Ikut titah Agong atau letak jawatan

Ikut titah Agong atau letak jawatan.  Kemelut politik tanah air yang berlaku memperlihatkan Tan Sri Muhyiddin Yassin tiada pilihan selain perlu mengikut titah Yang di-Pertuan Agong atau  meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, peguam, Datuk Salleh Buang berkata, luahan amat dukacita yang dizahirkan Al-Sultan Abdullah Ri`ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berhubung pembatalan Proklamasi Darurat tanpa perkenan Seri Paduka menunjukkan seolah-olah keyakinan terhadap Muhyiddin  sudah terhakis.

SALLEH BUANG

Menurut beliau, Agong juga kecewa dengan tindakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Takiyuddin Hassan  yang tidak membahas dan mengungkaikan Proklamasi Darurat pada sidang khas Parlimen seperti dititah Seri Paduka sebaliknya terus  mengumumkan pembatalannya.

“Kalau sampai begini, Perdana Menteri sudah tidak ada pilihan selain meletak jawatan secara bermaruah, sebab kalau sampai bertelagah, beliau kena mengalah.

“Situasi sekarang sudah berubah, tidak boleh lagi buat helah itu, helah ini. Perbuatan mereka pun hanya menegakkan benang basah. Malah, bukan nak minta maaf tetapi mempertahankan pendirian mereka,” katanya ketika dihubungi semalam.

Salleh memaklumkan, Agong ada kuasa untuk meminta Perdana Menteri meletakkan jawatan jika titah Seri Paduka tidak dipatuhi.

“Terserah kepada Agong untuk buat keputusan, Seri Paduka boleh suruh Perdana Menteri letak jawatan dan tubuhkan kerajaan sementara, tetapi krisis ini jangan sampai Agong masuk ke dalam kancah politik.

“Seri Paduka sudah bersusah-payah memastikan Parlimen bersidang dengan memanggil semua ketua parti politik, persidangan khas dengan Majlis Raja-Raja Melayu. Jadi, mereka tidak boleh tipu Agong, sebab mereka sudah banyak silap langkah,” kata beliau.

Sementara itu, peguam kanan, Mohamed Haniff Khatri Abdulla pula  berkata, Muhyiddin dan jemaah Kabinet mesti meletakkan jawatan segera kerana menderhaka terhadap institusi diraja.

Menurut beliau, kerajaan Perikatan Nasional (PN) bukan hanya  mencemarkan peranan dan kuasa Yang di-Pertuan Agong malah mencabul Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi negara.

“Kerajaan PN juga menderhaka terhadap dua institusi Parlimen iaitu Dewan Rakyat dan Dewan Negara apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) memaklumkan membatalkan Ordinan Darurat tanpa perkenan Seri Paduka.

“Tiada alasan lagi di dalam Perlembagaan yang membolehkan kerajaan ini kekal berkuasa. Ini bukan lagi soal Perdana Menteri mempunyai sokongan majoriti tetapi atas tindakan melanggar Perlembagaan,” kata beliau kepada  Utusan Malaysia semalam.

Sementara itu, Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, Perdana Menteri sepatutnya cuba mengeratkan kerjasama dengan Agong, bukannya menimbulkan pertelagahan yang sia-sia.

“Kalau hubungan antara istana dan kerajaan terus dingin maka negara takkan makmur, malah takkan selesai pertikaian,” katanya.

Dalam pada itu, Pakatan Harapan (PH) dalam kenyataan bersama menyifatkan Muhyiddin sebagai angkuh apabila mengeluarkan  kenyataan balas berhubung isu penamatan Proklamasi Darurat.

Dakwa kenyataan itu, kerajaan pimpinan Muhyiddin telah hilang majoriti untuk membentuk kerajaan dan mereka harus sedar serta meletak jawatan.

“Kenyataan balas Pejabat Perdana Menteri semalam (kelmarin)  angkuh dan biadab terhadap Ketua Utama Negara, menderhakai Perlembagaan Persekutuan dan sistem demokrasi berparlimen,” jelas  kenyataan oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pula berkata, tindakan Muhyiddin yang  mengeluarkan kenyataan bukan sahaja  tidak menjernihkan keadaan sebaliknya menjadikan ia semakin meruncing.

“Wakil rakyat UMNO kini hanya ada satu pilihan iaitu mendukung titah Yang di-Pertuan Agong. UMNO tidak wajar terheret dalam konflik ini kerana iltizam UMNO sejak  awal antara lain mempertahankan institusi raja,” katanya dalam kenyataan semalam.

Dalam pada itu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani pula berkata, sudah tiba masanya Malaysia melantik  Perdana Menteri interim bagi mengelak negara berada dalam krisis Perlembagaan sementara menunggu Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Menurut beliau, PRU-15 dijangka  diadakan tidak lama lagi iaitu selepas lebih ramai rakyat divaksin sekitar Oktober ini.

“Ini masanya untuk semua pemimpin politik tidak kira kerajaan atau pembangkang menyokong Perdana Menteri interim bagi memberi tumpuan dan memastikan usaha vaksinasi tidak tergelincir,” kata beliau.

Semalam Utusan Malaysia melaporkan, Kerajaan PN goyah selepas Yang di-Pertuan Agong menzahirkan rasa amat dukacita dengan pengumuman kerajaan Isnin lalu yang menamatkan Proklamasi Darurat pada 21 Julai tanpa perkenan baginda.

Bagaimanapun, Muhyiddin menerusi kenyataan balas dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri memaklumkan, tindakan menamatkan Proklamasi Darurat itu adalah selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.

Sejak tercetusnya isu itu, banyak gerakan bukan sahaja daripada parti-parti politik tetapi  pertubuhan bukan kerajaan, peguam  dan rakyat menggesa Muhyiddin meletak jawatan kerana menyifatkan Perdana Menteri telah menderhaka kepada Yang di-Pertuan Agong. – UTUSAN

Ikut titah Agong atau letak jawatan


Baca Artikel Menarik :

Layari Laman Facebook MYKMU


Lagi gesaan gesa Muhyiddin, Azhar dan Idrus letak jawatan

Related Articles

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker