Krisis PN-Istana Negara cederakan PAS

Anak Hadi seru semua pihak doakan bapanya, buat solat hajat

Krisis PN-Istana Negara cederakan Pas. Krisis yang berlaku di antara kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan Istana Negara susulan tindakan kerajaan membatalkan enam Ordinan Darurat lebih awal tanpa menunggu perkenan Yang di-Pertuan Agong dipercayai memberi kesan kecederaan teruk kepada Pas ketika ini.

Ketua Penyelidik O2 Research Malaysia, Anis Anwar Suhaimi berkata, Pas menerima impak kecederaan terburuk dalam konflik berkenaan susulan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang dianggap mengelirukan Dewan Rakyat oleh Seri Paduka Baginda, juga merupakan Setiausaha Agung parti itu.

Anis Anwar turut mengemukakan teori menarik bahawa konflik pergelutan politik antara cabang eksekutif dan Istana Negara bakal memberi kelebihan kepada UMNO untuk memposisikan parti itu mengetuai kerajaan PN sekiranya berlaku rombakan kerajaan kelak.

“Justeru, Pas perlu kembali memikirkan situasi yang sedang mereka alami, menilai semula untung rugi politik selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) atau kedudukan mereka dalam kerajaan yang tempohnya dianggap semakin singkat.

“Kemelut kerajaan PN-Istana Negara sebenarnya memberi ruang kepada UMNO dan Pakatan Harapan (PH) untuk mengkonsolidasikan sokongan kepada parti masing-masing sementara Pas mengalami kecederaan serius dari sudut imej di mata rakyat akibat kenyataan Menteri Undang-Undang,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Beliau berkata demikian bagi mengulas implikasi titah dukacita Yang di-Pertuan Agong terhadap kerajaan PN dan Takiyuddin yang didakwa melakukan tindakan tidak berperlembagaan dan mengelirukan Dewan Rakyat menerusi kenyataan pada 26 Julai lalu.

 

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama Takiyuddin pada Persidangan Parlimen Penggal Ketiga Parlimen ke-14. -Foto Bernama
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama Takiyuddin pada Persidangan Parlimen Penggal Ketiga Parlimen ke-14. -Foto Bernama

Terdahulu, kerajaan PN pada 26 Julai lalu memutuskan tidak menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan Proklamasi Darurat baharu apabila darurat tamat pada 1 Ogos ini.

Takiyuddin turut menegaskan kerajaan juga bersetuju untuk membatalkan semua Ordinan Darurat yang telah dibuat semasa Proklamasi Darurat sebelum ini, berkuat kuasa 21 Julai lalu.

Sementara itu, Anis Anwar berkata, untuk Pas berusaha mengekalkan sokongan rakyat kepada mereka, parti ini perlu benar-benar menunjukkan kepatuhan mereka kepada titah Yang di-Pertuan Agong.

Jelas beliau, bentuk kepatuhan itu boleh dizahirkan ahli-ahli Parlimen Pas sama ada menasihati rakan parti kerajaan untuk menzahirkan rasa rendah diri dengan sikap mereka terhadap Istana Negara.

“Atau mereka boleh sekurang-kurangnya bersama-sama UMNO untuk menasihatkan Perdana Menteri agar berlakunya rombakan kerajaan dengan ahli Parlimen UMNO diangkat pula menjadi Perdana Menteri baharu.

“Berkenaan strategi kerajaan PN mendepani sidang khas Parlimen pada Isnin ini, saya tidak pasti apakah strategi yang bakal diguna pakai mampu membantu memulihkan imej mereka pada mata rakyat serta hubungan dengan Istana Negara.

“Sikap berselindung di sebalik Perlembagaan Persekutuan tanpa menghayati keluhuran dan kedaulatannya juga tidak berupaya memuaskan hati rakyat dalam menaksirkan justifikasi nasihat kerajaan PN terhadap Istana Negara,” katanya.

 

Takiyuddin
Takiyuddin

Sementara itu, penganalisis politik daripada Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain turut bersetuju dengan pandangan imej Pas ketika ini terkesan teruk pada saat parti itu dianggap pendukung kedaulatan institusi diraja selama ini.

Justeru, beliau berpendapat Takiyuddin selaku Setiausaha Agung Pas dapat menggunakan ruang sidang khas Parlimen pada Isnin hadapan bagi memohon maaf kepada semua ahli Parlimen dan rakyat Malaysia di atas kekeliruan yang tercetus melalui kenyataan beliau sebelum ini.

“Saya nampak perkara ini lebih kepada isu teknikal di mana kerajaan ingin membatalkan Ordinan Darurat, namun belum mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong lagi.

“Pas perlu memainkan peranan dalam kerajaan PN bagi membetulkan keadaan dengan Menteri Undang-Undang perlu membuat sesuatu tindakan bagi membersihkan nama beliau parti mahu pun kerajaan sendiri,” katanya.

Mohd Izani turut bersetuju pandangan Takiyuddin perlu berjiwa besar memohon sembah menghadap Yang di-Pertuan Agong, sekali gus menzahirkan permohonan maaf kepada Seri Paduka Baginda.

Jelas beliau, inisiatif ini sangat penting bagi menyelamatkan hubungan kerajaan PN dengan Istana Negara, lebih-lebih lagi keyakinan rakyat terhadap institusi raja-raja masih amat tinggi.

“Namun, perkara lebih baik adalah Perdana Menteri dan Jemaah Menteri mengambil tanggungjawab bersama untuk turut sama memohon sembah menghadap Seri Paduka Baginda dan mengemukakan permohonan maaf,” katanya.

Krisis PN-Istana Negara cederakan Pas


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Najib ingatkan kerajaan tingkatkan had siling hutang kepada 65% untuk bantu rakyat

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker