarkannya. Jika salah sudah tentu Nabi menegurnya. Mengimpikan syurga bukanlah syirik. Kefahaman para sahabat tentang cinta syurga dan takut neraka adalah masih terangkum kerana Allah.

Siapa yang takutkan neraka bermakna ia takutkan Allah. Siapa yang impikan syurga itu juga kerana hendakkan ganjaran Allah.

Satu lagi peristiwa yang disebut di dalam hadis. Dari Nafi, katanya

“Ibnu Umar diberitahu bahawa Abu Hurairah berkata, “Barang siapa yang mengikut jenazah dan tentunya juga ikut menyembahyangkannya maka ia mendapat pahala satu qirath yakni pahala yang ada hubungnya dengan jenazah misalnya mempersiapkan segala yang diperlukan, memandikan, memakamkan, bertakziah, membawa sekadar makanan kepada keluarganya dan apa saja yang ada kaitannya dengan itu.



“Satu qirath itu adalah sesuatu yang sebesar bukit Uhud.” Ibnu Umar mendengar perkara itu dan merasa amat terkejut lalu dihantar seorang muridnya untuk bertemu dengan Aisyah untuk bertanyakan hadis yang disebut oleh Abu Hurairah.

Disebutkan di dalam hadis itu Ibnu Umar gelisah sambil memegang ranting kayu menantikan jawapan daripada anak muridnya. Apabila sampai anak muridnya membawa jawapan dari Aisyah, bahawa hadis itu adalah benar lantas Ibnu Umar langsung mencampakkan ranting kayu itu dan berkata,

“Aku telah kerugian banyak qirath.”

Menurut riwayat hadis itu, Ibn Umar menyembahyangkan jenazah lalu terus balik ke rumah dan tidak turut menyempurnakan jenazah itu.



Hadis ini adalah untuk menunjukkan ia juga hadis sama dengan kisah Anas Nadar semasa perang Uhud bahawa perlu difahami mengidamkan ganjaran syurga itu bukan perkara syirik ia adalah tauhid. Mentauhidkan Allah bermakna suka pada apa yang Allah suka dan mendambakan apa yang Allah tawarkan.

Wajib bagi kita mengharapkan Allah seperti juga yang disebut di dalam rukun iman iaitu beriman dengan hari akhirat. Itu maksudnya apa? Beriman dengan hari akhirat juga adalah beriman dengan syurga dan neraka. Wallahu a’lam Utv

Syirik beribadah semata-mata untuk masuk syurga?


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Firdaus Wong, Zamri Vinoth difailkan pendakwaan

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker