Lazada jenamakan semula bahagian logistik

Lazada jenamakan semula bahagian logistik, merintis bidang dengan perkhidmatan sehenti

Lazada, platform e-dagang terkemuka Asia Tenggara, hari ini mengumumkan penjenamaan semula bahagian logistiknya sebagai Lazada Logistics, yang dulu dikenali secara berasingan sebagai Lazada eLogistics (LEL) dan Lazada Express (LEX).

LEL menguruskan perkhidmatan penunaian pesanan dan logistik dengan penyedia logistik pihak ketiga (3PL), manakala LEX mengendalikan khidmat penghantaran bungkusan kepada pelanggan.



Warna biru baharu Lazada Logistics mencerminkan kecekapan dan kebolehpercayaan Lazada dalam usahanya menawarkan penyelesaian logistik sehenti yang dipercayai kepada jenama dan penjual di Malaysia dan di rantau ini, bagi memenuhi semua keperluan perniagaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Lazada Group, Chun Li, berkata: “Sepanjang sedekad lepas, rangkaian logistik hak milik Lazada telah mencorakkan semula persekitaran e-dagang di rantau paling ramai penduduk dan terpelbagai dari segi geografi.

“Keupayaan logistik ini membolehkan kami menyediakan perkhidmatan penghantaran terbaik dalam kelasnya kepada pengguna di seluruh rantau di samping perkhidmatan dari mula hingga akhir tanpa kerenah kepada penjual dan rakan niaga.

“Penjenamaan semula ini mencerminkan kemajuan penting yang kami capai selama ini, diterajui oleh insan dan teknologi.”



Sejajar dengan penjenamaan semula ini, Lazada Logistics juga memperkenalkan perkhidmatan logistik berbilang saluran atau MCL, yang menyediakan penyelesaian penunaian stok tunggal untuk membolehkan para pengendali e-dagang dan jenama-jenama menunaikan pesanan meliputi semua saluran e-dagang dengan lancar.

Sama ada pengguna membuat pesanan di Lazada atau saluran e-dagang lain, Lazada Logistics akan menunaikan semua pesanan tersebut.

Menerusi aturan ini, Lazada menyimpan produk peniaga dan rakan-rakan e-dagang, membolehkan pesanan dikendalikan dan dikirim dengan pantas menerusi angkatan penghantaran Lazada sendiri, rakan-rakan 3PL, atau khidmat penghantaran yang ditentukan saluran.

Ketua Pegawai Logistik Lazada, Andy Huang, berkata: “Dalam suasana semasa, pengguna sudah pun membiasakan diri dengan kemudahan beli-belah dalam norma baharu, dan penghantaran barangan terus ke depan pintu – dengan selamat dan tepat pada masanya.



“Kita perlu terus mempelopori inovasi dan memperkenalkan penyelesaian baharu yang akan membantu peniaga dan rakan e-dagang kami memenuhi permintaan dan jangkaan pelanggan mereka yang semakin meningkat.


Barisan depan logistik kini tampil dengan seragam serba biru.

“MCL memastikan pengalaman yang konsisten, dan menyelesaikan pelbagai masalah logistik bagi jenama dan penjual, membolehkan mereka memberi tumpuan terhadap jualan dan pemasaran sambil meluaskan perniagaan masing-masing.”

MCL membolehkan jenama dan penjual untuk meningkatkan kelancaran dan fleksibiliti kawalan inventori, dan menyelesaikan masalah logistik mereka termasuk perbelanjaan modal dan operasi yang tinggi yang dikaitkan dengan penunaian pesanan (iaitu keperluan menyenggara prasarana gudang dan kenderaan penghantaran).



Mereka juga tidak perlu berdepan kerumitan membina rangkaian operasi yang besar tanpa ekonomi skala.

MCL membuktikan keupayaan logistik dan prasarana rantaian bekalan canggih Lazada, yang menawarkan kemudahan inventori pintar dan penyelesaian penghalaan, dipacu data dan teknologi.

Semua jenama dan penjual boleh memanfaatkan rangkaian Lazada Logistics meliputi lebih 400 kemudahan gudang, pusat penyisihan dan hab.

Mereka juga boleh memanfaatkan angkatan kenderaan serantau terbesar yang dimiliki oleh pasaran e-dagang, dan kelebihan kompetitif Lazada yang mempunyai kawalan terhadap operasi logistik yang serba lengkap.



Lebih 85% daripada bungkusan di peringkat awal penghantaran dikendalikan oleh kemudahan Lazada, dan Cainiao, yang merupakan perkhidmatan logistik Alibaba, membantu Lazada mengurus logistik rentas sempadan dan perkhidmatan pusat pengedaran di China.

Di Malaysia, Lazada satu-satunya peserta e-dagang dengan rangkaian gudang bersepadu serba lengkap milik penuh, tiga pusat penyisihan di Subang, Puchong dan Pulau Pinang, dan lebih 40 hab penghantaran di seluruh negara.

“Langkah menyatupadukan MCL ke dalam rangkaian logistik bersepadu serba lengkap kami yang sedia ada akan membolehkan kami berkhidmat kepada pelanggan dengan lebih baik dan pantas, lebih-lebih lagi sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan lanjutan di mana rakyat kini semakin bergantung kepada platform e-dagang untuk membeli barangan keperluan harian masing-masing.

“Kami bercadang untuk melancarkan lebih banyak ciri baharu, termasuk insentif untuk penjual menunaikan pesanan lebih pantas dan menambah baik perkhidmatan kutipan pesanan pada hari sama daripada penjual, demi meningkatkan lagi pengalaman pelanggan dan penjual,” kata Ketua Pegawai Logistik Lazada Malaysia. P Sunil Singh.



“Penjenamaan semula dan pelancaran tawaran terbaharu ini membuktikan kekuatan yang kami bina dan juga komitmen untuk menyediakan pengalaman pelanggan yang lebih baik,” kata Huang.

“Usaha ini juga menekankan lagi hasrat kami untuk memperkasakan ekosistem e-dagang yang sihat dan mampan dalam jangka panjang dengan menggandingkan kecemerlangan logistik dengan teknologi terkini untuk mencapai penghematan kos.”
FMT

Lazada jenamakan semula bahagian logistik


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Mohd Alwi minta MP Umno usah ‘overdose’ kerumun PM

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker