Kerajaan BN atau PN? Jenamakan semula kerajaan baharu!

Kerajaan BN atau PN? Jenamakan semula kerajaan baharu!. Sehingga kini identiti kerajaan baharu masih belum dapat diumumkan kepada rakyat.

Ia berikutan terdapat percanggahan pandangan di antara beberapa pemimpin politik yang tidak bersetuju supaya Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri mengekalkan nama Kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Beberapa veteran politik berpandangan kerajaan yang akan dibina oleh Ismail Sabri kelak perlu dijenamakan semula dengan tidak menggunakan nama yang digunakan sebelum ini.

Pengerusi Veteran UMNO Malaysia, Datuk Othman Desa berkata, penjenamaan semula itu penting agar kerajaan baharu tersebut tidak terpalit dengan tanggapan dan persepsi negatif rakyat terhadap kerajaan lama.

“Pada pandangan saya, eloklah kerajaan ini tidak guna nama lama, dia kerajaan baharu perlu guna nama baharu. Kita tidak mahu ada kaitan dengan kerajaan lama yang ada banyak polemik.

“Jadi dengan nama baharu ini dapat bina semangat baharu, pendekatan baharu dan lebih komprehensif untuk selesaikan masalah dihadapi rakyat ketika ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Beliau mengulas isu kerajaan baharu pimpinan Ismail Sabri bakal mengalami krisis identiti.

Ia susulan pada Sabtu, beberapa pemimpin UMNO dilihat tidak berpuas hati selepas bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin merujuk kerajaan baharu sebagai kerajaan PN ketika mengucapkan tahniah kepada Ismail Sabri.

Antara yang membantah ialah Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan yang membantah penggunaan nama tersebut.

Walau bagaimanapun, Othman berpendapat nama baharu itu tidak perlu disegerakan kerana apa yang penting ketika ini adalah pemimpin harus memberi fokus bagi menyelesaikan masalah akibat pandemik Covid-19.

“Nama apa yang hendak diberikan sekarang tidak penting, apa yang penting kerajaan tersebut perlulah berkesan dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat ketika ini,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Agung Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub berkongsi pandangan sama iaitu sebaiknya kerajaan yang ditubuhkan nanti perlu mempunyai nama baharu.

“Kalau kita lihat sebelum ini, PN didominasi oleh tiga anggota iaitu Bersatu, Pas, Gabungan Parti Sarawak (GPS), jadi mereka namakan PN walhal UMNO bukan anggota mereka.

“Apabila sudah berubah tampuk kepimpinan yang diketuai UMNO, saya rasa elok tukar dan dijenamakan semula,” katanya.

Mustapha berpendapat nama kerajaan baharu itu haruslah mempunyai kaitan dengan tiga perkara penting yang perlu difokus oleh ahli Parlimen seperti dalam titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebelum ini.

“Kalau lihat surat Seri Paduka Baginda kepada ahli Parlimen, kerajaan yang akan dibina nanti perlu fokus kepada tiga perkara iaitu pemulihan Covid-19, ekonomi dan politik.

“Jadi eloklah kerajaan ini diberi nama kerajaan pemulihan menyambut seruan Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Kerajaan BN atau PN? Jenamakan semula kerajaan baharu!


Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392

Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);

KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214

Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

CPRC Kebangsaan KKM
Telefon : 03 8881 0200 / 03 8881 0600 / 03 8881 0700
Whatsapp : +60178429454
Email : [email protected]


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Ku Li gesa undi percaya terhadap Perdana Menteri diadakan segera

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker