Betapa Penting Jaga Kaki Elak Amputasi! Satu Pertiga Pesakit Diabetes Alami Arteri Peripheral

Betapa Penting Jaga Kaki Elak Amputasi! Satu Pertiga Pesakit Diabetes Alami Arteri Peripheral

DIABETES kekal menjadi salah satu kebimbangan utama kesihatan awam di Malaysia.

Penyakit ini dianggarkan menjejaskan seramai 3.9 juta orang dewasa dengan kadar kelaziman meningkat dari 13.4 peratus pada tahun 2015 menjadi 18.3 peratus pada tahun 2019, seperti yang dilaporkan oleh Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2019 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Walaupun sering dikaitkan dengan penyakit jantung dan strok, ramai yang masih belum sedar bahawa diabetes juga boleh menyebabkan penyakit arteri peripheral (PAD). Malah, PAD menjejaskan satu per tiga daripada pesakit diabetes, kata perunding pakar pembedahan vaskular di Pust Perubatan Prince Court, Dr Krishna Kumar.

Dr Krishna menjelaskan PAD adalah penyekatan aliran darah ke anggota badan, terutamanya pada bahagian kaki – disebabkan oleh pembinaan plak pada saluran darah (aterosklerosis). Disebabkan aliran darah yang kurang, pesakit akan mendapati luka mereka susah atau tidak mampu untuk sembuh.

“Namun, oleh sebab diabetes juga boleh mengakibatkan kerosakan saraf dan mendatangkan rasa kebas dan kehilangan deria pada anggota badan, luka-luka ini selalunya tidak disedari sehingga ia menjadi ulser. Inilah sebabnya ulser kaki amat kerap berlaku dalam kalangan pesakit diabetes,” katanya kepada mStar.

DR KRISHNA KUMAR

Perunding pakar pembedahan vaskular di Pust Perubatan Prince Court, Dr Krishna Kumar.

Jika tidak dirawat dengan segera dan berhati-hati, ulser ini kata Dr Krishna boleh menjadi gangren (tisu mati disebabkan ketiadaan oksigen) dan mempunyai kebarangkalian yang tinggi untuk amputasi.

Mengenali tanda-tanda

Perkara utama yang perlu diberi perhatian ialah faktor risiko seseorang. Antaranya termasuk:

1. Lelaki melebihi umur 50 tahun

2. Diabetes

3. Obesiti

4. Hipertensi

5. Tahap kolesterol tinggi

6. Merokok

7. Sejarah penyakit jantung dalam keluarga

Seterusnya, gejala PAD yang paling biasa ialah klaudikasi iaitu sakit otot atau kekejangan semasa berjalan. Masalah ini selalunya tertumpu pada bahagian betis dan merangkumi ketidakselesaan yang ringan hinggalah rasa sakit yang teramat.

Rasa sakit itu katanya biasanya hilang selepas berehat selama beberapa minit, sebab itulah kebanyakan orang tidak mengesyaki bahawa ada sesuatu yang tidak kena dengan diri mereka.

Amputasi

Luka yang menjadi gangren mempunyai kebarangkalian yang tinggi untuk amputasi.

“Pantau dan bandingkan sejauh mana jarak yang anda mampu berjalan sebelum rasa sakit muncul. Jika anda sebelum ini mampu berjalan sehingga jarak 200 meter tetapi kini hanya mampu berjalan 50 meter, ini bermakna keadaan anda semakin teruk. Dalam kes yang teruk, pesakit mengalami rasa sakit walaupun ketika berehat,” jelasnya.

Gejala-gejala lain yang perlu diawasi termasuk kelemahan kaki; kadar penumbuhan kuku kaki yang lebih perlahan, perubahan warna pada kaki; penumbuhan bulu kaki yang lebih perlahan; dan sakit pada bahagian tangan ketika menulis atau melakukan tugasan secara manual.

Dr Krishna memberitahu individu yang mempunyai peredaran darah sihat akan mendapati luka mereka mula sembuh dalam masa satu minggu, tetapi ini bukan keadaannya untuk orang yang mengalami masalah PAD. Sering kali, luka mungkin berubah menjadi lebih teruk dan akan membiru.

Sesuatu yang ringan seperti kuku kaki yang tumbuh ke dalam katanya, boleh melarat dengan pantas menjadi gangren dalam masa beberapa minggu bergantung kepada berapa teruknya PAD.

Jelas Dr Krishna ramai pesakit lambat menyatakan gejala mereka dan ulser telah melarat ke tahap di mana amputasi diperlukan untuk menyelamatkan nyawa mereka. Tanpa amputasi, ulser ini boleh menyebabkan septikemia (keracunan darah) yang boleh membawa maut.

“Saya telah merawat seorang lelaki berusia 75 tahun yang mempunyai gangren pada jari kaki pertama dan keduanya. Dia mendapatkan rawatan klinik pesakit luar selama tiga minggu, tetapi lukanya menjadi lebih teruk, dan dia diberitahu bahawa dia memerlukan amputasi utama (bermula dari bawah lutut).

Periksa Kandungan gula

Pesakit perlu menjalani kehidupan sihat selain memastikan kandungan gula dalam darah terkawal.

“Dia datang kepada saya untuk pendapat kedua, dan kami melakukan angiogram dan angioplasti. Jari kakinya terpaksa dibuang tetapi selepas dua bulan penjagaan dan rawatan yang betul, dia mampu sembuh dan kini boleh berjalan dengan alat bantuan berjalan. Campur tangan pada waktu yang tepat telah membantu mengekalkan anggota badan pesakit,” katanya.

Menjaga kaki anda dengan betul

Dr Krishna menjelaskan penting bagi pesakit yang mempunyai pelbagai faktor risiko untuk menjalani saringan awal supaya mereka boleh mengurus PAD dengan teliti bagi mengelak komplikasi.

Setelah didiagnosis, penting untuk mereka berhenti merokok dan mengambil ubat-ubatan yang sesuai yang diperlukan. Hal ini bagi memastikan diabetes, hipertensi dan tahap kolesterol tinggi anda berada dalam keadaan yang terkawal.

Selain itu, penjagaan kaki yang betul adalah penting untuk mengurangkan risiko kecederaan. Dr Krishna berkongsi langkah-langkah untuk diikuti:

1. Sebelum tidur, periksa kaki anda setiap malam untuk memastikan tiada luka.

2. Cuci kaki anda dengan teliti terutamanya pada bahagian celah jari kaki.

3. Potong kuku kaki anda secara lurus untuk mengelakkan kuku tumbuh ke dalam.

4. Lembabkan kaki anda untuk mengelakkan rekahan tumit.

5. Pakai kasut dan stoking jika sesuai untuk melindungi kaki anda.

6. Pastikan kasut anda sesuai dengan anda untuk mengelakkan luka, lepuh dan kuku tumbuh ke dalam.

Lebih penting katanya, jika seseorang mengalami sebarang gejala PAD atau mempunyai luka yang tidak mampu untuk sembuh – mereka perlu mendapatkan rawatan dengan segera. Pengesanan dan rawatan awal boleh menyelamatkan nyawa dan anggota badan.

Betapa Penting Jaga Kaki Elak Amputasi! Satu Pertiga Pesakit Diabetes Alami Arteri Peripheral


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Kontena mayat cukup, nak masuk beri nama [VIDEO]

6 anggota polis antara ditahan di pusat hiburan

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker