Bekas CEO 1MDB mengaku pindah wang tanpa kebenaran

Oleh Nurul Aisyah

1MDB dijadikan “modal” untuk menjatuhkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sejak beberapa tahun yang lalu. Kini kes tersebut sedang dibicarakan. Semalam ketika perbicaraan sedang berlangsung, dalang sebenar 1MDB didedahkan.

Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Mohd Hazem Abdul Rahman seharusnya dimasukkan ke dalam penjara atas pertuduhan kes pecah amanah jenayah (CBT) dan pengubahan wang haram dan bukannya Datuk Seri Najib Tun Razak.

Memetik sumber, Beliau berkata demikian di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah selepas mendapati jutaan wang 1MDB dipindahkan ke beberapa syarikat tanpa pengetahuan Bank Negara Malaysia (BNM).

Mohd Hazem memberitahu yang beliau tidak pasti berhubung kebenaran daripada BNM untuk memindahkan wang terbabit.

“Ketika memindahkan wang-wang itu, kamu mempunyai kuasa dalam 1MDB, adakah kamu mendapat kebenaran daripada BNM?” soal Muhammad Shafee.

“Saya tidak pasti,” jawab Mohd Hazem.

Muhammad Shafee: Wang ini dipinjam dari Deutsche Bank AG, adakah kamu setuju, kamu tidak mendapat kebenaran (BNM), ini satu kesalahan?

Mohd Hazem: Ya

Muhammad Shafee: Juga (kesalahan) pengubahan wang haram?

Mohd Hazem: Ya

Muhammad Shafee: Ini adalah kesalahan serius pengubahan wang haram, (di bawah) Seksyen 4 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA) kerana bercanggah dengan tujuan asal pinjaman dibuat?

Mohd Hazem: Saya tidak menyedari.

Muhammad Shafee: Ada sesiapa menyiasat di bawah AMLA dan pecah amanah?

Mohd Hazem: Tidak

Muhammad Shafee: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terlalu baik dengan kamu.

Dalam jawapan bertulis, Mohd Hazem memberitahu, pada 22 Mei 2014, rentetan kelulusan Lembaga Pengarah 1MDB, membuat pinjaman sehingga AS$300 juta (RM1.2 bilion), sebagaimana yang telah dirancang oleh ahli perniagaan dalam buruan, Jho Low.

Menurutnya, Pada 26 Mei 2014, 1MDB Energy Holdings Limited memeterai perjanjian Facility Agreement dengan Deutsche Bank AG untuk membuat pinjaman AS$250 juta (RM1.1 bilion).

Katanya, Deutsche Bank AG dipilih untuk membuat pinjaman AS$250 juta (RM1.1 bilion) dan AS$975 juta (RM4.1 bilion) pada tahun 2014 kerana ia adalah pilihan Jho Low.

Adakah Jho Low memasang perangkap untuk menganiaya Datuk Seri Najib? Namun, apa yang jelas, CEO 1MDB, Mohd Hazem Abdul Rahman yang seharusnya dimasukkan ke dalam penjara atas pertuduhan kes pecah amanah jenayah (CBT) dan pengubahan wang haram dan bukannya Datuk Seri Najib.

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker