Muhyiddin punyai sokongan cukup dan jitu di Parlimen

Muhyiddin punyai sokongan ‘cukup dan jitu’ di Parlimen, sidang dewan ditangguh bukan kerana politik, kata Ahmad Faizal

Timbalan Presiden Bersatu, Ahmad Faizal Azumu yakin Perdana Menteri Muhyiddin Yassin kekal mempunyai sokongan majoriti sekiranya sidang Parlimen dipanggil semula.

Justeru, Ahli Parlimen Tambun itu berkata, dakwaan Muhyiddin yang juga presiden Bersatu menangguhkan sidang Dewan Rakyat Isnin ini kerana “bimbang kerajaan berkemungkinan tumbang” adalah tohmahan dan tidak berasas sama sekali.



“Saya dan rakan-rakan Ahli Parlimen Bersatu dan Perikatan Nasional bersedia menghadapinya (sidang Dewan Rakyat) apabila dipanggil semula.

“Kita amat yakin dengan sokongan majoriti yang dapat dikekalkan bagi membolehkan kerajaan terus berfungsi dengan sempurna dan memberi fokus kepada kesejahteraan rakyat,” kata beliau kepada FMT.

“Jadi, soal mengelak daripada bersidang kerana bimbang kerajaan berkemungkinan tumbang, tidak timbul sama sekali. Kami yakin dan tahu, kerajaan yang ada kini, mendapat sokongan yang bukan sekadar cukup bilangan tetapi sokongan yang jitu,” katanya.

Faizal berkata keputusan penangguhan sidang Dewan itu wajar kerana ia berlandaskan nasihat Kementerian Kesihatan.



“Mereka yang mendakwa keputusan untuk menangguh persidangan kerana politik sebenarnya telah menghina penjawat awam yang menasihati kerajaan.

“Mana mungkin profesional di KKM bertindak memberi nasihat dengan meletakkan pertimbangan politik sebagai asas utama?,” katanya.

Menurut beliau, pihak yang melontar tuduhan Parlimen ditangguh kerana kepentingan politik “perlu diberi pendedahan yang lebih berkenaan pandemik Covid-19 dan bahayanya varian baru seperti varian delta.”

“Saya menyokong tindakan menangguhkan persidangan. Sebagai Ahli Parlimen, kami seharusnya meletakkan keselamatan orang ramai sebagai keutamaan. Walaupun telah disuntik vaksin, kami tidak kebal, malah boleh menjadi pembawa virus tanpa kami sedari,” kata Faizal.



Tengah hari tadi, Pejabat Setiausaha Dewan Rakyat berkata hari terakhir sidang khas Dewan Rakyat pada Isnin ini, ditangguhkan ke satu tarikh yang akan ditetapkan kelak, kerana risiko penularan Covid-19 di Parlimen.

Dalam surat ditandatangani Setiausaha Dewan Rakyat, Nizam Mydin Bacha Mydin, berkata Pejabat Speaker dimaklumkan oleh Muhyiddin berhubung perkara berkenaan.

Keputusan itu dikecam hebat oleh pembangkang dan kalangan pemimpin Umno yang menyifatkannya sebagai cubaan untuk melanjutkan jangka hayat kerajaan pimpinan Muhyiddin.

Mereka juga mengaitkannya kepada pengumuman kerajaan membatalkan ordinan darurat berkuat kuasa 21 Julai lalu tanpa diperkenan oleh Yang diPertuan Agong yang mengeluarkan kenyataan semalam, menegur teguran tindakan itu.



Pejabat Perdana Menteri bagaimanapun mendakwa pembatalan itu dibuat mengikut peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Sementara itu, ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Razali Idris berkata tindakan pembangkang yang cuba mendesak undi percaya diadakan ketika mesyuarat khas yang bermula pada 26 Julai lalu jelas mempunyai niat tersembunyi.

“Kalau kita tengok apabila pembangkang buat desakan untuk adakan persidangan sebagai pemulihan atau tambah baik terhadap cara menangani Covid-19, kerajaan secara jujur akan terima tetapi kita tengok mereka (pembangkang) bukan ke situ. Lagi nak kucar-kacirkan keadaan,” katanya kepada FMT.

Beliau yang juga ahli Dewan Negara berkata, semua Ahli Parlimen sudah dimaklumkan terlebih awal bahawa mesyuarat khas itu hanyalah perbahasan mengenai pelan Pemulihan Negara dan tiada sebarang usul atau pengundian boleh dilakukan pada lima hari persidangan berkenaan.



“Mereka semua kena tunggulah, jika ada usul baru atau nak bawa usul undi percaya, boleh bawa pada September nanti,” katanya yang turut menjangkakan sidang Dewan Negara akan ditangguhkan susulan penularan wabak Covid-19 di bangunan Parlimen.

Pada 15 Julai lalu, Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun dalam satu kenyataan mengumumkan sidang penuh Dewan Rakyat bagi penggal keempat, Parlimen ke-14 diadakan selama 15 hari bermula 6 Sept hingga 30 Sept.

Mesyuarat kedua pula mulai 25 Oktober hingga 16 Disember iaitu selama 32 hari.
FMT

Muhyiddin punyai sokongan cukup dan jitu di Parlimen




Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Buktikan sokongan majoriti di Parlimen jalan terakhir PM

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker