Lelaki masuk kediaman wanita maut dipukul

Lelaki masuk kediaman wanita maut dipukul

KULAI: Tindakan seorang lelaki berusia 46 tahun memasuki kediaman seorang wanita membawa padah apabila dia mengalami kecederaan parah akibat dipukul orang awam sehingga maut ketika mendapatkan rawatan di hospital, semalam.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintenden Tok Beng Yeow berkata, pihaknya dimaklumkan berhubung kejadian tersebut yang berlaku di sebuah rumah di Jalan Tan Yok Fong di sini, pada pukul 8.30 pagi.

“Dalam kejadian tersebut, penghuni rumah iaitu seorang wanita berusia 31 tahun yang sedang tidur menyedari kediamannya cuba dimasuki seorang lelaki sebelum wanita berkenaan menghubungi rakannya.

“Suspek yang menyedari rakan mangsa tiba ke kediaman tersebut cuba melarikan diri sebelum berlaku pergelutan antara mereka.

“Pergelutan tersebut menarik perhatian orang awam. Setibanya polis di lokasi, lelaki berkenaan didapati telah dipukul orang awam,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Tambah Beng Yeow, lelaki itu yang mengalami kecederaan parah dilaporkan maut ketika dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA) pada pukul 9.45 malam tadi.


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Sehubungan itu, polis menahan wanita berkenaan berserta tiga lelaki termasuk seorang warganegara Indonesia yang berusia antara 31 hingga 54 tahun.

“Seorang lagi suspek lelaki yang dipercayai turut terlibat dalam kejadian tersebut masih diburu polis. Siasatan awal terhadap wanita berkenaan mendapati kejadian itu berpunca kerana isu hutang,” katanya.

Beng Yeow memberitahu, polis turut merampas beberapa barangan bagi membantu siasatan antaranya termasuk dua telefon bimbit, sebuah kenderaan, satu batang paip PVC sepanjang 80 sentimeter dan satu botol air yang telah pecah.

“Kesemua individu yang ditahan kini dikenakan reman selama enam hari bermula hari ini manakala kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung mandatori jika sabit kesalahan.

“Sehubungan itu orang awam diminta menyerahkan kepada polis untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan,” jelasnya. Utusan

Lelaki masuk kediaman wanita maut dipukul

Muhyiddin ‘jatuh’, langkah Azmin, Zuraida jadi tumpuan

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker